Khamis, 25 April 2013

HUKUM BAGI ORANG YANG BELUM BERKHAWIN

SOALAN:
Saya seorang hamba Allah yang telah separuh usia tetapi hingga kini masih belum berkahwin kerana masalah-masalah peribadi. Sejak akhir-akhir ini saya kerap dipermainkan oleh kawan-kawan kononnya saya membelakangkan sunah nabi dan sekali gus saya tidak diakui umatnya.
Soalan saya, apakah hukum seorang lelaki seperti saya yang tidak berkahwin sepanjang usianya? Sebesar manakah dosa yang bakal ditanggung oleh saya? Benarkah saya tidak diakui umat Nabi Muhammad s.a.w? Jika perkahwinan itu merupakan usaha menghayati sunah nabi, sebesar manakah pula pahala yang bakal diterima, terutama bagi lelaki yang berjaya berkahwin lebih daripada satu?
- UMAR, hulu Klang, Selangor.
JAWAPAN:
Setinggi-tinggi terima kasih saya ucapkan kepada anda yang bertanya. Sangka baik anda dan rakan-rakan yang mengirim soalan menambahkan lagi keyakinan saya untuk terus menjawab segala kemusykilan yang dimajukan.
Islam adalah agama yang menggalakkan seseorang yang mampu kahwin dan bersedia menjalankan tanggungjawab sebagai suami dan ketua keluarga supaya berkahwin dan membina rumah tangga. Rasulullah s.a.w. tidak menyukai orang yang membujang seumur hidup, kecuali dia mempunyai masalah yang tidak mengizinkannya untuk berkahwin. Mungkin anda termasuk dalam golongan yang dikecualikan.
Nabi Muhammad s.a.w. dan rasul-rasul terdahulu terdiri daripada golongan orang yang berkahwin dan mempunyai zuriat keturunan. Kebanyakannya beristeri lebih daripada satu. Hakikat ini dinyatakan dalam firman Allah yang bermaksud: Dan sesungguhnya Kami telah mengutus rasul-rasul sebelummu dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan (al-Ra'd: 38).
Dalam hadis pula, nabi s.a.w. mengecam segolongan sahabat yang pernah menyatakan hasrat mereka untuk berkasi dan terus membujang sepanjang hayat bagi menumpukan sepenuh usia mereka kepada ibadat dan solat malam. Baginda menasihati mereka: ``Kahwinlah kamu dengan wanita yang penyayang dan ramai anak. Sesungguhnya aku berbangga dengan ramai bilangan umatku pada hari kiamat.''
Meskipun rangsangan kahwin begitu jelas, namun hukumnya berbeza antara seorang individu dengan yang lain, mengikut keperluan dan keadaan. Bagi mereka yang mampu berkahwin, berkemahuan tinggi serta menaruh kebimbangan terjebak dalam maksiat, maka hukumnya wajib kahwin dan berdosa jika ditangguhkan.
Bagi mereka yang ada kemahuan berkahwin, tetapi tidak mendatangkan apa-apa masalah jika hidupnya membujang, maka hukumnya sunat kahwin. Bagi mereka yang yakin tidak mampu melaksanakan tugas-tugas sebagai suami isteri, atau sebenarnya dia tidak berminat kepada hidup berpasangan, maka haram baginya kahwin. Hukum ini sama sahaja bagi lelaki mahupun wanita.
Anda tidak menyatakan dengan terus terang masalah yang dihadapi yang menghalang anda untuk meneruskan perkahwinan. Jika halangan itu disebabkan tekanan nafsu yang rendah, atau kerana tidak mampu menjalankan kewajipan selepas kahwin, atau mungkin ada sebab-sebab lain lagi yang munasabah, maka saya sependapat dengan sikap anda untuk terus membujang sepanjang usia. Mungkin anda termasuk dalam golongan orang yang haram kahwin.
Anda tidak perlu melayani suara kawan-kawan yang suka bergurau kerana mereka sebenarnya tidak tahu masalah anda. Jika anda berasa cukup bahagia dengan hidup tanpa kahwin dan memangpun anda telah menjalani kehidupan itu hingga ke separuh usia, maka anda tidak perlu risau terhadap masa depan yang masih ada. Mungkin usia yang tinggal tidak sepanjang yang telah pergi.
Anda perlu tenangkan fikiran dan hadapi masa depan dengan penuh kepercayaan. Sebagai ganti kepada kahwin, berikan sumbangan kepada masyarakat sebanyak yang anda mampu. Carilah kebahagiaan melalui sumbangan anda kepada masyarakat. Anda sebenarnya tidak keseorangan dalam kehidupan seumpama itu, malah masih ramai orang yang hidup membujang sepanjang usia tetapi menikmati kebahagiaan yang sungguh bermakna sama ada lelaki atau wanita. Saya cuba kemukakan di sini beberapa ulama dan ilmuwan Islam yang tidak pernah berkahwin dan membujang sepanjang usia. Nama-nama mereka masih disebut-sebut oleh para pencintanya.
Anda mungkin terkejut apabila saya menyebutkan nama-nama ulama yang membujang sepanjang usia seperti Ibn Jarir al-Tabari (224-310H). Beliau ialah pengarang kitab Tafsir al-Quran yang terkemuka, pakar dalam bidang sejarah dan pengasas sebuah mazhab Fiqh pada zamannya. Demikian juga dengan Imam Jar Allh al-Zamakhsyari (467-538H), Jalal al-Din al-Suyuti (849-911H) dan lain-lain.
Tiga tokoh yang disebutkan ini ialah antara tokoh-tokoh besar dalam tafsir al-Quran yang sukar ditandingi. Pemikiran mereka masih segar dalam ingatan umat Islam, nama-nama mereka selalu disebut dalam majlis-majlis forum dan seminar-seminar akademik. Kitab-kitab karangan mereka memenuhi rak-rak buku dalam perpustakaan di seluruh dunia.
Ratusan penyelidik pula berjaya mendapatkan ijazah sarjana atau doktor falsafah hasil kajian tentang sejarah dan sumbangan mereka kepada ilmu-ilmu Islam.
Penulis sendiri ialah salah seorang peminat al-Suyuti dan berjaya memperoleh ijazah sarjana dengan mengkaji sumbangannya kepada ilmu hadis. Sesetengah orang berpendapat keilmuan al-Suyuti boleh dikaji dalam apa jua bidang sekalipun, semuanya layak untuk dinilai pada peringkat sama ada sarjana atau doktor falsafah.
Ramai lagi ulama dalam berbagai-bagai bidang ilmu yang memilih untuk hidup tanpa kahwin seperti Imam al-Nawawi iaitu pakar hadis dari negeri Syam, Ibn al-Nafis ahli perubatan Arab, Ibn Yunus ahli nahu dari Basrah, Bisyr al-Hafi ahli Sufi, Abu Ali al-Farisi sasterawan Arab dan lain-lain. Meskipun mereka tidak pernah mendidik anak-anak kandung kerana tidak pernah membina keluarga, tetapi mereka pernah membangunkan ummah dan pernah mengasaskan beberapa institusi dalam pemikiran Islam melalui anak-anak murid mereka.
Kembali kepada sindirian tajam sesetengah kawan terhadap anda kerana tidak kahwin, kononnya anda tidak mengikuti sunah nabi dan kemungkinan nabi tidak mengaku anda sebagai umatnya.
Anda boleh sebut kepada kawan-kawan anda itu nama-nama ulama yang disenaraikan di atas. Pastinya mereka lebih tahu tentang hukum dan keperluan sebenar dalam kehidupan mereka dan pastinya juga mereka tidak rela diri mereka tidak menjadi umat Nabi Muhammad s.a.w.
Terdahulu telah disebutkan hukum kahwin dalam fiqh Islam yang banyak bergantung pada suasana dan kedudukan seseorang. Ulama yang memilih hidup tanpa kahwin tentu ada sebab-sebabnya sama ada peribadi atau lain-lain.
Biasanya mereka memilih cara hidup seumpama itu disebabkan kewajipan dan tanggungjawab mereka yang besar terhadap masyarakat dan ummah. Mereka rela hidup tanpa kahwin sepanjang usia sebagai bayaran kepada hidup sepenuh masa sebagai ulat buku, sebagai ahli ibadat, sebagai pengarang dan lain-lain.
Ramai ulama beranggapan kahwin membunuh cita-cita sebagai ilmuwan. Umar ibn al-Khattab radiallahuanhu pernah menasihati muridnya supaya belajar bersungguh-sungguh sebelum kahwin. Setelah berkahwin, masa akan tertumpu kepada keluarga, tidak lagi kepada ilmu.
Imam Abu Hanifah radiallahuanhu menasihati murid pintarnya Abu Yusuf. Katanya: Hati-hati engkau dengan wanita. Jangan kahwin semasa belajar, nanti masa kamu terbuang kerana melayani isteri dan anak-anak.'' Nasihat Imam Abu Hanifah ini perlu diamati pelajar-pelajar di sekolah-sekolah tinggi hari ini. Ramai pelajar yang tidak sabar-sabar lagi untuk berkahwin sebaik sahaja menjejak kaki ke universiti.
Imam Abu Hamid al-Ghazali (505 H) dalam kitabnya Ihya `Ulum al-Din berpendapat sebaik-baiknya ulama memilih hidup tanpa kahwin kerana kesibukan keluarga biasanya menjejaskan kehidupan seseorang sebagai ulama. Jika tidak dibimbangi menjejaskan kewibawaan sebagai ulama, maka kahwin lebih afdal daripada hidup membujang.
Ibn Taimiyyah (660 H) sependapat dengan al-Ghazali. Beliau hidup selama 67 tahun tanpa isteri dan anak-anak yang menghiburnya. Beliau akhirnya meninggal dunia ketika dalam penjara di Syam setelah dihalangnya daripada menyentuh kitab, memegang pena dan kertas yang sangat dicintainya.
Ibn Taimiyyah tidak kesempatan menjadi suami atau ketua keluarga kerana beliau sibuk dengan urusan masyarakat dan negara. Beliau berjuang dengan lidah dan penanya yang tajam, kadang-kadang tenang buat seketika, tetapi belumpun sempat berkahwin, suasana dengan tiba-tiba kembali menjadi kacau bilau. Beliau terpaksa menangguh perkahwinannya hingga akhirnya meninggal dunia.
Ada orang berpendapat kelatangan Ibn Taimiyyah menegur dan mengkritik sesuatu yang dilihatnya salah, termasuk dasar-dasar kerajaan yang dilihatnya sebagai mungkar, adalah disebabkan beliau ketiadaan isteri dan anak-anak. Andainya beliau mempunyai isteri dan anak-anak, kemungkinan sikapnya tidak sekasar itu.
Saya berpendapat kemungkinan inilah menjadikan Ibn Taimiyyah memilih untuk hidup tanpa kahwin. Beliau menyedari lebih awal bahawa jika dia hidup sebagai seorang suami dan ketua keluarga yang mempunyai anak-anak, nescaya banyak prinsip beliau gagal pertahankan. Bukankah pengaruh isteri itu sangat besar bagi seorang suami. Wallah A'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


















KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin