Oleh : NARONGCHAI ABDULLAH
UNIVERSITI KING CHULALONGKORN.
Istilah
mengIslamkan sains seakan-akan menjadi satu gelombang baru untuk para
saintis Islam membuktikan kebenaran Islam. Pengislaman sains ialah satu
cara untuk memaparkan ilmu sains sebagai sejajar dengan ajaran Islam.
Gerakan ini menggunakan penemuan-penemuan sains moden dan memadankannya
dengan ayat-ayat Al-Quran yang difikirkan boleh diterima akal. Di
antaranya ialah penemuan sains berkenaan bumi ini bulat dan
memadankannya dengan ayat ke-19 Surah Al-Hijr atau memadankan Surah
Ar-Rum ayat ke-48 dengan pemahaman sains berkenaan kitaran hujan.
Terkini, apabila Teori Letupan Besar (Big Bang) oleh mulai diterima oleh masyarakat sains kontemporari menggantikan Teori Steady-State oleh Fred Hoyle,
pada masa yang sama dikeluarkan juga dalil daripada Al-Quran (ayat
ke-30, Surah Al-Anbiya) yang telah lama menyokong penemuan saintifik
ini. Para pengusul dalil ini membuat tafsiran berdasarkan dua kata dasar
bahasa Arab dalam ayat tersebut, ‘ratq’ bermaksud ‘bercantum’ dan fataq
yang bermaksud ‘memisahkan atau membelahkan’. Dengan erti kata lain,
Islam itu sendiri sudah lama membuktikan teori letupan agung kerana
ianya sudah dinyatakan di dalam ayat Al-Quran yang berumur lebih
daripada 1400 tahun. Cara pemikiran ini dirancakkan lagi di dalam
buku-buku karya Harun Yahya dari Turki. Pembaharuan berfikir secara
saintifik di dalam membuktikan kebenaran Islam sebenarnya adalah satu
trend yang sihat sebagai satu lagi wadah dakwah yang mencerminkan budaya
umat Islam berfikir sudah berubah. Sebagai contoh nilai bantu wadah
dakwah ini, apabila bukti saintifik yang menunjukkan satu rekahan yang
begitu panjang di permukaan bulan sepadan dengan mukjizat Nabi Muhammad
SAW yang telah membelah bulan apabila dipinta oleh orang-orang Quraisy
telah membuatkan manusia barat berbondong-bondong menjadi ‘saudara baru’
memeluk Islam.
Kepasifan dalam bacaan
Sebenarnya,
kebanyakan umat Islam adalah pembaca-pembaca yang pasif walaupun
ayat-ayat Al-Quran itu sendiri mengajak mereka untuk berfikir secara
kritis dan inovatif. Sebagai contoh, Teori Letupan Besar telah berada di
dalam dada Al-Quran selama lebih daripada 1400 tahun tetapi tiada
seorang pun umat Islam yang menyedari akan tujuan sebenar ayat tersebut.
Surah ini sudah dibaca oleh berjuta-juta umat Islam dari dulu sehingga
sekarang tetapi tiada seorang pun yang berhenti sejenak dari bacaan
mereka dan merenung dengan kritis maksud di sebaliknya. Kemudian dengan
sabarnya menunggu waktu malam untuk melihat langit di atasnya untuk
memerhati apakah ayat itu cuba menyampaikan sesuatu berkenaan langit dan
bumi. Mungkin dulu ianya satu. Selepas membuat pemerhatian dan mendapat
keyakinan bahawa langit dan bumi mungkin pada suatu masa dahulu
bercantum, mulai mencipta radas-radas dan alat-alatan saintifik untuk
membuktikan pemerhatiannya sekaligus membenarkan ayat-ayatNya. Tugasan
ini mungkin rumit dan meletihkan tetapi ianya juga salah satu wadah
jihad baru dan terkini untuk sarjana-sarjana Islam. Sebaliknya, apa yang
berlaku adalah hampir kesemua sarjana dan pemikir Islam kontemporari
hanya menunggu ‘durian runtuh’ dan menikmati hasil penat lelah
pemikir-pemikir yang mencipta penemuan tersebut. Jika kita membilang
sudah berapa banyak penemuan sains yang sepadan dengan dalil-dalil
Al-Quran yang dibaca oleh Muslim setiap hari, mungkin sudah ramai
penerima hadiah Nobel terdiri daripada umat Islam dan bukannya orang
Yahudi. Di dalam artikel ini, saya akan cuba memperkenalkan cara untuk
memanfaatkan kaedah-kaedah sains untuk menyelesaikan permasalahan umat
Islam masa kini. Mungkin ada sarjana-sarjana Islam akan membantah kerana
Islam tidak boleh di’sains’kan sepertimana ilmu laduni (Ilmu yang
diturunkan oleh Allah secara langsung kepada manusia). Dalam erti kata
lain, Islam tidak boleh diukur oleh radas-radas dan alat-alat saintifik.
Sebenarnya, Islam itu sendiri mempunyai cabang ilmu yang bersifat
mengukur iaitu ilmu Fikah. Ilmu fikah menyerupai ilmu Fizik di dalam
sains di mana ianya melibatkan akal kerana sains lebih bersifat akal.
Ini bermakna Fiqah adalah cabang ilmu di dalam Islam yang mengkaji suatu
permasalahan ummah yang boleh diukur, dikaji dan diulangi.
Kaedah kontemporari dalam menetukan arah kiblat
Kebanyakkan saudara baru apabila berhadapan dengan permasalahan arah kiblat selalunya merujuk kepada buku oleh Ahmed Galwash yang menyatakan untuk mencari arah kiblat yang betul adalah dengan mengunakan Peta Mercator,
kemudian letakkan satu hujung pembaris ke arah si pencari berdiri dan
satu hujung pembaris lagi pada arah Mekah, buat satu garisan menggunakan
pen dan itulah arah kiblat. Ramai juga muslim kontemporari menggunakan Konsep Bulatan Agung (Great Circle Concept)
yang selalunya digunakan dalam penerbangan. Jarak bulatan agung
ditakrifkan sebagai jarak terpendek di antara dua titik pada permukaan
satu sfera. Kaedah pencarian arah kiblat yang tepat menggunakan konsep
bulatan agung telah dicipta oleh Fred Sawyer III,
seorang ahli matematik. Satu kaedah bergeometri juga diperkenalkan
dengan menggunakan ukuran darjah satu sudut di antara utara dan
kedudukan seseorang kearah Kaabah. Sudut itu dipanggil azimuth, daripada perkataan Arab samt yang bermakna arah.
Walaubagaimanapun,
permasalahan arah kiblat kebanyakkan diselesaikan oleh mereka yang
telah dilahirkan Muslim lebih bersifat santai kerana perolehan
pengetahuan dan pengalaman yang didedahkan sejak mereka di dalam buaian
dan boleh dibahagikan kepada dua kategori; mengikut cara tradisi dan
menggunakan kaedah bermatematik. Kompas kiblat sebenarnya adalah evolusi
daripada kaedah bermatematik. Kaedah tradisi termasuklah, “Jika anda
boleh melihat Kaabah, maka itulah arah kiblat’ atau ‘Jika anda berada di
Mekah, ikut arah di mana penduduk asal itu menghadap’. Tetapi masalah
menjadi semakin rumit apabila seseorang Muslim itu tidak tinggal di
Mekah. Maka pelbagai petua dicipta seperti mengikut arah angin tertentu
atau teruskan solat tanpa mengetahui arah kiblat kerana empat dinding
Kaabah mengala ke semua arah. Kemudian kaedah bermatematik dicipta, atau
kuasi-matematik. Secara sejarahnya, masalah paling utama dalam
menggunakan kaedah bermatematik adalah tiada ilmuwan boleh menentukan
longitude sesuatu tempat secara tepat. Maka, kaedah bermatematik adalah
paling berkesan tetapi dilemahkan dengan faktor geografi. Oleh kerana
itu, walaupun kaedah bermatematik lebih maju dan tepat, tetapi
keputusannya – mengikut penemuan terkini – tersasar. Ada usaha fuqaha
beraliran sekular menggunakan pengiraan trigonometri. Ianya dikira
menggunakan lokasi koordinat seorang muslim, koordinat Kaabah (atau
Mekah), dan satu formula trigonometri bersfera mudah untuk menentukan
bulatan agung yang di antaranya menggunakan kaedah trigonometri seperti sine dan cosines dan kadangkala menggunakan sektor kuadran tangents dan cotangents.
Perselisihan dalam menentukan arah mengakibatkan perpecahan
Sepanjang
sejarah Islam, ahli-ahli astronomi Islam telah menghabiskan masa mereka
untuk menentukan arah kiblat dan mencipta alat-alat seperti astrolab,
di mana kemudiannya menjadi alat yang terpenting untuk pelayaran dan
penjelajahan tetapi mengabaikan persoalan penyatuan umat Islam yang
sepatutnya diukir rapi di dalam alat penciptaan mereka.Perlu diingati,
kiblat pertama umat Islam sebenarnya bukan Kaabah tetapi Jerusalem dan
umat terdahulu berkongsi arah dengan orang Yahudi dan kemudiannya arah
kiblat telah berubah selama-lamanya ke Kaabah oleh Nabi Muhammad
SAW. Perubahan ini memberi identiti sendiri kepada umat Islam supaya
berbeza daripada orang Kristian dan orang Yahudi. Oleh itu, kiblat
seolah-olah menjadi urat nadi umat Islam. Persoalan arah kiblat menjadi
mudah di negara di mana penduduknya adalah majoriti Islam kerana telah
dijawab beratus tahun dahulu oleh nenek moyang mereka yang juga beragama
Islam. Tetapi oleh kerana proses mobiliti dan penyebaran populasi yang
dibawa oleh sejarah pengkolonian, pembaharuan oleh era globasisi dan
penghijrahan umat Islam secara besar-besaran telah mencipta satu
keperluan untuk menentukan arah kiblat yang lebih tepat di negara-negara
yang mempunyai Islam minoriti seperi Amerika, Australia dan New
Zealand. Contohnya,kebanyakkan masjid-masjid pendatang di Detroit,
Amerika, ketika dulu menghadap Timur atau tenggara. Kemudiannya pada
tahun 1978 seorang Fuqaha Islam, S. Kamal Abdali, telah
mencadangkan bahawa arah kiblat bagi Amerika Utara adalah di Timur Laut
dan cadangan ini diterimapakai di Amerika Utara sehingga kini.
Malangnya,
permasalahan arah kiblat menjadi semakin rumit apabila melibatkan
perbezaan mazhab dan pada akhirnya umat Islam berpecah-belah. Lebih
memalukan, di dalam era matematik, geografi dan komputer ketika sains
pelayaran, pengiraan dan Cartography mencapai
kemuncaknya, dan dengan penciptaan teknologi terkini, orang bukan Islam
tidak menemui masalah di dalam mencari arah untuk belayar sehingga ke
kutub utara dan mengembara hingga ke bulan, namun umat Islam masih tidak
mempunyai persetujuan di dalam isu yang kecil ini. Diceritakan cara
menentukan arah kiblat bagi masjid baru di Tierra del Fuego
adalah dengan memanggil seoarang Fuqaha dari Algeria dan mendengar
pendapatnya dan apabila masjid itu siap dibina, seorang lagi Fuqaha
ternama Islam melawat masjid tersebut telah memberi pendapat yang
berbeza berkenaan arah kiblat. Fatwa secara subjektif ini telah
membuatkan Islam amat sukar diterima di benua Amerika. Kaedah memberi
fatwa secara subjektif ini juga telah mencipta jurang baru sesama umat
Islam dan akhirnya mengakibatkan perpecahan. Sewajarnya, kaedah memberi
fatwa yang bertunjangkan ijtihad bersandarkan dengan fakta yang lebih
bersifat saintifik supaya mudah diterima akal.
Satu Penyelesaian: Projek Satu Arah Kiblat
Isu ini
sebolehnya tidak boleh dipandang enteng oleh umat Islam terutamanya
sarjana-sarjana Islam. Oleh itu, satu projek yang dinamakaan ‘Satu arah
kiblat’ dicipta oleh saya dengan khidmat nasihat oleh seorang ulama
terkenal United Kingdom telah dilancarkan. Tujuan utama projek ini
adalah untuk menentukan arah kiblat secara saintifik demi menyatukan
umat Islam di samping memberi satu kaedah baru kepada dunia Fikah
berkenaan ijtihad. Seperti yang telah dibincangkan, terdapat dua cara
menentukan arah kiblat iaitu (1) cara tradisi dan (2) kaedah
bermatematik, tetapi kini kami memperkenalkan kaedah ketiga iaitu secara
kaedah saintifik. Kaedah ini diinspirasikan daripada satu ayat Al-Quran
(An-Nahl 16:49) “Dan kepada Allah sajalah bersujud segala apa yang
berada di langit dan semua makhluk yang melata di bumi dan (juga) para
malaikat, sedang mereka (malaikat) tidak menyombong diri”. Kami
menyimpulkan ‘arah penduduk bumi bersujud kepada Allah’ adalah Kaabah
dan kami juga menyimpulkan semua makhluk di bumi (samada yang bernyawa
atau tidak) mungkin mempunyai cara mereka yang tersendiri untuk
bersujud. Jika mengambil analogi dari cara solat manusia, sisi depan
manusia adalah penting dalam solat dan dikehendaki sentiasa menghadap
kiblat. Maka kami cuba mencari benda atau alat yang mempunyai sisi
depan secara tetapnya menghadap kiblat. Dan kami mendapati piring satelit
(satellite dish) memenuhi keperluan tersebut kerana menghala ke Kaabah
secara tetap. Sebagai bukti, jika anda berada di Malaysia, cuba
perhatikan arah piring satelit Astro dan arah mana-mana masjid yang
berdekatan. Sepanjang pemerhatian saya, hampir kesemua piring satelit
Astro menghadap ke arah kiblat. Ketepatan arah kiblat menggunakan arah
piring satelit sedang ingin kami buktikan dan disokong oleh data
berstatisik yang telah kami kumpul dan sahkan. Untuk memastikan bahawa
kaedah ini boleh diterima pakai di seluruh dunia, kami akan berusaha
mengumpul data ‘arah piring satelit’ di segenap penjuru dunia. Dengan
data yang akan dikumpul, maka kesimpulan dapat dibuat secara statistik
sama ada kedudukan piring satelit di seluruh dunia kesemuanya menghadap
satu arah iaitu Kaabah. Jika kesimpulan berstatistik mendapati kesemua
piring satelit di seluruh dunia menghadap Kaabah maka satu alat baru
dapat dicipta dengan memahami lebih lanjut fenomena ini dan sekaligus
meredakan perselisihan di antara umat Islam masa kini. Seperti
dinyatakan, kompas kiblat datangnya daripada evolusi kaedah bermatematik
yang bergantung kepada ketepatan koordinat sesuatu lokasi dan seperti
yang dibincangkan masih lagi diragui ketepatannya.
Persoalan
mencari arah kiblat mungkin kelihatan tersangat remeh. Perlu ditekankan
disini, penemuan sains sebenarnya bukannya bermula dengan persoalan yang
maha besar seperti bagaimana caranya menghantar manusia ke bulan.
Tetapi ianya bermula dengan persoalan yang tidak langsung memberi
manfaat kepada manusia pada masa itu dan kelihatan amat remeh seperti
‘Kenapa buah epal jatuh ke bumi dan tidak ke langit’. Fenomena ini sudah
dilihat oleh semua manusia tetapi orang yang pertama berdiri untuk
menjawab persoalan ini adalah Isaac Newton. Kesan dari satu persoalan yang maha remeh ini telah membolehkan Yuri Gagarin menjadi manusia pertama ke angkasa dan Neil Armstrong
menjadi manusia pertama menjejak kaki ke bulan. Dengan kata lain,
proses di dalam menjawab persoalan itu sendiri sebenarnya menjadi ukuran
kerana si pencari itu bukan sahaja terpaksa mecipta kaedah-kaedah
terbaru untuk menjawab persoalan yang remeh itu bahkan terpaksa mencipta
sendiri radas-radas dan alat-alat ukuran yang jitu dan boleh
dipercayai. Di dalam kesempatan ini, saya ingin memohon kerjasama semua
Muslimin dan Muslimat supaya dapat berganding bahu untuk membantu saya
melaksanakan projek ini. Kami dalam peringkat membina laman web sebagai
alat untuk pengumpulan data. Tujuan pembinaan laman web ini adalah untuk
meminta kerjasama individu-individu Muslim memberi arah mana-mana
piring satelit yang mereka jumpai dengan pengesahan daripada arah masjid
yang berdekatan dan juga daripada kompas kiblat. Walaupun kompas kiblat
kurang tepat tetapi penggunaannya masih lagi boleh diterima pakai pada
peringkat pengumpulan data. Semoga projek ini dapat menjadi satu nafas
baru kepada penyatuan umat Islam di seluruh dunia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan