Agama
Islam amat berbeza sekali dengan agama-agama lain ciptaan manusia,
Islam ada displinnya yang tersendiri. Apabila kita berbicara tentang
Islam, bermakna kita berbicara tentang kalam Allah dan kalam Rasulullah
saw. Ini kerana kalam Allah dan kalam Rasul ini adalah sumber utama
kepada agama Islam itu sendiri.
Mengambil
ringan menukilkan sesuatu dari kalam Allah adalah satu kesalahan yang
besar. Demikian juga mengambil ringan dalam menukilkan sesuatu dari
kalam al-Rasul (al-Hadith) adalah suatu kesalahan yang besar juga,
bimbang perbuatan mengambil ringan ini, menjerumuskan kita meriwayatkan
sesuatu hadith yang bukan dari Nabi saw, baginda bersabda:
“Sesiapa yang berbohong ke atas-ku secara sengaja, maka ambillah satu tempat di dalam neraka.” (HR Imam Muslim).
Al-Imam
al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini berkata: “Ketahuilah, hadith
ini mengandungi beberapa faedah dan kaedah: (salah satunya) Diharamkan
periwayatan hadith yang palsu bagi sesiapa yang mengetahui keadaan
sesuatu hadith itu palsu atau sangkaan banyaknya mengatakan hadith itu
palsu. sesiapa yang meriwayatkan satu hadith yang palsu dalam keadaan
dia tahu atau sangkaan beratnya menyatakan hadith itu palsu, sedangkan
dia tidak menjelaskan kepalsuannya ketika meriwayatkannya, maka dia
termasuk dalam ancaman ini (ancaman di dalam hadith di atas), termasuk
di dalam orang-orang yang berbohong atas Rasulullah saw… kerana itu para
ulama berkata: Semestinya bagi sesiapa yang hendak meriwayatkan satu
hadith atau menyebutnya hendaklah melihat (memastikan) ianya adalah
hadith yang sahih atau hasan.” (Syarh Sahih Muslim. Al-Maktabah
al-‘Asriah, Beirut. Jld 1, m.s. 64-66).
Amat
mendukacitakan apabila ada beberapa individu yang memegang jawatan
agama dalam Negara ini masih mengambil ringan ketika meriwayatkan
sesuatu hadith. Sebagai contohnya tulisan oleh Saudara Mohd. Shauki Abd.
Majid, Pengurus Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
bertajuk “Amalan Ziarah Kubur Bukan Bidaah” yang disiarkan di dalam
akhbar ini pada Jumaat, 19/10 yang lalu.
Di
dalam tulisan tersebut Mohd. Shauki cuba mempertahankan amalan membaca
al-Quran di tanah perkuburan dengan mendatangkan hadith yang lemah dan
palsu. hadith tersebut ialah:
“Barang
siapa berziarah ke kuburan kedua-dua orang tua atau salah satu di
antara mereka pada setiap hari Jumaat dan membacakannya surah Yasin,
maka dia akan diampuni dosanya dan dihitung sebagai kebaikan.” Ini adalah hadith pertama yang dijadikan sandaran oleh Mohd. Shauki di dalam tulisan beliau, tanpa beliau nyatakan darjatnya. Sebenarnya hadith ini adalah satu hadith yang tidak sahih. al-Syaukani di dalam al-Fawaid al-Majmu’ah mengatakan hadith ini Palsu (m.s. 271. Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah). Al-Haithami di dalam Majma’ al-Zawaid mengatakan hadith ini Lemah (jld 3, m.s. 87, Dar al-Fikr, Beirut). Al-Albani mengatakan hadith ini Palsu di dalam al-Silsilah al-Dhoiefa,( jld 1, m.s. 126, Maktabah al-Maarif al-Riyadh). Demikian juga Ibn al-Jauzi di dalam al-Maudhuaat dan al-Zahabi di dalam Mizan al-I’tidal, semua
ulama hadith yang saya sebutkan ini menyatakan hadith ini adalah hadith
yang tidak sahih, mereka mendatangkan dengan beberapa lafaz yang ada
sedikit perbezaannya, yang penting hadith itu adalah hadith yang tidak
sahih bahkan Palsu.Apabila ulama
hadith menyatakan hadith itu palsu, ia bermaksud hadith itu bukanlah
hadith yang diucapkan oleh Nabi saw. Sebaliknya ia adalah ucapan
individu lain, kemudian dinisbahkan kepada Nabi saw secara palsu dan
dusta. Hadith palsu ini, jika dibiarkan berterusan disampaikan kepada
orang ramai ianya akan merosakkan agama dan akan menyebabkan orang ramai
salah faham terhadap agama.Selain
hadith ini, saudara Mohd. Shauki juga berdalilkan dari sebuah hadith
lain yang agak pelik bunyinya, kononnya diriwayatkan dari Abu Hurairah
r.a. iaitulah: “Barang siapa yang
berziarah di kuburan, kemudian ia membaca al-Fatihah, Qul Huwa llahu
Ahad dan Alhakumut takasur, lalu ia berdoa “Ya Allah, kuhadiahkan pahala
pembacaan firman-Mu pada kaum Mukminin penghuni kubur ini, maka mereka
akan menjadi penolong baginya (pemberi syafaat) pada hari kiamat.”Saya
cuba mencari hadith ini di dalam perician cd carian hadith-hadith Nabi
saw, namun malang saya tidak ketemuinya. Apabila saya cuba mencarinya
dari Internet saya dapati hadith ini ada di dalam lamanweb sufi
majelisrasulullah.org, situs artikel-artikel hot Indonesia dan sebuah
laman percuma geocities yang sama terjemahannya tanpa perbezaan dan
ketiga-tiga lamanweb itu tidak menyatakan sumber ambilan hadith
tersebut.Persoalannya apakah benar
ada kelebihan membaca surah-surah tertentu di tanah perkuburan ? Jika
dilihat kepada hadith-hadith yang sahih dari Nabi saw, kita akan dapati
keadaan yang sebaliknya. Sebagai contoh hadith yang diriwayatkan oleh
Imam Muslim di dalam sahihnya, Nabi saw bersabda:
“Jangan
kamu semua menjadikan rumah-rumah kamu seperti tanah perkuburan, maka
sesungguhnya Syaitan lari bertempiaran daripada rumah yang dibaca di
dalamnya surah al-Baqarah.” (HR Muslim dan al-Tirmizi daripada hadith
Abu Hurairah)
Berdasarkan
hadith ini, ia menunjukkan tanah perkuburan bukanlah tempat membaca
al-Quran. ini kerana Nabi saw telah menyamakan rumah yang tidak dibaca
al-Quran di dalamnya dengan tanah perkuburan. Ini sekaligus memberi
isyarat tanah perkuburan itu bukan tempat untuk membaca al-Quran. Hadith
sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim ini jelas bertentangan
maksudnya dengan hadith yang tidak diketahui darjatnya dari Mohd. Shauki
di atas. Di samping itu, Abu Daud di dalam kitab Masailnya
(m.s. 158) berkata: ‘Aku mendengar (Imam) Ahmad telah ditanya tentang
bacaan al-Quran di sisi kubur, lalu dia menjawab: Tidak dibaca
(al-Quran) di sisi kubur.”
Al-Syeikh Muhammad Redha, yang menulis tafsir al-Manar
berkata: “Ketahuilah bahawasanya apa yang masyhur tersebar di kalangan
orang Badwi dan bukan badwi dari membaca al-Fatihah kepada mayat tidak
terdapat petunjuk dari satu hadith yang sahih mahupun yang dhoief, ianya
termasuk di dalam bid’ah yang bertentangan dengan nas-nas yang
qat’yyah, akan tetapi ianya berlaku disebabkan senyapnya orang-orang
yang memakai pakaian ulama dan persetujuan mereka terhadap perbuatan
tersebut, disamping ianya berterusan di lakukan oleh orang awam dalam
bentuk (seolah-olah) ianya termasuk perkara sunat yang digalakkan atau
termasuk dalam perkara fardhu yang dituntut.” (8/268)
Al-Syeikh
Hamid al-‘Attar pula di dalam lamanweb yang memuatkan fatwa-fatwa
terkini tokoh-tokoh ulama semasa dunia Arab, islam-online.net (http://www.islamonline.net/livefatwa/arabic/Browse.asp?hGuestID=0m2vUm)
berkata: “Adapun bacaan al-Quran sekitar tanah perkuburan juga adalah
masaalah khilafiah, sebahagian mengatakannya bid’ah dan sebahagian yang
lain mengharuskannya. Dan pendapat yang mengatakannya bid’ah adalah
lebih rajih (kuat) dari sudut dalil disebabkan ketiadaan petunjuk yang
mengkhususkan tempat itu (tanah perkuburan untuk dibacakan al-Quran).
Dan tiadalah bacaan al-Quran di kubur itu satu faedah tertentu, tidak
ada juga kelebihan yang khusus, bahkan sama seperti orang
yang membacanya di rumah, dan bacaan (al-Quran) yang dilakukan di rumah
itu adalah lebih afdhal sebagai keluar dari khilaf. Ketahuilah bahawasa
bukan diambil kira pada membaca surah tertentu seperti al-Fatihah
(kepada mayat), dan tindakan mengkhususkannya (suarh al-Fatihah) kepada
mayat adalah suatu tindakan membuat syariat yang tidak diizinkan oleh
Allah, yakni ia termasuk di dalam bid’ah, akan tetapi yang diambil kira
ialah nilai/niat orang yang membacanya dan keikhlasan bacaannya, maka
berdasarkan itu, anda boleh membaca mana-mana surah yang anda suka tanpa
berkeyakinan adanya keutamaan pada satu surah tertentu.”
Semua
fatwa dari beberapa ulama yang saya nukilkan di atas menunjukkan
membacakan al-Quran di kubur dan mengkhususkan bacaan tertentu ketika
menziarahi kubur itu tidak ada dari petunjuk Nabi saw. Disamping hadith
dari Imam Muslim di atas sudah cukup untuk menguatkan pandnagan
ulama-ulama tersebut kerana tanah perkuburan bukanlah tempat untuk dibacakan al-Quran di dalamnya.
Berkenaan
ziarah kubur pada hari raya, Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: “Ziarah
kubur pada hari raya adalah suatu yang bertentangan dengan sunnah,
adalah Nabi saw melarang ziarah kubur pada hari raya, kerana hari raya
adalah hari untuk bergembira bukan hari untuk bersedih dan
berduka-cita.” (sila lihat fatwa al-Zuhaili di dalam lamanweb rasminya http://www.zuhayli.net/index.htm)
Fatwa
Dr. Wahbah al-Zuhaili ini bertepatan puls dengan hadith Nabi saw yang
melarang dari menjadikan kubur baginda sebagai tempat perayaan
sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Abu Hurairah
r.a.
Menziarah
kubur bukanlah suatu yang terlarang di dalam agama, bahkan ia suatu
yang amat digalakkan. Demikian juga menyedekahkan pahala bacaan al-Quran
kepada mayat bukan suatu yang ditegah di dalam agama berdasarkan
pendapat kebanyakan para ulama, selama ia dilakukan dengan ikhlas tanpa
mengharapkan sebarang bayaran.. Yang ditegah ialah menetapkan suatu
bacaan surah yang khusus untuk ditujukan kepada mayat dan menetapkan
hari yang tertentu untuk menziarahinya, semuanya dilakukan di tanah
perkuburan.
Perbuatan
menetapkan surah yang khusus dan hari yang tertentu untuk mayat itu
perlu kepada tunjuk ajar dari Nabi saw. Demikian juga
perbuatan meletakkan ada kelebihan membaca al-Quran di tanah perkuburan,
semuanya memerlukan petunjuk dari Nabi saw. Jika baginda tidak
memberitahukannya kepada kita bagaimana kita berani menentukannya ?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan