Gambar sekadar hiasan sahaja.
Jika kita sedar betapa beratnya implikasi dan akibat yang terpaksa ditanggung di akhirat kerana menuduh orang sesat, pasti kita lebih berhati-hati kerana sesat adalah tuduhan yang boleh berbalik. Jika orang yang kita tuduh tidak sesat, kitalah yang sesat. Tegasnya, cepat menuduh sesuatu pihak sebagai sesat (sedangkan diri kita sendiri tidak mempunyai bukti yang jelas dan nas yang kukuh melainkan hanya bertaklid dengan cakap-cakap pihak lain) adalah satu kesesatan.
Perkataan sesat tidak boleh ditafsirkan mengikut selera dan kehendak hawa nafsu semata-mata. Kayu ukur menilai kesesatan bukan fikiran dan perasaan, tetapi Al Quran. Kemudian disusuli oleh hadis Nabi Muhammad s.a.w. Kalaulah dalam kehidupan kita sendiri Al Quran tidak jadi panduan malah jarang sekali dibaca….. bagaimana sewenang-wenangnya kita tergamak menuduh orang lain sesat? Kalau begitu sikap kita samalah keadaannya dengan Firaun yang menyesatkan Nabi Musa a.s, Abu Lahab yang menyesatkan Nabi Muhammad s.a.w. atau Namrud yang mengatakan Nabi Ibrahim a.s. itu sesat. Musuh-musuh Allah itu merasa diri merekalah yang paling benar walaupun hakikatnya merekalah orang yang sesat lagi menyesatkan.
Hal yang terbalik dan songsang ini telah terjadi sekali lagi. Manusia yang hidupnya bergelumang dengan riba, mendedahkan aurat, bergaul bebas, cuai sembahyang, hasad dengki, takbur, sombong, pembohong dan lain-lain sifat mazmumah telah tampil ke tengah masyarakat sebagai juara memerangi atau menuduh kekesatan. Begitu juga dengan media yang saban waktu menyiarkan gambar pendedahan aurat, cerita fitnah dan melaga-lagakan umat, sibuk-sibuk bercakap mengenai kebatilan dan kesesatan.
Sepatutnya marilah kita sama-sama berdialog dalam diri, muhasabah seluruh lisan dan tindakan, lahir dan batin, apakah ciri-ciri kesesatan ada dalam diri kita? Kalau kita melihat orang lain itu berada dalam kesesatan, sepatutnya kita membimbing dan mendoakan mereka, bukan dengan jalan membuat tuduhan atau menyisihkan mereka. Contohnya, kita melihat orang yang tidak sembahyang, jangan kita cepat menuduh dia sesat dan sebagainya, kita bimbing dan doakan mereka. Begitu juga di masa yang sama kita fikirkan diri kita yang sudah berbuat sembahyang ini, apakah ibadah kita ini sudah diterima oleh Allah s.w.t. atau tidak, jangan kita merasa yang kita sudah mengerjakannya, kita sudah merasa selamat.
Kumpulan-kumpulan dakwah atau harakah juga, tidak boleh mengatakan kumpulan dakwah atau harakah dia sahaja yang betul, kumpulan dakwah dan harakah orang lain tidak betul. Termasuk juga individu-individu yang sudah beramal atau menjadi pejuang agama, boleh mengatakan pihak individu lain tidak betul amalannya atau perjuangannya.
Begitu
juga, kita jangan memandang hina kepada orang kafir kerana kekafiran
mereka, kita sepatutnya mendakwah dan mendoakan mereka, moga-moga dia
akan beriman kepada Allah s.w.t. Mana tahu dengan izin Allah s.w.t. dia
mendapat taufik dan hidayah dan mati dalam beriman kepada Allah s.w.t.
dan kita yang sekarang sudah boleh beramal dan beriman ini, ditakuti
nanti mati dalam kekufuran. Sesungguhnya nasib kita belum tahu apakah
mati dalam iman atau mati dalam kekufuran, patutnya inilah yang kita
fikirkan dan tangisi selalu. Janganlah kita menjadi orang yang tertipu
dalam beramal.
Jika
kita sibuk berjuang mendedahkan kesesatan atau kebatilan, mengapa hanya
separuh-separuh sahaja contohnya; mendedahkan aurat itu satu kesesatan,
tidak ada tapi-tapinya lagi. Alasan yang mengatakan ia perlu untuk
hiburan, sukan dan apa juga sebab, tidak diterima. Jika tidak percaya,
cuba tanya ulama-ulama yang punya autoriti (kalaupun segan pada
ulama-ulama yang rasmi). Jika ada ulama yang berani bekata: mendedahkan
aurat harus kerana bersukan, berlakon, menari dan lain-lain, jelaslah
ulama Us Suuk (ulama jahat). Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan
yang dipaparkan melalui media hiburan atau ruangannya di dada akhbar
adalah sesat…. jika tidak percaya, sila tanya ulama….
Jangan
lupa untuk tanyakan lagi mengenai riba, mengenai ramalan
bintang-bintang, memaparkan cerita-cerita rogol, cerita zina, iklan
wayang, karenah bintang filem dan para artis, jangan lupa! Tanyakan
semuanya pada ulama. Kemudian paparkan jawapan mereka dalam ruangan
istimewa, supaya seluruh masyarakat tahu.
Kesesatan
tetap satu kesesatan, walaupun ia nampak gagah dengan pendukungnya yang
ramai, punya kuasa dan banyak harta. Kebenaran tetap satu kebenaran
walaupun ia kelihatan dhaif, pendukungnya sedikit dan kelihatan
seolah-olah akan kalah untuk mengatasi kebatilan. Yang menang tidak
semestinya benar, yang kalah tidak semestinya salah. Kita ada hari lagi
yang mana ketika itu yang benar pasti menang dan yang salah pasti kalah.
Ketika itu pasti tiba, kerana kebenaran itu pasti dibela oleh Allah.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:“Yang haq (benar) dari Allah, jangan
kamu menjadi orang yang menentang.”
Nampaknya
pada saat ini, ketika ini, yang batil masih gagah dan lanjut usianya.
Sengaja Allah sunnahkan begitu buat menguji pendukung kebenaran dan
sebagai satu cara untuk lebih menyesatkan golongan yang sesat. Agar
dengan itu tersaring pejuang Islam yang palsu dan pendukung kesesatan
pula akan merasa “confident” dengan kesesatan.
Bila
ada golongan yang bising-bising mengenai zikir, konon ada kumpulan yang
berzikir hingga lupa tegak kemajuan dan lupa tanggungjawab, tentulah
golongan yang langsung tidak berzikir rasa betul kerana mereka tidak pun
dapat teguran. Malah tidak ada siapa pun berani menegur orang yang lupa
untuk sembahyang maghrib dan isyak ketika satu-satu perlawanan sukan
diadakan di stadium-stadium besar. Bukan itu sahaja, penonton siaran
itupun tidak pernah ditegur agar sembahyang maghrib. Kalau peribadi
pemain lagi-lagilah tidak…. Sepatutnya para ulama bersuara tentang hal
ini, jangan bila soal cara berzikir sampai nak patah leher kita
berhujjah tapi bila soal waktu sembahyang yang terang-terang dilanggar
tidak pula diendahkan.
Saya
berterima kasih atas teguran jujur lagi ikhlas yang bertujuan
membetulkan sesuatu kesilapan. Tapi jika ia dilontarkan penuh prasangka
dan tidak bertolak ansur, saya rasa itu di luar batas peri kemanusiaan.
Ada pihak yang menyeru anak muda jangan dekati kumpulan dakwah, yang
katanya menyeleweng dan menyesatkan…. teguran itu bagus. Tapi perlu juga
ingatkan anak muda jangan dekati kumpulan rock, panggung-panggung
wayang, pita-pita vcd atau Video dan aktiviti-aktiviti yang terlibat
dengan pergaulan bebas lelaki perempuan. Kenapa diam membisu dalam
perkara-perkara yang jelas haram tetapi lantang dalam soal-soal yang
masih boleh dipertikaikan.
Mengapa
kita tidak berhati-hati juga dalam perkara-perkara yang boleh
membatalkan syahadah seperti membina dan menghormati patung-patung
berbentuk manusia dan binatang? Mengapa kita tidak sensitif dengan
ucapan: “Kalau semua nak ikut Islam susahlah….” “Hukum Islam tak sesuai
lagi zaman ni…..” “Hukum rejam dan rotan pada para penzina tidak
berperikemanusiaan.” “Tidak logiklah kalau semua nak ikut Quran dan
sunnah.” Ucapan-ucapan ini, sesungguhnya boleh menjejaskan akidah. Dan
ia selalu kedengaran diucapkan oleh ramai orang, tidak kira orang besar
atau orang kecil, yang berkuasa mahupun rakyat jelata, yang kaya atau
yang miskin.
Kekalutan
kita terhadap perkara-perkara yang masih boleh diperbahaskan secara
baik, yang masih kabur antara masalah iktikad atau masalah furuk,
janganlah sampai menutup mata kita terhadap perkara-perkara yang jelas
betul tapi belum ditegakkan, yang jelas salah tapi belum dihapuskan.
Saya rasa belum ada ulama yang menghalalkan judi, tetapi mengapa judi
masih berleluasa malah diiklankan di khalayak ramai? Begitu juga dengan
arak, mengapa kilang-kilang arak terus didirikan atas alasan ekonomi dan
kita tidak pernah pun menentangnya secara lantang? Mengapa kita tidak
pernah memikirkan jutaan umat Islam yang masih terjebak dengan riba
melalui pinjaman berbunga di bank-bank sedangkan kita telah sepakat
mengatakan riba adalah haram dan balasannya neraka? Mengapa kita tidak
menangis memikirkan berapa ramai anak gadis kita yang masih mendedahkan
aurat? Ketika kita sibuk menyesatkan orang lain, musuh-musuh Islam telah
menyelinap masuk ke dalam rumah kita menyiarkan program-program tv yang
jelas mungkar tetapi kita tidak sedar dan masih sibuk mencari sesat
orang lain. Apakah program tv, pertunjukan rock, tarian, pendedahan
aurat oleh artis tempatan dan luar negeri itu hukumnya halal? Sila
jawab.
Tapi
jika kita masih mengatakan itu haram, mengapa kita tidak memeranginya?
Entah berapa ramai orang Islam yang mengaut dosa mata, tergeliat
fikirannya, rosak hatinya kerana program-program itu…. tapi kita masih
terima hujjah yang mengatakan: “Kita tengok hiburannya bukan auratnya…”
Apakah hujjah ini diterima Allah s.w.t? Apakah hujjah ini yang akan kita
jawab di padang Mahsyar… terpulanglah pada para ulama menjelaskan hal
ini sejelas-jelasnya, tanpa selindung-selindung lagi.
Oh….
mungkin kita boleh berhujjah lagi, perkara-perkara itu memang jelas
haram tapi memandangkan keadaan dan situasi, kita perlu berhikmah,
bertolak ansur dan membuat peningkatan amal secara bertahap-tahap. Kita
perlu berbincang untuk menyebarkan kefahaman kepada semua kaum tentang
Islam, jika tidak, Islam dianggap menyusahkan. Begitulah suara yang
selalu kita dengar.Tapi peliknya, mereka hanya berlembut dengan orang
yang ada kuasa dan ada harta, sebaliknya sangat keras dengan harakah
Islam atau kumpulan-kumpulan dakwah. Kalau mereka boleh bertolak ansur
dengan orang lain atas alasan masyarakat berbilang kaum, masyarakat
masih kurang ilmu dan sebagainya, kenapa tidak berlembut dengan harakah
Islam atau gerakan dakwah atas alasan sama-sama ingin kebenaran? Kalau
dengan pihak yang jelas mengiklankan kemungkaran kita boleh bekerjasama,
mengapa tidak dengan orang yang bercita-cita ingin menegakkan kebaikan.
Walaupun mungkin cara orang yang bercita-cita untuk menegakkan
kebenaran itu tidak kita setujui, tapi itu lebih baik daripada orang
yang terang-terang menjadi pelupur hiburan Barat, dedah aurat dan
pergaulan bebas.
Tapi
inilah yang tidak berlaku. Kita tegas dan kasar dengan orang yang
bercita-cita baik dengan tuduhan sesat tapi duduk semeja dengan pelupur
kemungkaran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan