Jangan sampai kita rosakkan makna politik dalam Islam.
Seringkali bila disuakan dengan persoalan begini, kalau kita mengatakan kita ketidaksetujuan kita dengan sebelah pihak, kita akan dikatakan berada di sebelah pihak yang satu lagi.
Begitulah situasi yang saya kira kerap berlaku pada kita. Saya sendiri, sudah beberapa kali berdepan dengan persoalan begini.
“Kau sokong mana? Kau sokong kerajaan tak?”
“Tak.”
“Oh, kau ni pembangkangla?”
“Tak.”
“Jangan tipulah. Mustahil kau tak ada belah mana-mana.Kau ni mesti sebelah pembangkang, kan?”
Saya kadangkala terfikir, sampai bila politik sesempit begini perlu diteruskan? Hanya kerana kita kata kita tidak menyokong sebelah pihak, adakah semestinya kita berada bersama pihak yang satu lagi? Adakah hanya kerana kita kata kita menyokong kebenaran yang datang daripada sebelah pihak, terus ditangkapmuat kita sebagai sebahagian daripada pihak itu?
Prinsip Kita Adalah Menyokong Dan Mendokong Keadilan
Cara pandang begini perlu diubah. Hanya kerana kita menolak sesuatu pembawaan yang tidak baik daripada sesuatu parti politik, tidak bermakna kita berada di sebelah pihak parti politik yang satu lagi pula.
Saya kira prinsip kita sangat jelas dalam hal ini.
Kita tidak menyokong dan mendokong parti politik hanya kerana parti itu mengatakan dia hendak membawa perjuangan Islam, tetapi kita menyokong dan mendokong kebenaran yang diperjuangkannya.
Apa-apa jua kebenaran, biarpun dari pihak mana sekalipun ia datang, kita tetap menyokongnya.
Bukan parti politik yang jadi pertimbangan kita. Ada cop Melayu Islam atau tidak, ada perkataan Melayu Islam atau tidak, bukan itu yang jadi pertimbangan utama kita.
Pertimbangan utama kita adalah kebenaran dan keadilan sebagaimana Allah berfirman dalam surah Al-Maidah yang bermaksud :
“Dan janganlah sampai kebencian kamu kepada sesuatu kaum itu menghalang kamu untuk berlaku adil kepada mereka. Berlaku adillah kerana itu lebih dekat dengan taqwa.” [Al-Maidah :8]
Keadilan, biar ia datang daripada pihak mana sekalipun, itulah yang menjadi keutamaan kita. Kita tolak segala korupsi, pemakan harta rakyat, fitnah dan jatuh-menjatuh dalam berpolitik kerana itu adalah bentuk-bentuk kezaliman.
Tidak bermakna kerana kita tolak segala kezaliman itu, kita menyokong penuh pihak yang satu lagi.
Yang kita inginkan adalah kebenaran dan keadilan dalam berpolitik.
Kedepankan Politik Idea, Bukan Sekadar Politik Partisan
Sudah tentu, dalam negara demokrasi seperti Malaysia, politik partisan itu ada peranannya yang tersendiri dalam membawa aspirasi rakyat. Tetapi itu saja tidak akan pernah cukup.
Yang lebih besar dan lebih utama daripada itu adalah politik idea, politik warga.
Apakah keberadaaan kita di dalam komuniti dan masyarakat kita membawa manfaat daripada sudut mengembangkan idea dan cara fikir masyarakat?
Kita berada di dalam masyarakat, apa idea yang ingin kita bawa dalam membangunkan masyarakat?
Apa idea kita? Apa visi kita? Apa yang kita ingin perjuangkan dalam masyarakat kita? Itulah yang perlu ditanya. Tambah lagi, jika kita terlibat secara langsung dengan politik partisan, lebih-lebih lagilah perlu ditanya, ‘apa yang kita ingin perjuangkan dalam masyarakat kita?’,kerana akhirnya bukan kepentingan individu yang menjadi projek utama kita, tetapi kepentingan warga dan masyarakatlah yang menjadi perhatian kita.
Dukacitanya jika cara fikir kita hanyalah ingin mengajak masyarakat menjatuhkan satu parti kerana ingin mengetengahkan satu lagi parti.
Sebagai contoh, parti A memerintah negara hari ini. Kita pula menyokong parti B. Dukacitanya jika kita ingin menjatuhkan parti A esok dari pemerintahan hanya kerana kita ingin mengangkat parti B, bukanlah kerana kita memahami dan menyedari idea-idea dan perjuangan yang dibawanya.
Sekadar itu saja tidak akan ke mana-mana. Budaya jatuh-menjatuh akan terus-menerus berlaku.
Kerana boleh jadi parti A yang memerintah hari ini kita melihat banyak kesalahannya, tetapi parti B yang baru hendak memerintah itu mungkin belum cukup lama untuk menguji kredibiliti dan sikap amanahnya.
Sebab itu, politik idea dan warga adalah sesuatu yang perlu kita berikan perhatian. Hanya kerana kita menyokong sesuatu kebenaran yang diperjuangkan oleh satu pihak, tidak bermakna kita memberikan sokongan penuh kita kepada pihak itu. Hanya kerana kita menolak kezaliman yang datang dari satu pihak, tidak bermakna kita berada di sebelah pihak satu lagi.
Kita Tolak Politik Kotor Yang Bercanggahan Dengan Adab-adab Islam
Maka, kembali kepada prinsip kita iaitu mendokong kebenaran dan keadilan, kita menolak segala bentuk politik kotor dan lucah serta yang berbaur fitnah.
Semua ini bukan saja bercanggahan dengan adab-adab sebagai seorang muslim, bahkan ia melanggar fitrah insan yang sentiasa cintakan kebenaran. Bahkan, ia merendahkan dan menghinakan lagi maruah kita sebagai seorang muslim kerana mencemari asas dan adab dalam perjuangan kita.
Islam tidak ajar kita untuk beriman dengan politik atau parti politik, tetapi Islam mengajar kita untuk mengimani kebenaran.
Tidak semestinya yang mengangkat slogan Islam, yang menyebut-nyebut nama Allah di dalam perhimpunannnya, yang mengangkat perjuangan bangsa itu adalah yang paling jujur. Kalau kita melihat tindakan-tindakan mereka bercanggahan dengan adab-adab yang diajarkan oleh Islam, kita akan katakan itu salah.
Kalau tindakan mereka menepati adab Islam dan membawa maslahah (kebaikan) pula kepada masyarakat, maka kita akan sokong dan menyatakan itulah yang sepatutnya dilakukan.
Kita tidak akan terpengaruh dengan slogan-slogan agama, bangsa dan negara. Jauh lebih penting daripada slogan-slogan itu adalah apakah keadilan telah dinikmati oleh masyarakat kita? Apakah masyarakat kita semakin baik ? Adakah sistem pendidikan kita berjaya melahirkan lebih ramai lagi orang yang berwibawa, berakhlak dan berkredibiliti dalam masyarakat?
Inilah yang perlu kita tanya dan terus tanya.
Penutup : Menyokong Kebenaran, Bukan Taksub Kepartian
Ada beza antara menyokong kebenaran dan taksub kepartian.
Taksub kepartian, kalau partinya salah, tetap dipandang partinya itu betul kerana neracanya adalah partinya, bukan kebenaran. Inilah yang berbahaya.
Sepatutnya, asas kita dalam berfikir, mencambah idea, berpolitik dan bermasyarakat adalah kebenaran dan keadilan. Bila kebenaran dan keadilan yang menjadi neraca kita, maka meskipun kita pernah suatu ketika meyokong idea dan perjuangan parti itu, tetapi sekiranya terbukti ia terlibat dalam kesalahan dan korupsi, maka kita akan katakan itu tetap adalah satu kesalahan dan kita memiliki hak untuk mengkritiknya.
Ia tidak boleh menjadi betul meskipun nama Islam terus-menerus diangkat. Ia tidak akan boleh memadamkan hakikat kesalahan itu meskipun nama Allah terus-menerus diangkat dalam ucapan perhimpunan.
Orang daripada partinya berzina, dikatakan betul.
Orang daripada parti lain dituduh berzina, terus menjadi isu dan diperlihatkan seolah-olah itu adalah kesalahan yang besar.
Bukan begini yang kita mahu. Kita tolak politik kotor begini. Kita mahukan politik yang bersih, matang dan membincangkan idea-idea, bukannya politik kotor yang membincangkan peribadi orang, menjatuhkan orang, memfitnah dan sebagainya.
Akhirnya yang kita mahukan adalah tertegaknya kebenaran. Apakah ertinya jika parti yang korupsi dan zalim terus dibiarkan memerintah sedangkan kebenaran tidak ditegakkan?
Maka, marilah perbaiki hal ini. Cara fikir kita, cara kita mendepani masalah-masalah dan isu dalam politik. Sebelum parti, kebenaran dari Islam itulah yang menjadi neraca dan pertimbangan kita. Semoga dengan ini, kita dapat keluar dari politik sempit, ‘hanya kerana aku tidak sokong kerajaan, aku adalah pembangkang’ begitu juga sebaliknya, ‘hanya kerana aku mengkritik pembangkang, aku adalah puak kerajaan.’
Bersihkan cara fikir dan cara politik kita !
Tiada ulasan:
Catat Ulasan