Kiamat besar & Kiamat Kecil
Datang Tiba-tiba
Oleh
Kiamat besar disebutkan oleh Allah akan datang secara
tiba-tiba, tanpa dapat diramal secara tepat oleh manusia. Nabi Muhammad hanya
diberikan oleh Allah ilmu berkenaan tanda-tanda hampirnya sahaja. Tiada siapa
yang mampu meneka tarikh tepatnya, sama ada tahun atau bulannya.
Sesiapa yang cuba mengira-ngira sama ada
berdasarkan jumlah dan ayat al-Quran dan sebagainya, ia sebenarnya sedang
melakukan kekarutan dan menyeleweng dari jalan yang benar.
فَهَلْ
يَنظُرُونَ إِلَّا السَّاعَةَ أَن تَأْتِيَهُم بَغْتَةً فَقَدْ جَاء أَشْرَاطُهَا
فَأَنَّى لَهُمْ إِذَا جَاءتْهُمْ ذِكْرَاهُمْ
Ertinya : Maka tidaklah yang
mereka tunggu-tunggu melainkan hari kiamat (iaitu) kedatangannya kepada mereka
dengan tiba-tiba, kerana sesungguhnya telah datang tanda-tandanya. Maka apakah
faedahnya bagi mereka kesedaran mereka itu apabila hari kiamat sudah datang? (
Surah Muhammad : 18)
Itu perihal kiamat besar, namun disampingnya ada
kiamat kecil, iaitu kematian yang sentiasa basah di bibir Rasulullah
mengingatkan umat dan sahabatnya. Kiamat kecil ini juga kerap datang secara
tiba-tiba, sehingga kata orang ia datang "tanpa seorang itu mampu atau sempat bersedia".
Hakikatnya itu tidak benar, sebenarnya Allah
mendatangkan kematian setelah kita semua diberikan masa dan infra secukupnya
untuk bersedia. Cuma kita yang terlalu lalai dan terhijab dek kerana kecantikan
dan kenikmatan sementara yang wujud di atas dunia ini.
Saya suka berkongsi tiga video melalui entry ini. Satu
darinya telah saya kongsikan di facebook saya, namun bagi meluaskan lagi
jangkauan kebaikan yang boleh diperolehi dari video ini, saya muatkan ia di web
ini. Sebuah video yang saya tonton berkali-kali, dan sebuah video yang mampu mengalirkan
air mata.
Video ini memperlihatkan seorang yang dijemput
kematian ketika betul-betul sesudah solat. Betapa kita tidak dapat menjangka
bila nyawa akan ditarik. Setiap organ yang berfungsi di dalam tubuh kita adalah
dengan izin dan kuasa Allah, kita tidak mampu mengawalnya. Kita tidak tahu, bila tiba-tiba ia jammed. Terhentinya ia beberapa minit
cukup untuk menamatkan umur kita di atas dunia. Ia bukan seperti enjin kereta yang
boleh ditangguh-tangguh untuk memulihkannya.
Video Satu
Kekaguman saya kepada individu ini bertambah
apabila keadaan kematian yang begitu baik ( pada hari Jumaat 1 Jan 2010 adalah hari Jumaat dan beliau datang
awal ke masjid) di sebarluaskan oleh ramai, malah dengan izin Allah, mampu
menyedarkan dan menginsafkan ramai yang menontonnya. Ketika itu, terfikir
bahawa kematiannya juga adalah sebuah dakwah yang hebat.
Setiap aliran darah, denyutan jantung, fungsinya
hati, usus dan sebagainya, semua dikawal oleh kuasa Allah ta'ala. Bukan hanya
apa yang di dalam tubuh malah juga semua yang diluarnya, Lihat video ini
bagaimana secara tiba-tiba tiang boleh jatuh dan menimpa pejalan kaki.
Video Dua
Mungkin
ada yang terfikir, seorang ahli sukan yang ‘fit' cergas dan sihat, mungkin
tidak akan menerima serangan jantung, namun cuba lihat apa yang terjadi kepada
pemain bolasepak Hungary ini . Selepas memberikan senyuman kepada pengadil yang
memberikannya kad kuning dan terus...
Video Tiga
LUPA
Ramai yang terlupa di akhirat sana, nikmat yang
maha besar sedang menunggu bagi sesiapa yang bersedia dan sentiasa menambah
persediaan dan bekalannya. Nikmat Syurga tidak mampu sama sekali digambar, sebagaimana
pereka cipta kereta Ford di awal rekaannya tidak akan mampu sama sekali
terbayang kereta Ferrari di zaman ini. Jika diandaikan seorang dari kita
tiba-tiba melayang ke masa silam dan cuba menerangkan perihal bentuk dan enjin Ferrari,
bentuk dan fungsi i-phone dan i-pad ,tentunya tiada siapa yang berada di zaman itu boleh membayangkannya.
Begitulah kenikmatan akhirat yang disebut oleh Nabi
dari Allah ta'ala :
أعددت لعبادي
الصالحين ما لا عين رأت ، ولا أذن سمعت ، ولا خَطَرَ على قلب بشر
Ertinya : Aku menyediakan bagi hambaku yang soleh (syurga)
yang tiada mata yang telah pernah melihatnya (tidak mampu tergambar), dan tidak
pernah didengari (kenikmatannya) oleh telinga dan tidak mampu terlintas (tahap
kenikmatannya) oleh hati manusia. ( Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
Manakala dalam catatan Imam Ahmad
إنه من
يدخل الجنة ينعم ولا يبأس، لا تبلى ثيابه، ولا يفنى شبابه، في الجنة ما لا عين رأت،
ولا أذن سمعت، ولا خطر على قلب بشر
Ertinya: Sesungguhnya
sesiapa yang memasuki Syurga Allah akan dikurniakan nikmat yang tidak akan
jemu, tidak binasa pakaiannya, tidak hilang kepemudaan/pemudiannya, apa yang di
dalam Syurga, sesuatu yang mata tidak mampu tergambarnya, dan tidak pernah
didengari (kenikmatannya) oleh telinga dan tidak mampu terlintas (tahap
kenikmatannya) oleh hati manusia. (Riwayat Ahmad)
Para ulama menghuraikan, perihal Nabi Adam yang
pernah mendiami Syurga tidak sama sekali bertembung dengan hadis ini kerana
syurga itu sentiasa berubah-ubah nikmatnya dan tidak akan sama sekali membosankan. Luasnya tidak tercapai oleh bayangan aqal manusia. Menurut hadis, individu
yang menerima syurga paling terbawah pun besarnya adalah beberapa kali ganda
dunia hari ini, apatah lagi yang lainnya. Justeru itu, apa yang dilihat oleh
nabi Adam, dengan mudah sekali bagi Allah mengubahkan kepada apa yang
dikehendakiNya.
Akhirnya sekali, ingatlah pesan dan teguran Imam
Hasan Al-basri:
ما رأيت
يقينًا لا شك فيه أشبه من شك لا يقين فيه من الموت
Ertinya : Tidaklah aku
melihat satu perkara yang amat pasti (yakin) serta tiada keraguan padanya akan datang
tetapi diperlakukan seperti suatu perkara yang tidak pasti hadirnya, (seolah tidak
yakin kewujudannya) lebih dari perihal kematian.
Sama-samalah kita berdoa agar sewaktu nyawa kita
ditarik kita berada di dalam keadaan yang baik di sisi manusia, amat baik di
sisi Allah. Janganlah dimatikan kita sewaktu terlanjur melakukan maksiat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan