Isnin, 11 Mac 2013

SEJARAH KAUM SULU DI SABAH


Suku kaum Suluk ialah suku kaum yang terdapat di sebelah pantai timur Sabah dari utara Kudat hingga ke tenggara Tawau. Suku kaum Suluk ini adalah penduduk asal di Sabah. Masyarakat Suluk ini adalah tergolong dalam rumpun Melayu sama seperti suku kaum Melayu Brunei, Melayu Arab, Melayu Banjar dan Melayu Jawa. Sebaliknya, masyarakat Melayu Suluk di Sabah ini tidak berbeza dengan bangsa Tausug di Kepulauan Sulu yang terpisah ratusan tahun dari perhubungan dan amalan cara hidup.

Di Sabah, masyarakat Suluk tempatan telah hidup beratus tahun di Sabah bersama masyarakat lain seperti masyarakat Bajau, Dusun, Sungai dan Murut. Pejuang Bangsa Menentang Penjajah British iaitu Datu Paduka Mat Salleh adalah berketurunan Suluk Paitan manakala Bapa Kemerdekaan Sabah iaitu Tun Datu Mustapha Datu Harun adalah berketurunan Suluk Kudat. Pengarah Yayasan Sabah iaitu Tan Sri Datu Khalil bin Datu Jamilul juga adalah berketurunan Suluk tempatan Sabah. Begitu juga dengan Ahli Parlimen Lahad Datu yang juga Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah iaitu Datuk Seri Haji Datu Nasrun bin Datu Haji Mansur yang mana beliau juga adalah berketurunan Suluk Sabah. Manakala selain dari Datu Paduka Mat Salleh, ada ramai lagi pejuang pejuang bangsa penentang penjajah British dari kalangan mereka yang berketurunan Suluk Sabah iaitu Datu Tating di Pulau Balambangan pada tahun 1773, Datu Baginda Putih di Sandakan pada tahun 1879 dan Datu Kedunding pada tahun 1879 di Tungku.

Pada masa kini, masyarakat Suluk di Tawau ( yang dahulunya tinggal bersama dengan masyarakat Tidung di sebuah perkampungan nelayan dikenali sebagai Tawau Lama pada masa kini ), sudah tidak wujud lagi sebagai masyarakat Suluk asli sebaliknya keturunan mereka sudah bercampur baur keturunannya melalui perkahwinan dengan masyarakat lain seperti Tidung, Cina Muslim, Arab, Iban Muslim, Banjar, Jawa dan sebagainya. Mereka lebih dikenali sebagai Masyarakat Melayu di Tawau ini kerana bertutur dalam bahasa Melayu, mengamalkan adat dan budaya Melayu sejak turun temurun. Misalnya keturunan Kee Abdullah ( Cina Muslim ), Penghulu Tawau pertama telah berkahwin gadis Melayu Suluk ( Jumatiah ) dan ramai keturunannya hari ini adalah berketurunan Melayu Tawau. Begitu juga Datuk Abu Bakar Titingan ( Suluk ) yang berkahwin dengan Kee Hayati ( peranakan Cina ) dan mewujudkan ramai keturunan Melayu di Tawau ini.

Ramai masyarakat di Tawau yang dikenali sebagai masyarakat Melayu ini adalah keturunan dari pelbagai suku-suku kaum yang sudah mengalami percampuran darah keturunan sejak dahulu lagi. Mereka tidak boleh dibezakan kerana agama dan budaya yang diamalkan adalah sama. Namun keadaan ini tidak sama dengan masyarakat pendatang dari Indonesia dan Filipina kerana mereka ada budaya yang tersendiri. Ini kerana kewujudan imigran-imigran Indonesia dan imigran-imigran Filipina ini adalah agak terkemudian iaitu setelah Tawau makmur sebagai lubuk sumber ekonomi. Mereka datang ke Tawau semata-mata untuk mencari rezeki dan sebelum kedatangan mereka ke Tawau, mereka sudah pun mempunyai identiti negara mereka sendiri. Berbanding dengan masyarakat Melayu Tawau ini, mereka telah wujud di Tawau sudah terlalu lama iaitu sebelum kedatangan pemerintahan penjajah Inggeris atau sebelum zaman pemerintahan tentera Jepun lagi.


Sejarah Suluk di Sabah

Mengikut sejarahnya, Sabah dahulunya adalah sebahagian Kerajaan Kesultanan Melayu Sulu ( di sebelah timur ) yang begitu rapat hubungannya dengan Kerajaan Kesultanan Melayu Brunei ( di sebelah barat Sabah ). Tanah jajahan Kerajaan Melayu Sulu meluas hingga keseluruhan bahagian timur Sabah termasuk di kawasan sepanjang Sungai Sugut, Sungai Labuk dan Sungai Kinabatangan dan Sungai Segama. Masyarakat Melayu Suluk telah membuka penempatan di pesisiran pantai sebelah timur Sabah. Misalnya, Sandakan dan Lahad Datu adalah contoh penempatan yang diberi nama mengikut bahasa Suluk asli. Sandakan adalah bermaksud 'Tanah Gadaian' manakala Lahad Datu bermaksud 'Persinggahan Datu'.

Di Tawau, masyarakat Suluk tempatannya agak berbeza dengan masyarakat Suluk Sabah yang lain. Ini kerana masyarakat Suluk Tawau yang telah wujud lama di Tawau ini telah berasimilasi dengan masyarakat Melayu lain yang ada di Tawau. Mereka hidup bersama dan berkahwin dengan masyarakat suku kaum Melayu lain seperti Melayu Tidung, Melayu Banjar, Melayu Arab, Melayu Jawa , Melayu Bugis dan sebagainya. Rentetan dari perkahwinan campur antara pelbagai suku kaum Melayu ini, kini masyarakat Melayu Suluk di Tawau lebih dikenali sebagai Masyarakat Melayu Tawau.

Oleh kerana Sabah Timur di bawah pemerintahan Kerajaan Melayu Sulu, banyak golongan bangsawan di kalangan masyarakat Suluk Sabah yang dilantik sebagai wakil pemerintah Kerajaan Melayu Sulu. Misalnya Datu Paduka Mat Salleh yang diberi kuasa untuk menjaga perairan Sungai Sugut. Gelaran 'Datu' pula adalah gelaran yang diberikan kepada golongan bangsawan masyarakat Melayu Suluk di Sabah. Di Tawau pula, pemimpin Melayu dari keturunan Suluk yang pernah memimpin masyarakat suatu ketika dahulu ialah Sarip Ali dari tahun 1905 hingga 1912. Selepas itu, ketika sebelum dan selepas Perang Dunia dan Pendudukan Jepun di antara tahun 1937 hingga 1953, Penghulu Abu Bakar yang juga berketurunan Suluk Tawau pernah memimpin masyarakat Melayu di Tawau. Kemudian era pra kemerdekaan, Datuk Abu Bakar Titingan bin Damsani ( juga berketurunan Suluk Sabah ) pula memainkan peranan sebagai pemimpin masyakarat Melayu di Tawau. Beliau telah dilantik sebagai Pengerusi USNO pada Mei 1962 dan memikul tanggungjawab untuk menyatukan semua orang-orang Melayu pada masa itu di bawah satu payung iaitu USNO bagi menuntut kemerdekaan Sabah melalui Malaysia pada 16 September 1963.


Suluk Tawau Bukan Tausuq ( Filipina )

Suluk Tawau adalah cuma nama asalnya sebuah keturunan namun hakikatnya kewujudan mereka adalah di dalam sebuah komuniti iaitu orang-orang Melayu sama seperti suku-suku kaum Melayu lain yang terdapat di Tawau seperti Melayu Arab, Melayu Banjar dan Melayu Tidung. Oleh yang demikian, orang-orang Melayu keturunan Suluk di Sabah menganggap diri mereka adalah Orang Melayu lebih-lebih sudah ratusan tahun, mereka cuma bertutur dalam satu bahasa iaitu Bahasa Melayu dan mengamalkan budaya dan adat Melayu bersama komuniti Melayu lain.

Walaupun suku Suluk ini juga ramai terdapat ramai di tempat lain seperti di Filipna dan Kalimantan namun cara hidup, pertuturan dan budaya di antara Suluk Tawau adalah sangat berbeza dengan Suluk di Filipina ( Tausug ). Ini kerana bahasa pertuturan Suluk Tawau adalah bahasa Melayu Sabah manakala pertuturan Suluk di Filipina adalah bahasa pertuturan Suluk [Tausug]. Ramai orang Tausuq di Filipina yang tidak tahu bertutur bahasa Melayu dan bagi yang tahu bertutur dalam bahasa Melayu, loghat pertuturan mereka adalah sangat berbeza dengan loghat masyarakat Melayu Tempatan. Dari segi budaya hidup pula, Suluk Tawau adalah mengamalkan budaya hidup Melayu tempatan Sabah dan gaya hidup bangsa Malaysia manakala masyarakat Tausuq di Filipna telah mengamalkan budaya masyarakat Tausug yang agak berbeza dengan budaya Melayu di Malaysia.


Perbezaan Melayu Tawau ( Berdarah Campuran Suluk ) Dengan Tausuq ( Suluk Filipino )

Melayu Tawau ialah masyarakat Melayu yang wujud di Tawau sebelum zaman penjajahan lagi dan sebelum zaman pendudukan tentera Jepun di Borneo Utara. Manakala Tausuq yang merupakan bangsa pendatang dari Filipina yang datang ke Tawau setelah kewujudan negara Filipino. Di Filipina, mereka dikenali sebagai bangsa Moro manakala di Sabah mereka diwartakan sebagai bangsa Filipino sama seperti bangsa Visaya dan Tagalog yang juga berasal dari Filipina dan datang ke Tawau ketika zaman pergolakan peperangan di selatan Filipina. Walaupun masyarakat Melayu Tawau ada yang berdarah campuran Suluk tetapi mereka tidak tahu langsung bertutur dalam bahasa Suluk sebaliknya hanya tahu bertutur dalam bahasa Melayu Loghat Tawau dan mengamalkan adat tradisi Melayu serta patuh kepada ajaran dan amalan agama Islam yang suci, diwarisi dari nenek moyang mereka yang sememangnya tinggal di Tawau sejak beberapa generasi dahulu.

Masyarakat Melayu Suluk Tawau

       Sebagai penduduk tempatan asli Tawau bersama suku kaum Melayu yang lain seperti Melayu Tidung, Melayu Arab, Melayu Banjar dan Melayu Jawa tempatan, masyarakat Melayu Suluk hidup bersama-sama dengan mengamalkan budaya dan cara hidup Melayu tempatan. Budaya masyarakat Melayu Tawau adalah budaya kemelayuan yang bertunjangkan agama Islam. Masyarakat ini hidup dengan aman di Tawau tanpa terpengaruh dengan budaya dari Indonesia dan Filipina yang dibawa oleh masyarakat pendatang dari kedua buah negara jiran tersebut.Contoh penempatan awal masyarakat Melayu Suluk Tawau bersama masyarakat Melayu Tidung ialah di Kampung Batu Payung, Kampung Apas Balung, Kampung Membalua, Kampung Indrasabah, Kampung Wakuba dan Kampung Ranggu.

Pemimpin masyarakat Melayu di Tawau yang sangat berjasa ketika sebelum dan awal kemerdekaan negeri Sabah ialah Datuk Abu Bakar Titingan, pengasas Persatuan Kebangsaan Melayu Tawau ( PKMT ) pada tahun 1945. Ketua pemimpin masyarakat Melayu pertama di Tawau yang dilantik oleh Kerajaan British ( Penghulu ) pada awal 1900an iaitu OKK Kee Abdullah juga anak angkat kepada seorang nelayan berbangsa Suluk Kudat bernama Ibrahim dan isteri beliau juga adalah seorang wanita Suluk Tawau bernama Jumatiah binti Ami Maidin. Selain itu, terdapat ramai pemimpin dari masyarakat Melayu keturunan Suluk di Tawau yang dilantik menjadi Ketua Anak Negeri sebagai menunjukkan membuktikan yang masyarakat Melayu Suluk Tawau adalah penduduk asal di Tawau. Antaranya ialah OKK Abu Bakar dan OKK Said Sallabi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


















KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin