Sabtu, 6 April 2013

KEMALANGAN JALAN RAYA

Menteri yang bertanggungjawab telah mengumumkan kepada rakyat bahawa had laju lebuh raya dikekalkan dengan alasan bahawa kes kemalangan yang meragut nyawa banyak berlaku, inikan pula had laju ditambah. Lagi-lagilah keadaan akan bertambah buruk.

Sebenarnya, perkara yang patut diambil kira dalam menentukan had laju ini bukan kecanggihan keretanya atau kehebatan lebuh rayanya. Kereta, walaupun tak canggih, kalau dibiarkan sahaja, tak akan menyebabkan kemalangan. Lebuh raya pula, kalau tidak digunakan, tidak juga akan menyebabkan kemalangan.

Berlakunya kemalangan apabila ada campur tangan pemandu yang memandu kereta di atas lebuh raya. Jadi, punca bahaya dan kemalangan bukan kereta dan bukan lebuh raya tetapi pemandu. Oleh itu, pemandulah yang mesti diambil kira dalam menentukan had kelajuan lebuh raya ini.

Lebih 80% kemalangan di lebuh raya disebabkan kejahilan, kecuaian, kelalaian dan sikap buruk pemandu. Hanya 20% sahaja disebabkan kereta atau jalan. Itu pun kerana ramai pemandu tidak mengambil berat dan tidak menentukan kereta mereka selamat sebelum memulakan perjalanan. Tayar tidak diperiksa. Ada yang bengkak, ada yang tak cukup angin, ada yang terguris dan ada yang botak. Minyak berek tidak diperiksa dan jika perlu ditambah. Brake pad yang haus tidak diganti. Minyak enjin, minyak power steering, air radiator dan air bateri tidak diperiksa. Sebelum jalan pun, kereta sudah ada masalah.

Dianggarkan lebih dari 60% pemandu tidak mengetahui GMP (General Mechanical Principles) atau Prinsip Mekanikal Am tentang kereta mereka. Mereka hanya tahu memandu. Lain hal tentang kereta mereka tak tahu. Mereka tak tahu bagaimana enjin kereta bekerja. Bagaimana sistem pelincirannya, sistem penyejuknya, sistem penyalaan atau ignitionnya dan sistem bahan apinya. Mereka juga tidak tahu sistem transmissionnya, sistem suspensionnya, sistem bereknya, sistem elektriknya, sistem kawalannya dan berbagai-bagai lagi sistem yang ada pada kereta. Mereka main lanyak saja. Tak tahu macam mana nak maintain kereta dan tak tahu had-had kemampuan kereta mereka. Tetapi ini semua perkara mudah. Kalau disyaratkan semua itu sebelum diberi lesen memandu, semua orang akan belajar.

Yang menjadi masalah ialah sikap, akhlak dan perangai pemandu. Terutamanya pemandu yang angkuh, sombong, ego, tak boleh orang lain lebih dari dia, tak bertoleransi, tak mahu mendahulukan orang lain, tak mahu mengalah, suka berebut-rebut, gopoh-gapah, tak sabar, tak boleh bertolak ansur, berdendam, pemarah, panas baran, pantang dicabar, suka berlaju-laju dan berlumba-lumba, suka paksa diri walaupun mengantuk dan sentiasa nak cepat. Semua sifat-sifat mazmumah yang ada pada pemandu inilah sebenarnya punca kebanyakan kemalangan. Kadang-kadang jalan baik, cuaca baik, kereta baik tetapi berlaku juga kemalangan. Bukan keretanya yang hendak bertembung tetapi pemandunya yang hendak berlaga.

Banyak kita lihat, orang yang lemah lembut sifatnya, cakap perlahan dan berbudi bahasa dan kadang-kadang ada juga perempuan yang cantik, comel dan genit, tetapi bila mereka memandu, sifat mereka bertukar menjadi kasar, bengis dan ganas. Pantang tengok kereta di depan, mesti nak potong. Tekan minyak macam tekan berek. Tekan sampai habis. Tekan berek pula macam tekan minyak. Tekan sikit-sikit sahaja.

Ada orang, kalau dia memandu Proton Wira, kereta Mercedes potong tak apa. Kereta BMW potong tak apa. Kereta mewah yang lain potong tak apa. Tapi jangan Kancil ke, Kenari ke, Kelisa ke. Ini dia tak boleh tahan. Mesti potong balik. Ada orang, kalau memandu, mulut tak pernah diam. Kalau dia menyanyi ke, bernasyid ke tak apa. Ini tidak. Dia sibuk membebel dan memaki hamun pemandu lain. Bodohlah. Lesen kopilah. Tak ada otaklah. Apa bawak pelahan sangat. Kalau nak pelahan, jalan kakilah. Dan bermacam-macam lagi sumpah seranahnya. Selagi tak sampai ke destinasi, selagi itulah dia membebel.

Ada pula pemandu, kalau orang yang di sebelahnya itu kebetulan buah hati atau kekasihnya, ditumpu segala perhatiannya kepada kekasihnya itu. Pengguna lebuh raya yang lain dia tak peduli. Undang-undang jalan raya dia tak peduli. Polis trafik pun dia tak peduli. Dia nak slow, dia slow. Dia nak terhoyong-hayang ke dia tak kira. Orang macam ini, elok suruh dia kahwin cepat dengan buah hatinya itu. Kerana kalau dah jadi bini, taklah sampai macam tu sangat dia beri perhatian.

Kadang-kadang pemandu yang datang dari arah depan entah apa sebabnya, makan jalan kita. Kebanyakan orang jadi marah dan mula memaki hamun. Angkat tangan tunjuk penumbuk. Makan jalan dia tu pantang datuk nenek dia. Sebenarnya datuk nenek dia tak kisah pun. Saja dia nak libatkan datuk nenek dia. Sebab kalau ada orang tua-tua terlibat, orang ada hormat sikit. Separuhnya pula tak cukup tunjuk penumbuk. Dia rasa dia betul. Oleh itu dia tak mahu beralah. Orang makan jalan dia, dia tetap tak berganjak. Dia tetap atas jalan dia. Dia kata dalam hatinya: Kau berani sangat makan jalan aku? Hah kita tengok! Itu pun boleh tahan juga. Ada yang lebih dahsyat lagi dari itu. Orang makan jalan dia, dia pun makan jalan orang. Hatinya berkata: Kau boleh buat, aku pun boleh buat!

Punca kemalangan adalah sifat-sifat manusia-manusia itu sendiri. Ego, sombong, angkuh, tak boleh bertolak ansur, tak sabar. Akibatnya kedua-dua pihak cedera. Baik tak baik, kedua-dua pihak mati.

Apalah salahnya kita beralah, masuk ke tepi jalan dan beri dia laluan. Dengan itu kedua-dua selamat. Manalah kita tahu masalah dia. Dia mungkin tak mahu makan jalan kita tapi dia tak dapat elak. Mungkin tayarnya hilang angin sebelah. Mungkin steeringnya jam. Atau dia mengelak lubang. Atau dia mengantuk dan tak sedar. Dia tu kan manusia. Ada banyak kelemahan. Apalah salahnya kita beri dia laluan dan maafkan dia.

Kalau berlaku pelanggaran pula antara dua kereta, dramanya lagi hebat. Seorang pemandu keluar bawa spana hidup. Seorang lagi keluar bawa spanar buka roda. Kereta dua-duanya dah kemek dan calar balar. Ini giliran pemandunya pula nak kemek dan calar balar. Lepas berlanggar mesti nak bergaduh.

Apalah salahnya, kalau berlaku pelanggaran kedua-dua pemandu keluar, beri senyuman yang manis dan hulur tangan untuk bersalam. Masing-masing mengaku salah dan minta maaf. Cuba selesaikan dengan baik. Tak ada siapa yang suka kemalangan. Kalau dah jadi, apa nak buat. Selesaikan sajalah dengan baik. Janganlah cetuskan pula kemalangan yang lain. Cukuplah satu kemalangan tu. Lebih baik lagi, kalau ada kedai atau warung, ajak minum. Selesaikan sambil minum. Tukar-tukar alamat, tukar-tukar nombor telefon. Ini peluang kita berkenalan. Peluang dapat kawan.

Sifat hati yang baik ini perlu. Bukan sahaja dalam hidup bermasyarakat, dalam pergaulan di tempat kerja, di kampung, di taman, di flet dan pangsapuri, tetapi juga di jalan raya dan di lebuh raya. Sifat hati inilah yang mewarnai sikap, akhlak dan perangai para pemandu. Kalau hati baik dan kurang sifat mazmumah, sikap, akhlak dan perangai para pemandu akan ikut jadi baik. Kalau hati jahat dan penuh sifat mazmumah, pemandu akan bersikap ganas, pemarah, suka memandu laju dan tidak mahu bertolak ansur.

Selagi sifat-sifat mazmumah yang bersarang di hati para pemandu ini tidak dihakis dan dibuang, selagi itulah sikap dan perangai mereka yang negatif dan berbahaya itu tidak akan berubah. Para pemandu perlu dididik. Mereka perlu disedarkan bahawa kalau hati mereka baik, maka baiklah cara mereka memandu. Kalau hati mereka jahat maka jahatlah cara mereka memandu. Kehadiran mereka di lebuh raya akan membahayakan diri mereka, penumpang mereka dan pengguna lebuh raya yang lain.

Inilah kriteria yang patut diambil kira dalam menetapkan had laju lebuh raya kita. Bagaimana sikap, akhlak dan perangai para pemandu kita secara umumnya. Kalau hati-hati mereka masih jahat dan penuh dengan sifat-sifat yang tidak baik, maka janganlah naikkan had laju. Kalau sekiranya mereka umumnya satu hari nanti boleh menjadi pemandu yang berdisiplin, bersopan, berhemah, bersabar dan suka bertolak ansur dan suka mendahulukan orang lain, maka had laju bolehlah dinaikkan.

Kaedah dan cara mesti dicari untuk mendidik para pemandu kita. Yang terbukti mempunyai sifat dan sikap yang berbahaya atau ganas perlu diberi kaunseling dan nasihat dengan penuh hikmah dan kasih sayang. Setakat boleh memandu dan ada lesen sahaja tidak cukup. Mereka mestilah juga orang-orang yang baik. Kereta itu, kalau disalah guna, sama bahayanya dengan senjata api. Ia boleh membunuh. Malahan lebih ramai orang mati disebabkan kemalangan kereta daripada yang mati ditembak. Takkanlah kita nak bagi lesen shot gun pada orang yang jahat, pemarah, panas baran, yang tak boleh bertolak ansur, yang suka mengamuk, yang tak sabar dan yang tidak bertanggungjawab. Nak bagi lesen memandu ini lebih kurang sama macam nak bagi lesen shot-gun juga. Kena tentukan orangnya betul-betul baik, boleh diharapkan dan bertanggungjawab.

Semuanya berbalik kepada masalah kemanusiaan. Semuanya kembali kepada masalah keinsanan. Manusia perlu dikembalikan kemanusiaannya. Manusia perlu dipulihkan keinsanannya. Barulah watak manusia itu akan menjadi lunak, lembut, bertolak ansur, berkasih sayang, suka mendahulukan orang lain, penyabar, pemaaf, suka meminta maaf, tenang, bertoleransi dan mudah mengalah. Inilah kriteria untuk keselamatan hidup manusia. Bukan sahaja di lebuh raya tetapi di mana juga di muka bumi ini. Kalau manusia tidak terbina insannya, maka akan terjadilah apa yang Tuhan firmankan: Akan lahirlah kerosakan dan kejahatan di daratan dan di lautan hasil dari usaha tangan manusia itu sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


















KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin