Sabtu, 14 Januari 2012

TOKOH NEGARAWAN TUN ABD RAZAK BEKAS PERDANA MENTERI MALAYSIA.


Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein dilahirkan di Pulau Keladi, Pekan, Pahang pada tanggal 11 Mac 1922. Tun Abdul Razak merupakan anak sulung kepada Dato’ Hussein bin Mohd Taib dan Hajah Teh Fatimah bt Daud. Beliau keturunan bangsawan Bugis yang telah lama merupakan ketua-ketua suku kaum Pahang.Beliau berkhidmat menggantikan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia yang kedua. Tun Abdul Razak Dato’ Hussein meninggal dunia sewaktu masih berkhidmat sebagai Perdana Menteri pada 14 Januari 1976.
Tun Abdul Razak memperoleh pendidikan di MCKK. Setelah menyelesaikan pengajiannya di MCKK, beliau memperoleh biasiswa untuk meneruskan pengajian di Raffles College di Singapura pada 1939 dalam bidang undang-undang, ekonomi dan sejarah selama  tiga tahun untuk mendapatkan diploma. Diploma ini adalah peringkat tertinggi di perguruan tinggi yang ditawarkan pada masa itu. Semasa di Raffles College, Tun Abdul Razak melihat sesuatu yang berbeza berbanding dengan MCKK. Di Raffles College ada pelajar dari semua bangsa tidak seperti di MCKK yang hanya ada orang berbangsa Melayu dan anak-anak daripada golongan bangsawan. Di Raffles College terdapat pelbagai bangsa, namun majoriti adalah orang Cina.
Tun Abdul Razak terpaksa diberhentikan pelajarannya buat sementara waktu disebabkan keselamatan yang tidak menentu kerana Perang Dunia Kedua meletus. Dia kembali ke kehidupan desa dengan mencari nafkah di ladang dan menangkap ikan.
Tun Abdul Razak pernah meminta pinjaman dari beberapa ratus ringgit daripada ayahnya dan dengan bantuan beberapa orang rakan, beliau mengeluarkan akhbar mingguan  Masa Gegaran bagi mengkritik pendudukan Jepun. Tentera Jepun tidak senang dengan akhbar ini dan dihalang penerbitannnya.
Tun Abdul Razak kemudiannya menyertai Angkatan 136 (Force 136), sebuah unit elit payung terjun Tentera Bersekutu untuk mensabotaj tentera Jepun, dan menjawat jawatan sebagai Kapten Pasukan Wataniah ketika Jepun menyerah.
Pada tahun 1947, Tun Abdul Razak dikurniakan biasiswa oleh Kerajaan Kolonial sebagai balasan jasa-jasanya menentang Jepun untuk melanjutkan pengajian di bidang undang-undang di England. Tun Abdul Razak seorang yang cerdas, dalam masa 18 bulan sahaja beliau dapat menamatkan pengajian undang-undangnya. Pada tahun 1950, beliau menerima ijazah Utter Barrister, Lincoln’s Inn. Dalam masa yang sama beliau aktif sebagai pemimpin pelajar dengan menjadi ahli Parti Buruh Inggeris dan menubuhkan Persatuan Melayu United Kingdom atau Kesatuan Melayu Great Britain (Malay Association of Great Britain), sebuah persatuan yang menyemaikan semangat Kemerdekaan Tanah Melayu. Pada masa itu juga beliau menubuhkan Forum Malaya yang merupakan organisasi bagi pelajar Melayu untuk membincangkan isu-isu politik negara Tanah Melayu. Selain itu, beliau juga menganggotai Persatuan Fabian dan Malayan Student’s Union. Di England jugalah Tun Abdul Razak berkenalan dengan  Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan mereka menjadi rakan karib. Apabila bapanya, Hussein meninggal dunia, Tun Abdul Razak kembali ke Tanah Melayu dan berkhidmat dalam perkhidmatan kerajaan.
Tun Abdul Razak dan keluarganya
Tun Abdul Razak telah berkahwin dengan Tun Rahah Tan Sri Mohd Noah pada 4 September 1952 dan dikurniakan lima orang anak yang semuanya lelaki. Anak sulungnya, Dato’ Seri Mohd Najib kini mewarisi kepimpinannya dengan menjadi Perdana Menteri Malaysia Keenam.
Tun Abdul Razak mula melibatkan diri dalam politik tanah air pada tahun 1950 apabila beliau dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO setelah hanya empat bulan menyertainya. Pada tahun 1951, beliau dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua UMNO. Beliau bertanggungjawab membawa Tunku Abdul Rahman menjadi pemimpin tertinggi UMNO dengan mencadangkan Tunku mengambil alih jawatan Presiden yang dikosongkan oleh Dato’ Onn Jaafar.
Tun Abdul Razak memulakan kariernya dengan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1952 apabila beliau dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang. Pada Februari 1955, beliau dilantik sebagai Menteri Besar Pahang. Pada ketika itu beliau baru sahaja berusia 33 tahun. Pada Jun 1955, Tun Abdul Razak meletakkan jawatannya dalam kerajaan dan bertanding dalam Pilihan Raya Umum pertama sebagai calon Perikatan. Dengan sokongan masyarakat, Tun Abdul Razak memenangi kerusi Majlis Undangan Persekutuan Kawasan Semantan.
Kemenangan Perikatan dengan meraih 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan, membolehkan Perikatan mentadbir negara. Sekali gus Tun Abdul Razak menjadi orang penting dalam kabinet Tunku Abdul Rahman. Tun Abdul Razak telah dilantik sebagai Menteri Pelajaran, Persekutuan Tanah Melayu pada 9 Ogos 1955. Sumbangannya yang terpenting sebagai Menteri Pelajaran ialah memper-kenalkan ‘Penyata Razak’ yang intipatinya ialah menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam usaha mewujudkan sebuah bangsa yang bersatu padu.
Langkah pertama Tun Abdul Razak sebagai Menteri Pelajaran adalah merombak sistem pelajaran penjajah yang mengamalkan dasar pecah dan perintah. Beliau mendapati sekolah-sekolah Melayu serta sekolah-sekolah vernakular Cina dan Tamil tidak diberi sebarang kelebihan. Hasil usaha Tun Abdul Razak, melalui Penyata Razak 1956, beliau berjaya mensepadukan sistem pelajaran untuk membina bangsa yang bersatu padu, Bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi bahasa pengantar utama.
Tun Abdul Razak juga merupakan seorang daripada ahli Parti Perikatan yang telah ke London bersama rombongan kemerdekaan. Beliau telah menjadi perunding dalam rundingan tersebut pada 1956 yang pulang membawa kejayaan apabila British menjanjikan kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.
Selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Tun Abdul Razak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Selepas pilihan raya umum 1959, Tun Abdul Razak menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar di samping memegang portfolio Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan. Selama 10 tahun beliau memegang jawatan Menteri Pembangunan Luar Bandar, beliau telah berjaya membasmi buta huruf dalam kalangan tiga juta rakyat.
Sebagai Menteri Pertahanan, Tun Abdul Razak membawa perubahan kepada Angkatan Tentera dengan melengkapkannya dengan senjata yang moden dan cekap. Selain itu, beliau yang mempunyai pengalaman dalam perang gerila dan mengenali taktik pengganas komunis telah melancarkan gerakan anti-komunis dengan jayanya sehingga zaman darurat. Beliau juga melancarkan Relawan Rakyat (RELA) dan skim Rukun Tentera untuk menjamin keselamatan rakyat.
Pada 13 Mei 1969, negara dikejutkan dengan rusuhan kaum tiga hari selepas pilihan raya umum. Perlembagaan negara digantung, Parlimen dibubarkan, dan darurat diisytiharkan seluruh negara. Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ditubuhkan dan mengambil alih pentadbiran kerajaan. Tun Abdul Razak dilantik oleh Tunku Abdul Rahman sebagai Pengarah MAGERAN. Di bawah MAGERAN ketenteraman awam berjaya dipulihkan.
Pada 22 September 1970, Tun Abdul Razak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri yang kedua setelah Tunku Abdul Rahman meletakkan jawatan. Langkah penting yang diambil oleh beliau setelah menjadi Perdana Menteri ialah meningkatkan perpaduan kaum dan memajukan ekonomi rakyat. Tun Abdul Razak telah melancarkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Rukun Negara.
Sumbangan Tun Abdul Razak yang paling penting adalah berusaha membangunkan Malaysia. Tujuan Tun Abdul Razak adalah untuk menghapuskan kemiskinan, kejahilan dan penyakit. Oleh itu, beliau telah melancarkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang merangka pembangunan negara secara berperingkat melalui Rancangan-rancangan Malaysia dari 1970 hingga 1990.
Bersama menteri-menteri luar ASEAN pada 1974
Oleh itu beliau berusaha meningkatkan taraf hidup golongan luar bandar melalui Rancangan Buku Hijau (1974) serta pembukaan tanah melalui FELDA dan FELCRA. Penubuhan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan atau Federal Land Development Authority (FELDA) merupakan idea cetusan Tun Abdul Razak yang bertujuan untuk meningkatkan penggunaan tanah dengan lebih cekap dan berkesan. Antara projek terawal yang dilaksanakan oleh FELDA ialah pembukaan rancangan tanah Lembah Bilut (1957) yang meliputi kawasan seluas 22 batu persegi melibatkan perbelanjaan sebanyak $2.5 juta. Melalui rancangan ini setiap peserta diberi tanah seluas tujuh ekar bagi tanaman getah dan tiga ekar tanah dusun. Hari ini FELDA telah menjadi sebuah organisasi raksasa dengan pembukaan lebih setengah juta hektar tanah dan lebih daripada setengah juta orang mendapat manfaat dari FELDA.
Tun Abdul Razak juga telah merangka Rukun Negara yang mempunyai lima prinsip pada 31 Ogos 1970. Rukun Negara merupakan ideologi kebangsaan yang mengandungi hasrat murni ke arah membentuk sebuah masyarakat dan negara Malaysia yang demokratik, adil, saksama, liberal dan progresif.
Di arena antarabangsa, Tun Abdul Razak juga adalah orang yang bertanggungjawab berunding dengan Indonesia untuk menamatkan ‘konfrantasi’ yang dilancarkan oleh negara itu ke atas Malaysia yang didalangi oleh Parti Komunis Indonesia (PKI). Beliau juga mewakili Malaysia ke Rundingan Bangkok 1966 dan Rundingan Manila 1963. Beliau banyak menjadi wakil untuk sebarang rundingan, mesyuarat dan hubungan diplomatik dengan negara-negara luar. Tun Abdul Razak juga telah mengadakan beberapa lawatan keamanan ke negara-negara Asia, Eropah dan Amerika Syarikat.
Beliau telah dianugerahkan gelaran sebagai Bapa Pembangunan Malaysia. Beliau merupakan seorang negarawan yang telah mengabadikan kehidupannya untuk kemakmuran dan kemajuan rakyat serta negara Malaysia. Beliau juga adalah seorang pemimpin ulung yang berjiwa besar dan setia.
Pelbagai kurniaan dan darjah kebesaran dianugerahkan kepada Tun Abdul Razak dalam dan luar negara. Bagi memperingati segala jasa dan sumbangan Allahyarham kepada negara, kerajaan telah membina Memorial Tun Abdul Razak yang terletak di Jalan Perdana, Kuala Lumpur. Memorial ini pada asalnya merupakan bekas kediaman rasmi beliau dan keluarga semasa hayatnya. Memorial ini siap dibina pada bulan Oktober 1961 sebagai kediaman rasmi beliau dan kemudiannya diubahsuai menjadi sebuah memorial pada tahun 1994. Memorial ini menempatkan bahan-bahan pameran seperti gambar potret, dokumen-dokumen, buku-buku, bahan-bahan pandang dengar, hadiah-hadiah dan anugerah-anugerah kebesaran dan memorabilia kepunyaan dan mengenai Allahyarham Tun Abdul Razak sejak kecil sehingga akhir hayat beliau.
Tun Abdul Razak semasa hayat beliau telah banyak mencurahkan tenaga dan usianya kepada perjuangan menegakkan kedaulatan negara, kesejahteraan rakyat dan keamanan dunia. Jasanya yang tidak ternilai ini diharapkan dapat dicontohi serta diteladani oleh semua pemimpin-pemimpin dan juga seluruh rakyat Malaysia.
Tun Abdul Razak meninggal dunia pada 14 Januari 1976 di London kerana penyakit leukemia. Jenazah Allahyarham Tun Abdul Razak telah disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


















KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin