Hukum Menyambut Hari Valentine's Day Dan Sejarahnya | Seperti
yang kita tahu, Hari Kekasih atau lebih dikenali sebagai Valentine Day
disambut oleh orang bukan Islam pada 14 Februari setiap tahun. Tapi
sedarkah kita masih ramai Umat Islam di dunia ini masih turut
bersama-sama menyambut Hari Kekasih (Valentine Day)?
Sedarkah kita bahawa menyambut hari kekasih itu HARAM? Kenapa? Jom kita
baca kupasan yang telah diambil dari sumber yang boleh dipercayai.
Sama-sama kita renungkan, muhasabah diri dan mencegah Umat Islam yang
lain menyambut Valentine Day.
Sebelum itu mari kita baca kisah peristiwa dan sejarah berkenaan Hari
Kekasih ini supaya akal dan otak kita lebih terbuka untuk menerima
kenyataan.
PERTAMA
Ia dirayakan sempena kejatuhan Kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol
pada 14 Februari 1492. St. Valentino merupakan individu yang telah
memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam pada
masa itu. Disebabkan sumbangan tersebut, St. Valentino dianggap sebagai
kekasih rakyat.
KEDUA
Sambutan ini mengaitkan dengan kematian paderi St. Valentino ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II. Terdapat dua versi cerita berkaitan dengan St. Valentino ini.
VERSI PERTAMA
Pada masa pemerintahan Claudius II, kerajaan Roman yang menyembah dewa-dewi amat memusuhi penganut agama Kristian dan para mubaligh Kristian telah dipenjara serta disiksa.
St. Valentino sebagai seorang yang kuat berpegang dengan ajaran Kristian
dan aktif menyebarkan ajaran tersebut turut dipenjarakan oleh Claudius
II.
St. Valentino diseksa dan akhirnya dihukum bunuh pada 14 Februari.
Pengorbanan yang dilakukan oleh St. Valentino ini dianggap oleh penganut
Kristian sebagai satu pengorbanan yang besar demi kecintaan beliau
terhadap agamanya.
Malah St. Valentino disamakan dengan Jesus yang dianggap oleh penganut
Kristian mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya.
Dikatakan juga bahawa ketika di dalam penjara, dia telah jatuh cinta
dengan anak salah seorang pegawai penjara dan di akhir hayatnya sebelum
dibunuh, dia sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis tersebut
yang bertandatangan ‘From your Valentine’ (Daripada Valentinemu).
Maka orang-orang Kristian mengambil sempena 14 Februari itu untuk
meraikan hari kasih sayang demi memperingati hari kematian paderi mereka
iaitu St. Valentino.
VERSI KEDUA
Claudius II beranggapan bahawa anggota tentera yang muda masih bujang
adalah lebih tabah dan kuat ketika berada di medan peperangan berbanding
dengan mereka yang telah berkahwin.
Justeru itu, Claudius II menghalang para pemuda dari berkahwin. Namun
demikian St. Valentino menentangnya dengan keras dan beliau telah
melakukan upacara pernikahan terharap para pemuda-pemuda Rom secara
sulit.
Aktiviti St. Valentino ini akhirnya dapat diketahui oleh Claudius II
lalu beliau mengarahkan St. Valentino ditangkap dan dihukum gantung pada
14 Februari 269 M.
KETIGA
Valentine’s Day berkaitan dengan pesta sambutan kaum Rom Kuno sebelum kedatangan agama Kristian dinamakan Lupercalia.
Lupercalia merupakan upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13 hingga 18 Februari.
Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta bagi kaum Rom Kuno yang
bernama Juno Februata. Pada hari berikutnya mereka akan melakukan
upacara penyembahan dan membuat perarakan secara besar-besaran terhadap
dewi cinta mereka.
KEEMPAT
Ada pandangan sejarah juga menyatakan sambutan Hari Valentine ini
bersempena dengan sifat burung pada musim mengawan yang jatuh pada 14
Februari. Ini merupakan pendapat tradisi orang Inggeris.
DALIL DAN HUKUM MERAYAKAN HARI VALENTINE
Allah S.W.T telah berfirman:
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani
itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat
kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan
mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka
itu mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada
kaum yang berlaku zalim. ( Al-Maaidah 5:51 )
Allah S.W.T telah berfirman lagi:
Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari
akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang
(perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang
menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau
saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia)
itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan
mereka dengan semangat pertolongan daripadaNya; dan Dia akan memasukkan
mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai,
mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda
(serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Merekalah
penyokong-penyokong (agama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya
penyokong-penyokong (agama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya. (
Al-Mujaadalah 58:22 )
Begitu juga melalui firman Allah S.W.T yang bermaksud:
Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat
tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu
dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam
menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan
hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan
kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman. (
An-Nuur 24:2 )
Rasulullah S.A.W telah melarang untuk mengikuti tatacara ibadat selain Islam:
“Barangsiapa meniru suatu kaum, maka ia termasuk dari kaum tersebut.” (Hadith Riwayat At-Tirmidzi)
Bila merayakannya bermaksud untuk mengenang kembali Valentine, maka
tidak disangsikan lagi bahawa seseorang itu telah kafir, sekiranya dia
tidak bermaksud demikian maka dia telah melakukan suatu kemungkaran yang
besar.
Menurut Al-Lajnah Ad-Da’imah Lil Buhuts Al-’Ilmiyah Wal Ifta’ (Lembaga Pengkajian Ilmiah dan Fatwa Arab Saudi):
Ia merupakan satu dosa kerana dengan begitu nyata telah bertasyabbuh (menyerupai perbuatan orang kafir dan tidak soleh).
Merupakan Hari Raya Nasrani
Seharusnya meninggalkannya dan menjauhinya sebagai sikap taat terhadap Allah dan Rasul-Nya.
Diharamkan atas setiap muslim untuk membantu menjayakan Hari Kekasih, baik berbentuk makanan, minuman, penjualan, pembelian produk, hadiah, surat, iklan dan sebagainya.
(Fatwa tersebut disalin dari buku Al-Fatawa Asy-Syar’iyyah Fi Al-Masa’il Al-Ashriyyah Min Fatawa Ulama Al-Balad Al-Haram)
Asy Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin (Ulama’ Arab Saudi) telah
memberi pandangan bahawa tidak boleh merayakan Hari Kekasih kerana:
Ia merupakan hari raya bid’ah yang tidak ada dasar hukumnya di dalam syariat Islam.
Ia menyebabkan hati menjadi sifat duniawi dan mengejar keseronokan semata-mata.
Tidak halal melakukan ritual hari raya, baik dalam bentuk makan-makan,
minum-minum, berpakaian, saling tukar hadiah atau pun lainnya.
Penetapan hukum juga telah dijelaskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa
Fatwa Negeri Selangor Kali 1/2006. Mesyuarat ini telah memutuskan
bahawa:
“Amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam.
Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang
bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh
Islam.”
Peringatan Dan Nasihat:
- Hendaklah setiap Muslim berpegang teguh dengan Al-Quran dan As-Sunnah dalam semua keadaan.
- Hendaklah setiap Muslim benar-benar berwaspada agar tidak terjerumus dalam kesesatan.
- Hendaklah setiap Muslim kembali kepada Allah dengan memohon petunjuk-Nya dan keteguhan di dalam petunjuk-Nya.
- Valentine’s Day adalah suatu kelalaian dan merupakan ritual agama lain.
- Menyampaikan seruan kebenaran adalah kewajipan bagi setiap Muslim
Benarlah sabda Rasulullah berkenaan peristiwa akhir zaman di bawah ini:
Hadis Peristiwa Akhir Zaman (5)
Ertinya:
Daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata, “Rasulullah S.A.W bersabda,
“Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal
demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jikalau mereka masuk ke
lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka.” Para sahabat bertanya,
“Ya Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani yang Engkau maksudkan?” Nabi
S.A.W menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka?”
Hadith riwayat Muslim.
Keterangan:
Umat Islam akan mengikuti jejak langkah ataupun gaya hidup orang-orang
Yahudi dan Nasrani sehinggakan dalam urusan yang kecil dan perkara yang
tidak munasabah. Contohnya; seandainya orang Yahudi dan Nasrani masuk ke
lubang biawak yang kotor dan sempit sekalipun, orang Islam akan terus
mengikuti mereka.
Pada masakini kita dapat menyaksikan sendiri kenyataan sabdaan
Rasulullah S.A.W ini. Ramai orang Islam yang kehilangan pegangan di
dalam kehidupan. Mereka banyak meniru ‘cara hidup’ Yahudi dan Nasrani
sama ada secara sedar atau tidak. Ramai orang Islam yang telah
terperangkap dengan tipu helah Yahudi dan Nasrani malah ramai pula di
kalangan kita yang menjadi alat dan tali barut mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan