KESELAMATAN DIRI SENDIRI.
Objektif
yang utama dalam urusan keselamatan ialah mencegah kecederaan dan
kehilangan nyawa. Oleh sebab itu, keselamatan diri sendiri patutlah
diutamakan. Perkara-perkara yang harus diambil berat untuk menjaga
keselamatan diri sendiri adalah seperti berikut:
a. Menjaga Kesihatan Diri Sendiri
Kesihatan
merupakan faktor yang penting dalam menguruskan kerja dengan selamat.
Jika seseorang pekerja kurang sihat atau uzur, dia tidak dapat
menumpukan perhatian sepenuhnya dalam apa yang dilakukan. Kesihatan dari
segi fizikal ialah tubuh badan pekerja, oleh itu seseorang pekerja
mestilah cukup makan supaya tidak mengalami sebarang keuzuran. Kesihatan
rohani pula hendaklah dikawal dari segi fikiran pekerja, tidak marah,
tidak sedih atau berangan-angan semasa bekerja.
Pekerja mestilah sihat fizikal dan rohani |
b. Displin Semasa Bekerja
Displin
adalah satu perkara yang sangat penting semasa bekerja. Arahan dan
peraturan yang telah ditetapkan haruslah dipatuhi dan selalu berwaspada.
Jangan sekali-kali melakukan sesuatu yang boleh membahayakan diri
sendiri atau orang lain, seperti menyimpan alat-alat tajam dalam saku,
membiarkan paku yang telah digunakan berselerak, membuang sampah
merata-rata dan sebagainya.
Pendek
kata, berdisplin bermakna menanamkan tabiat-tabiat yang positif dalam
kerjanya seperti menjaga kebersihan, mematuhi peraturan bekerja dan
bekerjasama dengan pekerja lain. Tabiat yang positif dan sihat selalunya
mengurangkan kemalangan serta meningkat produktiviti.
Bekerja dengan displin dan berdedikasi |
c. Pengetahuan
Sebelum
melakukan sesuatu kerja, pekerja haruslah memahami bahan-bahan yang
dikerjakan dan juga alat atau mesin yang digunakan. Tindak balas
bahan-bahan terutamanya bahan-bahan kimia boleh mendatangkan kemalangan
yang teruk begitu juga alat-alat teknologi tinggi.
Berpengetahuan dalam bekerja |
d. Pakaian
Pakaian
yang sesuai hendaklah dipakai semasa bekerja. Pakaian yang koyak dan
serebeh adalah punca kemalangan. Kasut atau but keselamatan yang
mengandungi kepingan keluli di bahagian hadapannya adalah sesuai bagi
mengelakkan sebarang kecederaan kaki. Capal dan sandal tidak harus
dipakai semasa bekerja di tapak pembinaan atau bengkel.
Pakaian Keselamatan Di Tempat Kerja |
e. Perlindungan Mata
Apabila
membuat kerja yang mungkin menyebabkan kecederaan kepada mata seperti
mengimpal atau mencanai, cermin mata keselamatan (safety goggle) atau
pelindung muka hendaklah dipakai.
Goggle Keselamatan |
f. Perlindungan Kepala
Topi
keledar hendaklah dipakai apabila berada di kawasan pembinaan
terutamanya dalam pembinaan bangunan yang bertingkat-tingkat kerana
barang-barang dari tingkat atas sering terjatuh ke bawah. Dengan memakai
topi keledar, kecederaan kepada kepala dapat dikurangkan.
Topi Keselamatan |
g. Perlindungan Tangan
Sarung
tangan dapat melindungi tangan daripada sebarang kecederaan, lebam,
terbakar oleh bahan kimia dan sebagainya. Apabila membuat kerja-kerja
seperti membentuk batang keluli , memindahkan bata dan sebagainya
hendaklah memakai sarung tangan. Akan tetapi, jangan guna sarung tangan
apabila bekerja dengan mesin yang bergerak seperti mesin canai dan mesin
pelarik kerana sarung tangan mungkin tersangkut pada mesin dan
mengakibatkan kemalangan.
Sarung Tangan Keselamatan |
h. Tali Pinggang Keledar
Apabila
bekerja di tempat yang tinggi, seseorang pekerja itu hendaklah memakai
tali pinggang keledar supaya dapat mengelakkan daripada terjatuh. Kaedah
ini sangatlah mustahak kerana mengikut statistik, kebanyakan kemalangan
yang berlaku di tapak pembinaan ialah pekerja terjatuh dari tempat
tinggi.
Tali Pinggang Keselamatan |
KESELAMATAN ORANG LAIN
Apabila
sesuatu kerja dijalankan, keselamatan rakan sekerja dan orang lain yang
berdekatan mestilah dipertimbangkan. Kawalan seperti berikut hendaklah
dibuat:
a. Isyarat Dan Tanda Amaran
Isyarat
dan tanda amaran hendaklah dipamerkan dengan terang pada tempat-tempat
yang strategik di kawasan pembinaan supaya dapat dilihat oleh orang
ramai.
Papan Tanda Keselamatan |
b. Pagar Kawasan Pembinaan
Kawasan
pembinaan yang merbahaya seperti pengorekan peparit, pembinaan acuan
yang tinggi, tempat menyimpan bahan-bahan, jentera dan sebagainya
mestilah dipagarkan di sekelilingnya untuk mencegah orang ramai masuk ke
kawasan ini.
Pagar Keselamatan Di Tapak Pembinaan (Hoardings) |
c. Memasang Jaring
Bagi
pembinaan bangunan yang tinggi, jaring perlu dipasangkan di bahagian
bawah, biasanya atas tingkat pertama atau tingkat kedua, di sekeliling
bangunan untuk menahan bahan-bahan yang terjatuh dari atas.
Pemasangan Jaring Keselamatan Di Tapak Pembinaan |
d. Kawalan Pada Alat Dan Jentera Yang Rosak
Sebarang
alat, jentera atau perkakas lain yang rosak hendaklah disimpan atau
dibaiki. Tanda amaran hendaklah dipamerkan dengan jelas jika alat-alat
tersebut tidak dapat disimpan. Laporan kerosakan mestilah dibuat kepada
pihak yang bertanggungjawab dengan serta-merta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan