Rabu, 12 Oktober 2011

HUKUM MENZIARAH ORANG MATI.


Apa yang terdapat di dalam al-Quran, al-Hadis, contoh yang boleh diambil dari perbuatan para sahabat dan amalan para ulama Ahli Sunnah wal Jamaah yang berpegang dengan manhaj salaf hanyalah amalan berupa doa.  Sememangnya doa orang-orang beriman diterima oleh Allah dan akan sampai kepada orang yang telah mati jika si Mati itu beriman.  Namun berdoa yang dimaksudkan bukanlah dengan cara mentahlilkan, meyasinkan dan membacakan al-Quran beramai-ramai untuk si Mati sebagaimana yang dilakukan oleh orang-orang awam (orang-orang jahil) dan para pembuat bid'ah. 
                Mendoakan si Mati adalah sunnah hukumnya dan dibolehkan apabila mencontohi sunnah Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam dan para sahabat baginda atau amalan orang-orang Salaf as-Soleh.  Kemudian terserah kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala untuk diterima atau ditolak.  Penjelasan ini adalah bersandarkan kepada ayat-ayat di bawah ini:
وَالَّذِينَ جاءُ وْا مِنْ  بَعْدِ هِمْ  يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْـفِرْلَنَا وَلاِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَ بِالاِيْمَانِ.
"Dan orang-orang yang datang sesudah mereka itu akan berkata: Wahai Tuhan kami!  Ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman sebelum kami". 
AL HASYR, 59:10.

رَبَّنَا اغْفِرْلِيْ وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِيْنَ يَوْمَ يَقُوْمُ الْحِسَابِ.
"Ya Tuhan kami!  Berilah keampunan kepadaku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (Hari Kiamat)."
IBRAHIM, 14:41.
 
وَاسْتـَغْفِرْ لِذَنْبِكَ وَلِلْمُؤْمِنِيْنَ.
 “Dan minta ampunlah bagi dosa-dosamu dan bagi orang-orang yang beriman".
 MUHAMMAD, 47:19.
Memohon doa kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagaimana yang terdapat pada dua ayat di atas  termasuk perbuatan ibadah bukan bid’ah.  Walaupun ayat-ayat ini merupakan hujjah, tetapi ia tidak menerangkan atau mengajar bagaimana cara berdoa selain yang telah dikerjakan oleh Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam, para sahabat, tabi’in dan tabi’u at-tabi’in yang dikenali sebagai para Salaf as-Soleh. 
            Apa yang dilakukan oleh mereka yang menetapkan hari-hari tertentu, bulan-bulan tertentu atau kerana sesuatu sempena yang khusus dengan mengadakan majlis yasinan atau tahlilan maka itu adalah bid'ah yang diada-adakan.  Ayat-ayat yang lalu menganjurkan agar orang beriman berdoa untuk dirinya sendiri, untuk saudara-maranya yang beriman sama ada yang masih hidup atau yang telah mati (hanya begitu sahaja) tidak lebih dari itu dan tidak pernah diajar bagaimana ianya dikerjakan.             
Sesiapa yang menganjurkan atau mencipta cara-cara tertentu yang diada-adakan dengan membaca al-Quran dan berdoa seperti menganjurkan majlis yasinan dan tahlilan sebagaimana yang dilakukan oleh aktivis bid'ah sekarang sedangkan tidak pernah disarankan oleh al-Quran, diajar atau dicontohkan oleh Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam dan para sahabat, maka ia telah melakukan bid'ah yang ditolak dan diharamkan.  Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam  telah memperingatkan tentang perkara-perkara yang sengaja dicipta dan diada-adakan dengan sabdanya:
مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ
"Sesiapa yang melakukan sesuatu amal yang bukan dari perintah kami (Allah Subhanahu wa Ta'ala dan Rasul-Nya) maka amalan itu tertolak".
 H/R Muslim.

مَنْ اَحْدَثَ فِىْ اَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌَّ. رواه البخارى ومسلم.
"Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu dalam urusan (agama) kami ini sedangkan ia bukan (dari kami) maka ia tertolak".  
H/R Bukhari dan Muslim
 
مَنْ صَنَعَ اَمْرًا عَلَى غَيْرِ اَمْرِنَا فَهُوِ رَدٌّ
Barangsiapa yang mencipta suatu urusan (agama) yang bukan atas suruhan kami, maka ia tertolak (bid’ah)".  
            Sesiapa yang mendakwa bid'ah hasanah atau sunnah mengadakan majlis-majlis tertentu seperti mengkhususkan suatu majlis untuk tujuan berdoa atau upacara pembacaan ayat-ayat tertentu dari al-Quran yang bertujuan untuk menghadiahkan (mengirim) pahalanya kepada orang mati sedangkan tidak ada suruhan atau contoh dari syara,  maka segala dakwaan itu adalah suatu pembohongan terhadap Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam dan merupakan perbuatan bid'ah yang sesat bukan bid'ah hasanah sebagaimana yang disangkakan.
                Orang-orang yang sengaja membohongi Nabi Muhammad salallahu 'alahi wa-sallam terutamanya pada perkara-perkara akidah, ibadah atau agama, ia akan menerima azab yang pedih, sebagaimana peringatan yang telah disampaikan oleh baginda melalui hadisnya: 
مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأ مَقْعَدُهُ مِنَ النَّارِ. الحديث المتواتر.
"Sesiapa yang berbuat dusta (pembohongan) atas (nama)ku, maka hendaklah dia bersiap untuk menerima tempat duduknya dari api neraka".   
Hadis Mutawatir.
            Tidak ada penetapan masa, hari, tempat dan cara dalam beribadah kecuali yang telah ditetapkan oleh al-Quran dan ditunjuk-ajar serta dicontohkan oleh Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam.  Apa pun jenis amal-ibadah sama ada berdoa atau membaca al-Quran apabila dilakukan seorang diri, beramai-ramai, diubah-suai, diadakan beberapa peraturan dan ditentukan cara-caranya, maka ia termasuk perbuatan bid'ah lebih-lebih lagi apabila pahala bacaannya diniatkan untuk dihadiahkan (dikirim) kepada orang mati. 
            Begitu juga dengan majlis-majlis kenduri arwah, tahlilan, yasinan, selamatan dan sebagainya yang masih dilakukan oleh masyarakat Islam Nusantara, di mana semua perbuatan tersebut amat nyata tidak ada keterangan atau suruhan dari al-Quran dan al-Hadis.  Dalam larangan yang berkaitan dengan hal-hal bid'ah seperti ini kita boleh mengambil hadis Nabi yang melarang pengkhususan ibadah, seperti mengkhususkan ibadah dimalam-malam tertentu atau berpuasa dihari-hari tertentu:
عَنْ أبِى هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لاَتَخُصُّوا لَيْلَةَ الْجُمْعَةِ بِقِيَامِ مِنْ بَيْنِ اللَّيَالِى ، وَلاَ تَخُصُّوا يَوْمَ الْجُمْعَةِ بِصِيَامٍ مِنْ بَيْنِ اْلأيَّامِ اِلاَّ أنْ يَكُونَ فِى صَوْمٍ يـَوْمُهُ أحَـدكُمْ.
"Dari Abi Hurairah, dari Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam:  Janganlah kamu khususkan malam Jumaat untuk melakukan ibadah antara malam-malam yang lain dan janganlah kamu menentukan Hari Jumaat sahaja untuk berpuasa antara hari-hari yang lain, kecuali memang singgah puasa (tidak secara langsung) yang dikerjakan oleh seseorang kamu."[1]
   Menetapkan malam-malam tertentu sebagai malam sunnah untuk beribadah jika tidak ada suruhan, tidak ada contoh dan tidak ada keizinannya dari syara (al-Quran dan al-Hadis), yang hanya dilakukan semata-mata kerana meniru (taklid) kepada perbuatan yang diada-adakan oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab adalah amalan bid'ah, bukan ibadah atau sunnah dan ditolak oleh syara serta perlu ditinggalkan dan dijauhi oleh orang-orang yang beriman.  Allah Subhanahu wa ta'ala tidak menerima setiap amalan yang dianggap bid'ah. Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak menerima (menolak) ibadah yang tidak mencontohi Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam kerana baginda diutus semata-mata untuk memberi contoh tauladan dalam melaksanakan ibadah, sebagaimana dijelaskan dalam firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فَى رَسُوْلِ اللهِ اُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُوْا اللهَ وَاليَوْمِ اْلاَخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيْرًا.
"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu tauladan (contoh ibadah) yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Kiamat serta dia banyak mengingati Allah".
 AL AHZAB, 33:21.
            Ayat ini telah menjelaskan bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam diutus hanyalah semata-mata untuk dijadikan contoh dalam mengamalkan setiap ibadah jika seseorang itu mahu amal-ibadahnya diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala.  Sesiapa yang ingkar, menolak atau enggan mematuhi dan mencontohi Nabi Muhaammad salallahu 'alaihi wa-sallam dalam mengerjakan ibadah termasuklah bentuk bagaimananya (كـَيْـفِـيـَّةٌ) dan cara-caranya dalam melaksanakan setiap ibadah maka dia telah melakukan bid'ah dan menolak (mengenepikan) peranan Nabi Muhammad sebagai Rasul utusan.  Hadis sahih di atas ini juga telah dikuatkan lagi oleh beberapa hadis yang berikut:
عَنْ اَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَـلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَـلَّمَ قَالَ : كُلُّ اُمَّتِيْ يَدْخُـلُوْنَ الْجَنَّةَ اِلاَّ مَنْ اَبَى . قَالُوْا : يَارَسُوْلَ اللهِ وَمَنْ يَاْبَى؟ قَالَ مَنْ اَطَاعَنِيْ دَخَلَ الْجَنَّةَ وَمَنْ عَصَانِيْ فَقَدْ اَبَى.
"Dari Abu Hurairah radiallahu 'anhu dari Nabi salallahu 'alaihi wa-sallam bersabda:  Setiap umatku akan masuk syurga kecuali orang yang enggan.  Para sahabat bertanya:  Wahai Rasulullah!  Siapakah orang yang enggan itu?  Rasulullah menjawab:  Sesiapa yang taat kepadaku maka dia masuk syurga dan sesiapa yang durhaka kepadaku maka sesungguhnya dia telah enggan".[2]
            Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam telah pun menunjuk ajar, menerang, melaksana dan menentukan sah batalnya hukum-ahkam dalam syara yang wajib dijadikan contoh dan dipatuhi oleh setiap mukmin.  Sesiapa yang menyalahi cara dan bagaimananya (kaifiat) Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam serta para sahabat melaksanakan ibadah,  maka dia telah membuat kemungkaran (bid'ah) dan fitnah.  Allah Subhanahu wa Ta'ala memberi peringatan dengan firman-Nya:
فَلْيَحْذَرِ الَّذِيْنَ يُخَالِفُوْنَ عَنْ اَمْرِهِ اَنْ تُصِيْبَهُمْ فِتْنَةٌ اَوْيُصِيْبَهُمْ عَذَابٌ اَلِيْمٌ. .
 “Maka hendaklah diawasi oleh mereka yang menyalahi perintahnya (perintah Allah  dan Rasul) bahawa mereka akan ditimpa fitnah atau ditimpa oleh siksa yang pedih". 
 AN NUR, 24:63.
 
تَرَكْتُكُمْ عَلَى الْبَيْضَاء لَيْلُهَا كَنَهَارِهَا لاَيَزِيْغُ عَنْهَا بَعْدِيْ اِلاَّ هَالِكٌ.
"Aku telah tinggalkan pada kamu agama ini dalam keadaan putih bersih (jelas).  Malamnya seperti siangnya yang tidak ada yang menyimpang daripadanya setelah (kewafatanku kecuali  akan ditimpakan kepadanya) kehancuran".[3]
Dalam urusan agama dan amal-ibadah seseorang tidak boleh bersandar kepada sangkaan, andaian, perkiraan, atau logika akal (otak manusia) semata-mata untuk menghukum sesuatu sebagai wajib, haram, makruh, sunnah atau harus.  Urusan ibadah bukanlah urusan akal untuk mencipta dan menilainya.  Agama dan hukum-ahkamnya adalah urusan Allah Subhanahu wa Ta'ala  Hanya Dia sahaja yang tahu dan layak mencipta serta menguruskannya.
            Seseorang yang telah mencipta sesuatu bentuk cara ibadah ia telah termasuk dalam kalangan orang-orang yang menyerupai perbuatan Yahudi dan Nasrani.  Telah disiapkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala tempat mereka itu di neraka kerana kemungkarannya menambah serta mereka-cipta ibadah mengikut selera, andaian, perkiraan dan sangka-sangkaan mereka sendiri.  Jika gejala seperti ini tidak dibendung dan dihapuskan oleh setiap pejuang sunnah, tidak mustahil akan terus wujud berbagai-bagai lagi penambahan dan perbuatan bid'ah yang akan merosakkan akidah, agama serta syariat Allah Subhanahu wa Ta'ala.  Sangka-sangka seperti ini telah diberitakan di dalam al-Quran sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
وَهُمْ يَحْسَبُوْنَ اَنَّهُمْ يُحْسِنُوْنَ صُنْعًا.
"Dan mereka menyangka bahawa mereka mencipta (ibadah) yang baik (untuk mereka)".
 AL KAHFI, 18:104.              
                Perubahan agama seperti yang telah menimpa ke atas agama-agama sebelum Nabi Muhammad sallahu 'alaihi wa sallam tidak mustahil akan berlaku ke atas agama Islam jika aktivis bid'ah yang fasik masih dibiarkan mencipta berbagai-bagai bid'ah.
            Di dalam kitab "ar-Risalah" oleh Imam Syafie, beliau telah menyentuh isu bid'ah (sesuatu yang diada-adakan dalam agama kemudian dianggap baik) dengan  memberi peringatan tegas melalui kata-kata beliau yang masyhur:
مَنِ اسْتَحْسَنَ فَقَدَ شَرَّعَ (وَمَنَ شَرَّعَ فَقَدْ كَفَرَ)
"Sesiapa yang beristihsan (menyangka baik satu-satu amalannya yang direka), bererti dia telah membuat satu syariat (dan sesiapa yang membuat syariat, maka ia sudah kafir)".[4]
            Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam tidak mengajarkan sesuatu yang tidak jelas atau samar-samar dalam agama Islam, jauh sekali dari terlupa untuk menyampaikan apa yang telah diterima dari Allah Subhanahu wa Ta'ala.  Tidak ada lagi yang tertinggal untuk disampaikan kepada ummahnya walaupun satu huruf. Baginda tidak pernah merasa takut atau gentar untuk menyampaikan dan menyempurnakan dakwah Islamiyah yang berupa wahyu dari Allah Subhanahu wa ta'ala
            Allah Subhanahu wa Ta'ala telah memberi jaminan akan kesempurnaan dakwah dan penyampaian Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam disetiap aspeknya.  Setiap yang diterima dari Allah Subhanahu wa Ta'ala tiada yang tertinggal untuk disampaikan kepada ummah walaupun sekecil hama atau zarrah.  Firman Allah:
اَلْيَوْمَ اَكْمَلْتُ لَكُمْ دِيْنَكُمْ وَاتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِيْ وَرَضِيْتُ لَكُمُ اْلاِسْلاَمَ دِيْنًا.
"Pada hari ini telah Aku sempurnakan agama kamu buat kamu dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku atas kamu, dan telah Aku redai Islam menjadi agamamu".
AL MAIDAH,5:3.
            Hakikatnya, Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam tidak pernah mencontohkan, menyuruh atau mengajar para sahabat baginda cara sebagaimana yang diamalkan sekarang untuk membacakan al-Quran atau menghadiahkan pahala bacaannya kepada orang mati.  Apa yang pernah dilakukan dan diajarkan oleh baginda kepada para sahabat ialah cara-cara berdoa untuk orang mati, cara menziarahi kubur dan salam serta ucapan yang harus diucapkan semasa mereka masuk ke kawasan perkuburan (menziarahi kubur) sebagaimana hadis sahih di bawah ini:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُـعَلـِّمُهُمْ اِذَا خَرَجُوا اِلَى الـْمَـقَابِرِ فَكَانَ قَائـِلُهُمْ يـَقُولُ : اَلسَّلاَمُ عَلَـيْكُمْ أهْلَ الدِّيَارِ مِنَ الْـمُـؤْمِـنـِيْنَ وَالْمُسْلِمِـيْنَ فَاِنْ شَآءَ اللهُ بِكُمْ لاَحِـقُـونَ اَنـْتـُمْ فَرَطْنَا وَنَحْنُ لَكُمْ تـَبـعَ وَنـَسْألُ اللهَ لـَنَا وَلَكُمُ الْعَافِـيَـةَ.
"Pernah Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam mengajar para sahabat semasa mereka ingin berziarah kubur supaya mereka mengucapkan:[5]
 
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ أهْلَ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُسْلِمِيْنَ فَاِنْ شَآءَ اللهُ بِكُمْ لاَحِقُوْنَ أنْتُمْ فَرَطْنَا وَنَحْنُ لَكُمْ تَبَعَ وَنَسْـألُ اللهَ لَنَا وَلَكُمْ الْعَافِيَةُ.
            Dalam hadis ini, Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam mengajarkan para sahabat cara memberi salam dan doa. Baginda tidak pernah pula mengajar atau menyuruh membaca al-Quran semasa menziarahi kubur. Dalam hadis-hadis yang sahih telah diceritakan bahawa Nabi pernah menziarahi perkuburan Baqi' di Madinah tetapi tiada satu pun riwayat yang sahih menjelaskan bahawa baginda pernah membaca al-Quran di atas kuburan atau menghadiahkan pahala bacaan baginda kepada penghuni kubur di Baqi'.
            Sekiranya amalan membaca al-Quran di kuburan atau di mana sahaja yang bertujuan untuk menghadiahkan pahala bacaannya kepada ahli kubur (arwah atau orang mati) itu baik dan mulia, ditambah pula dengan mengadakan kenduri dan jemputan secara besar-besaran atau kecil-kecilan itu juga boleh dianggap terpuji dan baik, tentulah Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam orang yang pertama melakukannya. Ini adalah kerana Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam adalah insan yang paling takwa kepada Allah, paling kuat beribadah dan paling cinta kepada kebaikan. 
            Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi sallam adalah Nabi yang sangat mencintai keluarga dan para sahabat tetapi semasa berlaku kematian sahabat, tidak pernah baginda mengadakan kenduri tahlilan atau yasinan untuk menghadiahkan bacaan al-Quran kepada sahabat baginda itu.
                Jika sekiranya pahala membaca al-Quran boleh dihadiahkan kepada para arwah di kubur untuk menolong dan menambah pahala orang yang telah mati, tentulah Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam awal-awal lagi telah membacakan al-Quran untuk dihadiahkan pahala bacaannya kepada arwah sahabat-sahabat yang sangat baginda cintai dan kubur mereka sering baginda ziarahi.  Perbuatan yang tidak dilakukan oleh Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam adalah perbuatan bid'ah kerana tiada contoh dan suruhan dari baginda.
            Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam mengetahui semua ibadah yang paling baik dan sempurna, disusuli oleh para sahabat kerana mereka hidup di samping Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam, di zaman turunnya al-Quran, dikurun yang terbaik dan dizaman terlaksananya keseluruhan suruhan al-Quran dan as-Sunnah, tetapi mereka tidak pernah mengadakan kenduri arwah, tahlilan atau amalan yang khusus untuk orang mati sebagaimana yang dilakukan oleh aktivis bid'ah dewasa ini. 
            Cara untuk berdoa atau bersedekah dari harta peninggalan si Mati tidak semestinya melalui kenduri tahlilan, yasinan atau dibaca beramai-ramai melalui majlis-majlis keramaian, majlis kenduri atau sebagainya kerana perbuatan serupa itu tidak ada suruhan dari al-Quran, sama sekali tidak ada contohnya dari Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam,  dari para sahabat atau dari golongan Salaf as Soleh.  Mengerjakan sesuatu yang dianggap ibadah jika tiada suruhan dan tiada contohnya dari syara adalah bid'ah dhalalah.  "Semoga Allah Subhanahu wa Ta'ala menjauhkan kita dari bid'ah yang menyesatkan dengan sentiasa memberikan  hidayah-Nya".
            Tidak ada jalan keluar untuk menyelamatkan ibadah dan akidah seseorang dari terjebak ke kancah kesesatan (bid'ah), khurafat dan kemungkaran (syirik) kecuali setelah kembali kepada al-Quran, al-Hadis yang sahih dan ijmak ulama Salaf as-Soleh.  Dan hanya dengan memahami kedua-dua kitab ini kemudian terus mematuhinya akan menanamkan keyakinan akidah yang murni di samping menunjuk ajar cara yang sempurna untuk mengatur segala muamalah dalam kehidupan manusia yang beriman.
                Hadis-hadis sahih pula akan memberikan segala contoh yang telah ditunjuk dan dilaksanakan oleh Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam supaya diimani, diamalkan dan dipatuhi.  Hanya dengan berpegang teguh kepada gabungan dua kitab ini sahajalah yang dapat membuka pintu hidayah untuk seseorang sehingga segala ubudiyahnya terhadap Allah benar-benar bersih dari segala unsur bid’ah dan jahiliah yang menyesatkan.  Inilah yang dinamakan "tazkiyah" atau "tasfiyah" di dalam syara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


















KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin