Firman Allah SWT:
“(Al-Quran ini) sebuah kitab yang
diturunkan kepadamu (wahai Muhammad dari Tuhanmu). Oleh itu, janganlah
ada perasaan bimbang dalam dadamu mengenainya, supaya engkau memberi
amaran dengan Al-Quran itu (kepada orang-orang yang ingkar), dan supaya
menjadi peringatan bagi orang-orang yang beriman.” (Surah al-A’raf 7:2)
Pada 16 Ramadhan 1432 yang lalu kita
telah meraikan Hari Nuzul Al-Quran (Penurunan Al-Quran). Insya Allah
pada tanggal yang sama pada bulan hadapan, 16 September, sekali lagi
seluruh rakyat Malaysia akan menzahirkan rasa syukur terhadap nikmat
keamanan dan kesejahteraan dikurniakan sebuah negara Malaysia yang
tercinta ini. Marilah kita menadah tangan berdoa agar diamanjayakan
negara ini.
Kita semua samada pemimpin dan rakyat
sepakat dan setuju mengatakan usaha membangun dan mengekal 1001 nikmat
anugerah Allah terhadap nikmat bernegara ini adalah kerja besar. Sangat
berhajat kepada pedoman, tunjuk ajar dan bimbingan Allah Yang Maha
Besar. Pedoman-pedoman yang berharga itu akan kita temui di dalam
Al-Quran kepada sesiapa yang menggalinya.
Sempena sambutan hari penurunan
Al-Quran, saya mengajak para pembaca sama-sama menekuni beberapa pedoman
keramat dari Allah Yang Maha Besar Tuhan Yang Maha Mengamankan
menerusi beberapa ayat al-Quran.
PEDOMAN 1
Firman Allah SWT:
“(Balasan) yang demikian itu, ialah
kerana sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah
dikurniakanNya kepada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang
ada pada diri mereka sendiri. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha
Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Keadaan mereka) samalah seperti
keadaan Firaun dan kaumnya serta orang-orang yang terdahulu dari
mereka. Mereka mendustakan ayat-ayat Tuhan mereka, lalu Kami binasakan mereka dengan sebab dosa-dosa mereka, dan Kami tenggelamkan Firaun serta pengikut-pengikutnya (di laut), kerana kesemuanya adalah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Anfal 8:53-54)
Firman Allah lagi:
“Tidakkah mereka memerhati dan
memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum
mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di
muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan
kepada kamu, dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya, dan
Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka, dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain?” (Surah al-An’am 6:6)
Firman Allah lagi:
“Tidakkah mereka telah berjalan dan
mengembara di muka bumi, dengan itu tidakkah mereka memerhatikan
bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang
itu adalah orang-orang yang lebih dari mereka tentang kekuatan tenaga
dan tentang kesan-kesan usaha pembangunan di muka bumi. Maka sekalipun
demikian, Allah binasakan mereka dengan sebab dosa-dosa mereka, dan tiadalah bagi mereka sesiapapun yang dapat menyelamatkan mereka dari azab Allah.” (Surah Ghafir 40:21)
Secara tematiknya ataupun secara tafsir maudhu’inya kita menyimpulkan bahawa pedoman pertama mengungkapkan bahawa dosa hasil dari maksiat dan kemungkaran adalah antara faktor mengekalkan nikmat bernegara dan bermasyarakat menjadi sukar dan bermasalah.
PEDOMAN 2
Al-Quran memberi pedoman bahawa dosa yang akan memusnahkan nikmat sedia ada terbahagi kepada dua: yang zahir dan yang batin.
Firman Allah SWT:
“Dan tinggalkanlah kamu dosa yang nyata dan yang tersembunyi. Kerana sesungguhnya orang-orang yang berusaha melakukan dosa, mereka akan dibalas dengan apa yang mereka telah lakukan.” (Surah al-An’am 6:120)
Firman Allah SWT:
“Katakanlah: Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi.” (Surah al-A’raf 33)
Al-Marhum Syeikh Mutawalli Sya’rawi ketika memberi komentar beliau untuk ayat 120 surah al-An’am, beliau mengungkap:
“Kerosakan masyarakat sumbernya banyak
yang tidak dikesan oleh pancaindera. Di sana banyak juga kerosakan ini
berpunca dan bermula dari dalaman diri itu sendiri sebagai momentum
perselisihan. Sebelum munculnya dosa-dosa zahir, wujud dahulu dosa-dosa
batin. Maka undang-undang manusia cuba memelihara kita daripada
dosa-dosa zahir manakala undang-undang langit memelihara kita daripada
kerosakan dosa zahir dan dosa batin.”
Dr Sa’id Ramadhan al-Buti dalam bukunya
“Bawatin al-Ithmi” menyenaraikan contoh maksiat / kemungkaran batin
yang membawa kepada dosa seperti tidak sayang kepada Islam, sombong,
riya’, takabbur, individualistik, hasad dengki, rakus pangkat dan
pengaruh, tiada sifat belas, tamak dan lain-lain lagi.
Semoga kita semua, raja dan rakyat,
ulamak dan umarak berusaha menyisihkan dosa zahir dan batin dalam
kehidupan kerana al-Quran memberi pedoman bahawa al-zunub (dosa) boleh
menghakis nikmat Allah kepada kita termasuk nikmat bernegara secara
aman dan damai. Penghakisan nikmat itu ada yang drastik, ada yang
perlahan tidak disedari, ada yang bersifat zahir dan ada yang bersifat
batin.
Ada orang senang tapi tak tenang, ada orang kaya tapi tak upaya, ada orang yang mewah tapi lemah.
PEDOMAN 3
Tasik kasih al-Rahman dan al-Rahim Allah
tidak pernah kontang untuk melimpahkan air kasih sayangNya kepada
mereka yang segera sedar dan bertaubat atau dalam istilah al-Quran
sebagai istighfar dan taubat, bahkan
al-Quran memberi penegasan bahawa “kuasa” istighfar dan taubat bukan
sekadar membersihkan diri dari dosa tetapi ia juga akan bukan sekadar
mengekal nikmat yang ada bahkan menambahkan nikmat yang sedia ada.
Firman Allah SWT:
“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat
kepadaNya; supaya Dia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik
(di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula)
Dia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan
(dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu; dan jika
kamu berpaling (membelakangkan tiga perkara itu), maka sesungguhnya
aku bimbang kamu akan beroleh azab hari kiamat yang besar
(huru-haranya)”. (Surah Hud 11:3)
FirmanNya lagi:
“Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat
kepadaNya, supaya Dia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta
menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan
janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa!” (Surah Hud 11:3)
Kesimpulan yang boleh kita ambil dari tulisan ini ialah:
- Kita memerlukan perkenan dan keizinan Allah Yang Maha Besar untuk menggalas tugas besar mempertahankan nikmat Allah.
- Dosa hasil maksiat dan kemungkaran membawa kesan kepada kemusnahan peringkat individu, masyarakat dan negara.
- Dosa itu pula ada yang nampak zahir dan ada yang berlaku secara rahsia dan berlaku dalam diri.
- Memohon ampun kepada Allah (istighfar) dan kembali menjalani ketaatan (taubat) akan memelihara nikmat sedia ada bahkan akan menambahkan kekuatan sedia ada.
Akhir al-kalam saya mengingatkan diri
saya dan pembaca yang diamanahkan mentadbir bumi Malaysia yang disayangi
ini dengan firman Allah SWT:
“Adakah (yang demikian itu
tersembunyi dan) tidak jelas kepada orang-orang yang mewarisi negeri
itu sesudah penduduknya (hilang lenyap kerana ditimpa bencana), bahawa
kalau Kami kehendaki tentulah Kami akan menimpakan mereka pula dengan
azab disebabkan dosa-dosa mereka, dan Kami meteraikan di atas hati
mereka sehingga mereka tidak dapat mendengar (nasihat-nasihat
pengajaran)?” (Surah al-A’raf 7:100).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan