Kemalangan jalan raya yang disebabkan oleh salah laku jalan raya akan akan membawa kerugian besar kepada masyarakat dan negara. Oleh kerana itu pihak yang berkenaan seharusnya mengambil tindakan untuk mengatasi masalah ini.
Secara pokoknya, masalah salah laku jalan raya merupakan satu masalah yang berpunca daripada sikap pemandu jalan raya. Bertolak dari situ maka saluran penyelesaian masalah salah laku boleh berbunyi “3 P” iaitu
* Pendidikan
* Perundangan
* Penyelidikan
Huraian mengenai ketiga-tiga pekara ini adalah seperti berikut.
PENDIDIKAN
Oleh kerana masalah salah laku jalan raya merupakan satu masalah sikap, maka pendidikan memainkan peranan yang terpenting untuk membentuk sikap pengguna yang baik dan sekali gus mengelakkan berlakunya salah laku jalan raya. Untuk tujuan mengurangkan masalah salah laku jalan raya, pengguna jalan raya harus dididik supaya mempunyai kesedaran keselamatan jalan raya, dan juga mempunyai sahsia diri yang betul sebagai seorang pengguna jalan raya.
Pendidikan untuk mengurangkan salah laku jalan raya perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa iaitu sebelum seseorang itu menjadi pemandu, semasa dia menerima latihan pemandu dan setelah dia sah menjadi pemandu. Maka pendidikan ini boleh disampaikan melalui tiga saluran iaitu:
* melalui sekolah dasar dalam matapelajaran moral,
* melalui sekolah memandu
* melalui komunikasi awam seperti televisyen.
Secara lebih khusus lagi, fungsi yang dimainkan oleh pendidikan moral di sekolah untuk mengurangkan salah laku jalan raya ialah memberikan pendidikan moral yang dasar supaya ia akan diterapkan dalam penggunaan jalan raya. Contohnya, pelajar boleh menerapkan prinsip hormat-menghormati yang dipelajari dalam sekolah ke dalam penggunaan jalan raya dengan sentiasa menghormati hak pengguna jalan raya yang lain. Bagi sekolah memandu ia boleh memainkan fungsi dalam pekara ini dengan memberikan pendidikan memandu yang lebih berkhusus dan membentuk sahsiah diri yang betul, khusus bagi seorang pemandu. Manakala bagi komunikasi awam pula ia berperanan untuk mengingatkan pengguna jalan raya mengenai moral jalan raya dari semasa ke semasa.
PERUNDANGAN
Perundangan merupakan satu langkah yang penting untuk menyelesaikan masalah salah laku jalan raya. Tanpa perundangan, pemandu-pemandu yang jahat dan “tidak masuk ajar” akan terus mengancam keselamatan jalan raya.
Perundangan termasuk dua bahagian yang besar iaitu:
* Pembentukan undang-undang
* Penguatkuasaan undang-undang
Pembentukan undang-undang merupakan asas kepada perundangan. Undang-undang yang dibentuk seharusnya mempunyai kesan psikologi ke atas pengguna jalan raya yang jahat dan praktikal pula kepada pihak polis untuk dilaksanakan. Dengan ada undang-undang yang membawa hukuman yang menakutkan maka sebahagian besar pengguna jalan raya akan takut terlibat dalam salah laku. Bagi sekelintir kecil pengguna jalan raya yang keras kepala dan mengancam keselamatan awam maka dibawah undang-undang ia boleh dihalang untuk terus demikian dengan mekanisme kepenjaraan.
Undang-undang tidak akan sempurna sekiranya ia tidak dilengkap dengan penguatkuasaan undang-undang. Penguatkuasaan yang baik sememangnya boleh meningkatkan kewibawaan undang-undang dan kesannya terhadap keselamatan awam. Untuk itu pihak berkuasa haruslah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan.
PENYELIDIKAN
Penyelidikan tidak boleh menyelesaikan masalah salah laku jalan raya secara langsung. Tetapi ia boleh membantu kita menyelesaikan masalah ini dengan lebih baik dalam jangka masa yang panjang. Secara kasarnya penyelidikan yang harus dibuat untuk menyelesaikan masalah salah laku jalan raya adalah di bawah bidang seperti di bawah.
* Ilmu kaji kejenayahan (criminology)
* Pengurusan jalan raya
Ilmu kaji kejenayahan penting untuk kita memahami salah laku jalan raya yang berat seperti keganasan jalan raya. Dengan pemahaman yang lebih mendalam mengenai pekara ini maka, adalah lebih mudah untuk kita menyelesaikan masalah ini.
Pengurusan jalan raya merupakan satu bidang yang luas. Ilmu ini diyakini boleh membantu mengurangkan salah laku pemandu kerana dengan adanya sistem trafik yang terurus, maka tekanan jiwa para pemandu akan menjadi kurang dan seterusnya salah laku mereka juga akan kurang.
[sunting]
Kesimpulan
Salah laku jalan raya merupakan pekara yang berkaitan dengan sikap pengguna jalan raya. Dari segi etika pekara ini berpunca daripada keperibadian pengguna jalan raya yang buruk, penyusunan tatatingkat nilai yang bermasalah dan juga pelbagai masalah psikologi yang memecahkan benteng moral pemandu. Bagi menyelesaikan masalah salah laku jalan raya, pihak yang berkenaan seharusnya tidak mengambil pendekatan penyelesaian mudah seperti berkempen. Sebaliknya, pihak berkenaan seharusnya mengambil pendekatan menyeluruh seperti mengambil pendekatan “ 3 P”, iaitu pendidikan, pengundangan dan penyelidikan. Akhir sekali, pengguna jalan raya disaran supaya lebih berbudi bahasa dan sentiasa mengelakkan diri daripada terlibat dalam salah laku jalan raya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan