Pengenalan
Rumah merupakan salah satu peralatan
budaya yang penting dalam kehidupan sesuatu masyarakat. Rumah Melayu dan
pembinaannya menggambarkan satu bentuk budaya bagi orang Melayu yang
mendiaminya.
Rumah Melayu tradisional adalah
sebahagian warisan seni bina orang Melayu yang sangat bernilai dan telah
direka bentuk serta dibina sehingga menampakkan betapa mahir dan
kreatifnya bangsa Melayu dalam bidang seni bina.
Reka bentuk tersebut memaparkan
kebijaksanaan dalam penggunaan dan keluasan ruang mengikut keperluan
semasa, mengadaptasi cuaca dan penggunaan bahan binaan. Rumah
tradisional Melayu melambangkan cara hidup dan sikap terbuka orang
Melayu itu sendiri.
Secara amnya, rumah ini diperbuat daripada kayu dan bertiang. Dinding diperbuat daripada kayu atau anyaman buluh dan beratapkan rumbia/ nipah atau kayu. Tingkap-tingkap mendominasi tampak dari segenap sudut pandangan rumah dan memberikan pengaliran udara yang secukupnya kepada rumah.
Ruang dalaman mempunyai ruang terbuka
yang luas dan mempunyai dinding pemisah yang tersangat minima. Seni bina
Melayu adalah kesan daripada pertembungan budaya kaum yang pernah
mendominasi rantau ini seperti Bugis, Riau, Jawa, Acheh, Minangkabau,
Siam, Cina dan Barat.
Pada peringkat awal, rumah Melayu
tradisional berbentuk rumah asas yang dikenali rumah pisang sesikat.
Bentuk ini kemudiannya berubah mengikut arus perubahan zaman.
Ciri-ciri Rumah Melayu
1. Bumbung
Rumah tradisional Melayu terdiri dari
bumbung tetap, tetapi berubah kepada bentuk limas atau
dipanggil’ Bumbung Belanda’ selepas kedatangan penjajah. Bumbung
sentiasa condong untuk kesesuaian cuaca panas tropika. Di sepanjang
tepian hujung bumbung, dipasang cucur atap atau papan cantik berukir
melambangkan kehalusan seni masyarakat Melayu.
2. Anjung
Anjung merupakan tempat berehat dan
berbincang bagi kaum lelaki. Wanita kebiasaannya di dalam dan lelaki di
luar sesuai dengan sifat lelaki sebagai pelindung rumah.
Ini menunjukkan masyarakat Melayu amat
mementingkan adat dan tatatertib masyarakat, sehinggakan mereka
dipandang tinggi kerana kaya dengan kehalusan budi pekerti. Tambahan,
ini bertujuan mengelakkan fitnah, di mana tetamu lelaki hanya dipelawa
naik hingga ke anjung sahaja.
3. Ruang Utama/Rumah Ibu
Ruang utama ini dipanggil rumah ibu
sempena menghormati peranan ibu sebagai pengelola rumah dan penyeri
keluarga. Sesuai dengan nama ini, fungsinya adalah sebagai tempat
berkumpul ahli keluarga untuk beristirehat dan bersantai bersama-sama.
4. Bilik
Bilik merupakan ruang rahsia tuan rumah
dan ahli keluarga. Kebiasaannya anak lelaki dan perempuan akan
diasingkan. Ini melambangkan masyarakat Melayu mengamalkan ajaran Islam
dalam kehidupan mereka.
5. Dapur
Dibatasi dinding antara ruang utama
dengan dapur. Dapur sebagai tempat memasak dan tempat khas untuk tetamu
perempuan, menandakan peranan perempuan di belakang lelaki.
6. Ukiran
Seni ukir banyak didapati di tangga,
dinding beranda dan papan cucur atap. Ini membuktikan masyarakat Melayu
kaya dengan seni tersendiri. Ukiran yang dibuat bukan sahaja sebagai
seni perhiasaan, malah menggalakkan pengaliran udara dan cahaya masuk
untuk menceriakan rumah.
Pembinaan rumah Melayu dipengaruhi oleh faktor-faktor di bawah;
1. Cuaca
Faktor cuaca memainkan peranan dalam
reka bentuk asas bangunan. Kekerapan hujan mengakibatkan reka bentuk
atap yang lebih cerun dan bertiang untuk mengelakkan banjir.
Kepanasan cuaca juga menyumbang kepada
reka bentuk yang lebih terbuka seperti kehadiran tingkap yang banyak,
berandah dan tiang itu sendiri memberi laluan angin di bahagian bawah
rumah.
Tidak cukup dengan itu, lubang angin di bahagian atas tingkap dan bumbung juga telah direka untuk keselesaan secara maksima.
2. Sumber Alam
Bahan binaan ialah kayu, rotan,
akar, buluh, dan dedaun dari sumber hutan terdekat. Kayu menjadi
tunjang kepada struktur bangunan, manakala rotan dan akar menjadi
pengikat, kayu atau batang pinang menjadi lantai, buluh dan daun rumbia
atau nipah menjadi dinding dan atap.
3. Budaya dan adat resam
Budaya dan adat resam juga memainkan
peranan yang besar dalam membentuk seni bina rumah Melayu. Misalnya
kehadiran Islam telah mempengaruhi orientasi bangunan mengarah ke
kiblat. Definisi ruang juga diatur dan diubah aras mengikut kegunaan
adat resam bertandang, kenduri dan aktiviti keluarga.
4. Pengaruh asing
Kehadiran penjajah Barat telah memberi
alternatif baru kepada teknik seni bina Melayu. Sebagai contoh, zink dan
atap genting telah mengambil alih atap rumbia dan kayu, bata dan simen
telah mengambil tempat kayu sebagai tiang, tangga dan dinding, paku
menggantikan pasak kayu dan akar sebagai penghubung atau pengikat.
Pengaruh ini boleh dilihat secara positif dan negatif oleh umum, iaitu pertembungan dua unsur iaitu praktikal dan seni.
Kesimpulan
Kreativiti minda bangsa Melayu yang
diwarisi oleh tukang-tukang yang mahir telah menghasilkan reka bentuk
seni bina yang bukan sahaja indah malahan halus dan kaya
dengan falsafah yang tersirat tetapi mudah difahami. Tetapi sayang,
tradisi ini tidak lagi dapat bertahan dalam arus pemodenan bangsa
Melayu kerana amat sukar mendapati tukang yang mahir dewasa ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan