Salah satu perdebatan hangat yang telah berlaku berabad-abad antara pemikir agama Hindu dan ahli falsafah agama Hindu adalah; adakah agama Hindu itu satu agama atau falsafah? Hal Ini kerana kadangkala berlaku perselisihan, tentang adakah Tuhan itu satu entiti atau fenomena benar wujud dalam agama Hindu? Dan Trimurti atau Triniti yang menjadi asas kepada kepercayaan mengenai Tuhan itu, adakah ianya hanya satu metafora atau seharusnya difahami sebagai suatu idea atau entiti tersendiri?
Wujud masalah lain [dalam memberikan definisi agama Hindu], terutamanya masalah yang agak kontemporari atau agak praktikal misalnya masalah persepsi; salah satu masalah conditioning; social dan cultural conditioning; juga kadang-kala masalah bahasa dan istilah.
Lebih mudah, lebih selesa dan sempurna untuk kita di Malaysia, berbincang atau berdebat tentang pemikiran atau ideologi falsafah Barat. Dan kadang-kadang beban sejarah masyarakat kita memencilkan kita daripada jiran, kadang-kala sangat sukar untuk kita benar-benar berbincang secara terbuka tentang misalnya agama dan falsafah Hindu sebab persepsi kita telah dibentuk. Saya menggunakan perkataan Hindu itu kerana saya cuba dekonstruk stereotaip perkauman dan sosial. Perkataan Hindu, di Malaysia adalah seerti dengan perkataan India. Dan anggapan umum, India itu adalah Hindu dan Hindu itu adalah India. Ini adalah silap dan langsung tidak betul. Tetapi ia telah menjadi satu stereotaip yang masih berleluasa dalam persepsi masyarakat kita. Dan setiap diskusi seperti ini, menimbulkan prasangka, curiga, syak dan sebagainya walaupun kita selalu berbincang pentingnya dialog antara agama, kita tidak memeriksa atau menerokai bagaimana dalam konsepsi pemikiran kita ini meneroka atau mengalami perdebatan itu. Jadi itu merupakan [antara] beberapa penelitian saya ketika menulis kertas kerja ini.
Seperkara lagi ialah kemampuan bahasa kita untuk menangani konsep-konsep atau idea-idea atau pemikiran-pemikiran suatu budaya yang lain; istilah-istilah seperti reincarnation misalnya, yang saya terjemahkan sebagai “penjelmaan” tetapi adakah perkataan itu betul-betul merangkumi pemikiran itu, kita harus boleh bincang dan berbahas.
Membincangkan beberapa pendekatan saya sendiri kepada agama ini, saya memang dibesarkan dalam suatu konteks yang agak aneh dan mengelirukan. Bapa saya ialah orang Cina yang beragama Buddha walaupun dia menggelarkan dirinya sebagai seorang agnostik — Percaya [Tuhan itu ada] tetapi tidak percaya [dengan agama]. Ibu saya adalah seorang penganut agama Hindu yang boleh dikatakan sebagai seorang Hindu tradisional-konservatif. [Beliau] Pergi ke kuil setiap hari ahad dan tidak mempunyai apa pun pendekatan falsafah tentang agama Hindu itu. Saya diperbesarkan oleh ibu angkat saya iaitu seorang Melayu Islam dari Negeri Sembilan. Jadi pendedahan saya kepada agama Islam dan budaya Melayu itu telah bermula dari awal lagi. Oleh itu, dalam“pusaran budaya” ini saya menganut agama Hindu tetapi dengan [pemahaman yang] sangat liberal. Saya dihantar ke Sekolah Katolik, La Salle Brothers School di Petaling Jaya. Dan setiap hari ahad, saya bersama adik saya –supaya kami tidak mengganggu ibu bapa tidur lewat pada hari Ahad– kami dihantar ke Sunday school, Pusat Injil di Bangsar. Kami didedahkan begitu. Tidak ada perbatasan antara agama dan sebagainya. Jadi saya pun mengambil tahu secara liberal dan juga boleh dikira sebagai satu pendekatan “New Age” kepada agama; “jangan buat jahat pada orang lain”, “jangan buruk sangka pada orang lain” dan sebagainya.
Tetapi beberapa tahun yang lepas saya terlibat dengan satu kuil di Brickfields. Di Kuil Kali, dan setelah itu saya secara benar-benar, secara serius mengambil tahu, falsafah, pengamalan dan juga ibadat agama Hindu. Dan beberapa hari yang lalu beberapa kawan-kawan telah datang dan menjadi saksi kepada pengalaman atau eskpresi kepercayaan saya. Jadi ini sedikit latarbelakang.
Apa sebenarnya perkataan Hindu? Ia tidak berakar kepada satu konsep agama, ketuhanan, kitab agama dan sebagainya. Ia merupakan suatu konsep yang geografik. Orang Hindu itu orang yang dianggap tinggal di sebelah sungai Indus. “Sanatana Dharma” adalah sebenarnya ungkapan yang menerangkan cara hidup Hindu. Jadi ia sebenarnya satu istilah yang tidak membayangkan apa-apa pun pemikiran agama itu, tetapi hanya satu pendekatan atau penjelasan yang praktikal. Dan ini sebenarnya, suatu pendedahan tentang Hinduisme kerana pendekatannya kepada agama atau kepercayaan itu lebih kepada keperluan praktikal, sepertimana namanya juga.
Sejarah perkembangan agama Hindu pun agak kabur. Ia adalah salah satu dari agama tertua di dunia. Ada beberapa teori antropologi dan sejarah yang mengakar atau tentang akar-akar agama dalam pelbagai jenis agama yang dalam istilah ahli antropologi disebut sebagai kepercayaan masyarakat atau agama peribumi; folk religions yang telah berevolusi. Ada satu proses evolusi yang wujud berabad-abad sehingga kita mula boleh mula menganggap agama itu sebagai suatu sistem pemikiran, suatu sistem tatanan sosial dalam beberapa abad sebelum masihi. Tapi itupun belum dapat memberikan satu gambaran komprehensif tentang permulaan agama Hindu sebagai suatu proses formasi sosial yang jelas sebab ia terlalu tua. Dan itu adalah salah satu dari masalah dari segi kejelasan [sejarah dan konsep]; dari segi untuk memberikan penjelasan yang padat.
Tetapi pada masa ini, biasanya kita menganggap orang Hindu itu mempunyai dua cabang yang utama. Memang ada ratusan cabang yang lain, tetapi ada cabang utama, itupun diberikan melalui daerah di India. Iaitu kita ada tradisi Vaishnava iaitu kebanyakannya orang India Utara yang berbahasa lain dan dipengaruhi oleh sejarah yang lain, terutamanya orang dari kaum Aryan dan adalah penganut dewa Vishnu. Dan orang sebelah selatan –dari Mumbai ke bawah, Tamil Nadu dan sebagainya- dianggap sebagai Shaiva. Mereka adalah orang yang mengikut cabang atau contoh dewa Shiva. Dalam agama Hindu kita ada konsep Trimurti iaitu Brahma Sang Pencipta; Vishnu Sang Pelindung dan Shiva Si Pemusnah. Dan setiap itu mempunyai pendekatan falsafah yang sangat-sangat rumit yang saya tidak akan jelaskan di sini siapa itu Sang Pencipta, siapa itu Sang Pelindung dan siapa itu Sang Pemusnah.
Tetapi apabila mereka muncul dan bercantum, mereka memberi ritma kepada dunia dan juga kepada insan. Salah satu daripada konsep dalam agama Hindu yang sangat penting ialah konsep metafora dalam agama. Kerana, ia tidak bermula di satu titik sejarah yang tertentu. Jadi ia sangat melibatkan penciptaan mitos, tentang kemunculan dunia dan sebagainya.
Salah satu konsep yang utama dikalangan orang Shaiva ialah misalnya kewujudan dunia itu bukanlah merupakan satu penciptaan. Tetapi merupakan satu perlakuan kemusnahan; penghancuran dan ceritanya begini: apabila kosmos itu merupakan satu, tidak berpecah-pecah kepada planet-planet, matahari dan bulan dan sebagainya. Dan yang menguasai seluruh kosmos itu adalah Shiva, Vishnu dan Brahma. Tetapi Shiva yang penting kerana dia mempunyai kuasa untuk menghancurkan kesatuan [kosmos]. Dan dia duduk di satu dunia atau realm yang dikenali sebagai Gunung Khailasa; The Khailasa Mountains in Celestial Heavens dan dia ber ‘samadhi’ selama 400 ribu tahun dengan tidak berhenti-henti. Tetapi pada suatu masa, ada jin-jin yang membuat kacau, rusuhan di dunia kosmos itu dan pendeta-pendeta telah pergi ke Puncak Khailasaitu dan meminta Shiva kerana dia mempunyai kuasa untuk menghancurkan.
Tetapi dalam proses meminta rayuan ini, mereka telah mengganggu dia daripada ‘samadhi’. Dan dia telah bertindak dengan sangat marah dan telah membuka mata ketiganya yang mempunyai suatu bebola api yang tidak dapat ditahan oleh kosmos. Dan dia mencabut satu genggam rambutnya dan menghentam puncak Khailasa itu dengan begitu kuat sehingga kosmos itu telah hancur dan berpisah menjadi planet-planet. Jadi dalam fahaman Hindu itu adalah sangat penting untuk kita faham bahawa, yang kita anggap sebagai “perlakuan penciptaan” itu adalah sebenarnya “perlakuan pemusnahan”; act of creation is in fact an act of destruction.
Hal ini sangat penting agar kita dapat memahami kenapa kebanyakan daripada aspek falsafah agama Hindu adalah boleh dianggap sebagai –bagi orang yang tidak kenal pada tradisi itu– sebagai negatif atau pesimistik. Ia berpendekatan sangat pesimistik kepada konsep kewujudan dan juga sangat eksistensialis kepada kehidupan manusia. Ini yang menjadi inti atau asas kepada kepercayaan Hindu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan