Rabu, 27 Mac 2013

INGAT ALLAH SETIAP MASA DAN WAKTU

Semoga Allah merahmati dan meberkati kita semua. Mohonlah petunjuk dan hidayah dari Allah setiap masa agar kita di tunjukkan jalan yang lurus kerana kita memang selalu leka. Kebahagian itu adalah sentiasa mengingati Allah pada setiap apa sahaja yang kita lakukan. Sesungguhnya kita ini tiada daya dan kekuatan hanya Allah sahaja yang yang berkuasa.
Dalam apa jua perkara kita perlu mendahulukan Allah dari segala-galanya. Ia mudah di sebut dan tulis tapi tak semudah untuk mengamalkan dalam kehidupan harian kita. Hari ini kita boleh ingat Allah dan mendahulukan Allah tapi esok belum tentu. Tiada apa-apa jaminan bahawa kita akan sentiasa ingat Allah. Kadangkala pula bila kita ingat Allah kita UJUB pulak. “Aku dah ingat Allah dan naik makam ni”. Perkara itu tidak kekal kerana semua masih terpulang pada Allah. DIA-lah yang  menentukan hari pembalasan. Hanya Allah sahaja yang tahu.
Selalulah berdoa dan mohon keampunan yang banyak dan ISTIQAMAH dalam mengingati Allah. Allah itu hadir pada jiwa yang inginkan Allah. Mereka yang ingat Allah itu bersaudara, tidak menyalahi atau bersilisih pendapat, tidak bersangka-sangka kerana mati, hidup, ibadat mereka semata-mata kerana Allah.
Ya Allah berikan lah aku petunjuk dan hidayah mu ya Allah. Tunjukkan lah aku yang benar dan jalan yang lurus ya Allah. Bukan jalan yang enko nampakkan macam BENAR tetapi telah menyeleweng secara Halus ya Allah!.
Zahiruddin
Di sini juga saya ingin sertakan tulisan MUFTI PERLIS yang sekarang ni:
Berdoa minta pertolongan hendaklah sepanjang masa bukan ketika berdepan musibah.
Oleh Mufti Perlis Yang Sekarang

RAMAI yang meminta kepada manusia tetapi tidak mahu meminta kepada Allah SWT. Mereka juga pandai menjaga hubungan baik dengan manusia tetapi memutuskan hubungannya dengan Allah SWT.
Mereka bergantung kepada manusia dan berharap mendapat manfaat daripadanya sehingga melupakan kuasa Allah SWT yang memberi manfaat dan mudarat. Perbuatan sebegini boleh menyebabkan iman seseorang terjejas. Seolah-olah mereka hilang kepercayaan kepada Allah SWT, padahal Dialah yang menggenggam ubun-ubun setiap makhluk.
Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik berjumpa dengan cucunda Umar bin Al-Khattab, seorang warak, zuhud lagi alim bernama Salim bin Abdullah bin Umar al-Khattab. Kedua-duanya berada di Baitullah. Khalifah bertanya: “Apakah kamu mempunyai hajat kepadaku, wahai Salim?” Salim menjawab: “Wahai Sulaiman tidakkah engkau malu mengatakan itu padahal engkau berada di Baitullah? Kemudian Salim keluar dan Sulaiman menunggunya di luar Baitullah dan kembali bertanya: “Apakah kamu mempunyai keperluan kepadaku?” Salim bertanya juga: “Keperluan dunia atau akhirat, wahai khalifah?” Sulaiman menjawab: “Keperluan dunia.” Salim berkata: “Adapun tentang keperluan dunia, kepada yang memilikinya pun aku tidak pernah meminta, bagaimana mungkin aku memintanya kepada yang tidak memilikinya?
Kepada Allah SWT yang memiliki dunia dan segala isinya pun beliau tidak meminta kecuali untuk kepentingan akhiratnya saja, apatah lagi kepada manusia yang hakikatnya tidak memiliki apa-apa. Begitu kuatnya hubungan orang mukmin kepada Allah SWT melebihi hubungan sesama manusia di dunia ini. Keyakinannya kepada Allah SWT terpacak kukuh dan tidak mungkin digoyah oleh kuasa apapun.
Orang mukmin berpegang kepada satu keyakinan, iaitu hanya kepada Allah SWT, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Dan jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tidak ada yang menghilangkannya melainkan Dia dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah Al-An’am: 17)
Apabila syaitan pernah meminta kepada Allah SWT dan permintaannya dimakbulkan, mengapa ramai manusia tidak yakin dengan doanya kepada Allah SWT seterusnya berhenti berharap, berputus asa daripada rahmat-Nya dan mencabut akar keyakinan daripada hatinya kepada Allah SWT? Sedangkan iblis diberi peluang, inikan pula manusia makhluk pilihan paling mulia.
Sebagaimana yang terakam di dalam surah Al-A’raf: 14-15, maksudnya: “Iblis berkata: Beri tangguh kepadaku sampai waktu mereka (manusia) dibangkitkan”. Allah berfirman: Sesungguhnya kamu termasuk mereka yang diberi tangguh.”
Sehebat dan sekuat apapun, manusia tetap makhluk yang tidak berupaya melawan takdir-Nya. Dia memerlukan pertolongan Allah SWT, menyandar pada rahmat-Nya, bergantung hidup kepada limpah kurnia-Nya dan mengharapkan belas kasihan ketika menghadapi sebarang musibah.
Namun begitu, ada juga yang bergantung kepada Allah SWT ketika susah saja, jika sudah berakhir kesusahannya dia kembali berpaling. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan apabila manusia ditimpa bahaya dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, dia (kembali) melalui (jalan yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya, begitulah orang-orang yang melampaui batas itu memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan.” (Surah Yunus: 12)
Mengapa cepat sekali hati berubah? Sekejap ingat sekejap lupa, iman dan kufur bertukar-tukar seperti baju yang dipakai. Benarlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bersegeralah kalian mengerjakan amal soleh. Kerana akan terjadi bencana yang menyerupai malam yang gelap, iaitu seseorang yang pada waktu pagi beriman tetapi pada waktu petang dia kafir atau sebaliknya pada waktu petang dia beriman dan pada pagi harinya dia kafir. Dia menukar agamanya dengan sedikit keuntungan dunia.” (Hadis riwayat Muslim)
Perubahan iman yang berlaku sebegini pada asasnya disebabkan renggangnya hubungan manusia dengan Allah SWT, lemahnya keyakinan mengenai sifat-Nya dan kejahilan yang disengajakan. Secara sengaja mereka menolak kebenaran al-Quran dan Sunnah, berdolak-dalih mencari alasan untuk meninggalkan agama ke tepi. Pandai berputar belit menafikan ayat-ayat Allah dan semua itu dilakukan kerana mereka lupa siapa diri mereka sebenarnya.
Jika mereka berpijak pada bumi nyata, mereka akan menghayati kelemahan diri. Mereka memerlukan Allah SWT untuk selamat sampai ke tujuan. Jika mereka diliputi kesulitan hanya kepada Yang Maha Kuasa saja tempat bergantung. Apabila tiada lagi kekuatan dalam diri yang boleh menyelamatkan maka mereka menjerit mencari Tuhan Yang Maha Perkasa. Sebagaimana jeritan Qarun dan Firaun, kaum ‘Ad dan Tsamud. Sedangkan Nabi Musa merayu kepada Bani Israil setelah berkali-kali dikecewakan dengan kekufuran mereka:
Walau diri pernah ternoda oleh dosa dan maksiat, tetaplah berharap kepada Allah SWT. Sesiapa yang memutuskan hubungan dengan Allah maka dia akan terputus daripada kesenangan dunia dan di akhirat pula menanti azab yang kekal selama-lamanya. Doa dan harapan kepada Allah adalah senjata yang paling tajam untuk membunuh iblis dan syaitan. Doa seorang hamba melemahkan semangat iblis untuk menyesatkannya dari jalan Allah. Disebabkan tangisan, ketakutan, harapan dan cemas mengiringi doa seorang hamba membuat iblis berputus asa seketika.
Apatah lagi mendengar ketulusan seorang yang menyerahkan segala permintaannya menurut ilmu Allah SWT bukan menurut kehendak diri sendiri. Sebagaimana doa Nabi Nuh AS saat melihat darah dagingnya sendiri tenggelam ditelan banjir besar. Firman Allah yang bermaksud; “Nuh berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari memohon kepada Engkau sesuatu yang aku tiada mengetahui (hakikat)nya dan sekiranya Engkau tidak memberi ampun kepadaku, dan (tidak) menaruh belas kasihan kepadaku, nescaya aku termasuk orang-orang yang merugi.” (Surah Hud ayat: 47)
Bolehkah kita menghadirkan sangka baik kepada Allah SWT dalam keadaan seteruk apapun dan mempersembahkan doa yang paling tulus? Belum terlambat untuk mengetuk pintu langit dengan bahasa yang paling indah dan lembut diiringi dengan harapan dan keyakinan kepada janji Allah SWT. Sesungguhnya tidak akan ditolak doa orang yang berpuasa. Amin ya Allah, ya rabbal ‘alamiin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


















KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin