Aspek Adat Dalam Masyarakat Malaysia dan Kepentinganya
Adat secara umumnya didefinisikan sebagai
suatu aturan dan cara hidup. Ianya mencerminkan segala perbuatan yang
adakalanya dilakukan setiap hari ataupun musim sama ada berpandukan
bulan atau tahun. Itu ialah perkara yang selalu difahami khalayak
berkenaan dengan adat. Suatu perkataan yang sinonim dengan adat ialah
budaya. Walaupun dari aspek bunyinya ia berbeza, tetapi dari segi
pengertiannya, ia adalah konsep yang saling bergantung dan sama.
Adat seperti yang didefinisikan tadi
ialah cara hidup iaitu tingkah laku, kepercayaan dan sebagainya. Adat
bersifat maya iaitu tidak dapat dilihat. Ia timbul daripada suatu
pemikiran berkenaan cara hidup dan tidak dizahirkan. Apabila ianya
dizahirkan dan dapat dilihat perlaksanaanya, misalnya kita melihat adat
bercukur, adat bersanding dan sebagainya, itu sudah menjadi suatu
budaya. Maknanya, budaya ialah suatu bentuk perlakuan yang mencerminkan
adat sesuatu masyarakat itu.
Kerana dua entiti ini terlalu berkait
sifatnya, kita pada hari ini selesa menjadikan adat dan budaya itu
sebagai satu benda yang sama. Yang berbeza cuma cara sebutannya. Budaya
yang difahami dan dilihat, hakikatnya ialah adat. Budaya bersifat tidak
tetap iaitu boleh berubah, Justeru wujud pengkelasan budaya tradisional
dan budaya moden, ini menunjukkan budaya lama dan budaya hari ini tidak
sama, maka ia jelaslah boleh berubah. Adat pula ialah suatu ketetapan
yang tidak boleh berubah, oleh itu bolehlah kita katakan adat sebagai
budaya yang asal.
Justeru dalam membicarakan kepentingan
adat dalam membentuk budaya Malaysia pada hari ini, kita akan
membicarakan tentang kepentingan budaya asal yang diubah untuk dijadikan
budaya bersama rakyat Malaysia bagi mewujudkan identiti dan peribadi
rakyat majmuk yang bersifat seragam.
Masyarakat Malaysia ialah suatu
masyarakat yang bersifat majmuk dan pelbagai. Ia juga disebut sebagai
masyarakat Jawi iaitu masyarakat yang bercampur dari pelbagai latar
belakang. Kerana masyarakat Malaysia itu masyarakat Jawi, iaitu yang
pelbagai latar belakangnya, maka setiap bangsa atau ras didalam sistem
sosial Malaysia pastinya berbeza satu sama lain dari segi latar
belakangnya. Tidak terkecuali berbeza dari segi adat dan budaya.
Adat bagi setiap kaum di Malaysia
pastinya dilihat dari sistem nilai yang berbeza. Martabat adat itu
sendiri berbeza kedudukanya bagi masyarakat Malaysia pada hari ini. Bagi
masyarakat Minangkabau sebagai contoh, adat dianggap sebagai sebuah
tradisi lisan yang tinggi sekali martabatnya dalam kehidupan mereka.
Adat dalam konteks Minangkabau bukan sekadar cara bersanding, cara
menyantap hidangan makanan, cara pertabalan Luak dan sebagainya, tetapi
adat ialah suatu peraturan hidup yang perlu dipegang kuat oleh generasi
mereka sehingga ke hari ini. Justeru tidak hairanlah jika didalam
masyarakat mereka wujud istilah-istilah seperti “undang-undang adat”,
“mahkamah adat”, “ketua adat” dan sebagainya. Begitu juga dengan
lain-lain kaum di Malaysia, aspek adat masih lagi dianggap sebagai suatu
pengungkap identiti bangsa dan terus dipertahankan walaupun ia sudah
banyak berubah jika dibandingkan dengan perlaksanaanya suatu ketika
dahulu.
Dalam membicarakan fokus esei ini iaitu
kepentingan aspek adat yang menjadi penyatu bagi mewujudkan peribadi dan
identiti kebangsaan, kita seharusnya mengetahui dahulu berkenaan aspek
adat yang menjadi identiti masyarakat yang pelbagai di Malaysia. Bagi
maksud itu, didalam bahagian ini kita akan melihat aspek adat yang
mencerminkan identiti tiga kaum utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan
India.
Masyarakat Melayu ialah masyarakat asal
di Tanah Melayu. Walaupun ada sesetengah sejarawan khususnya sejarawan
Barat era kolonial mendakwa masyarakat Melayu juga masyarakat pendatang,
namun ianya dapat dinafikan dengan mengetengahkan konsep merantau yang
menjadi amalan masyarakat Melayu di Nusantara ketika itu.
Bercakap berkenaan adat didalam
masyarakat Melayu, ramai sarjana mengatakan bahawa adat Melayu merupakan
adat jawi iaitu adat yang bercampur. Ini sesuai dengan pemahaman kita
berkenaan proses pembentukan Melayu itu sendiri yang merupakan cantuman
ras-ras kecil yang beragama Islam, maka wujudlah apa yang dipanggil
Melayu itu. Ini menunjukkan pelbagai percampuran dalam pembinaan adat
Melayu. Dalam soal pembinaan adat Melayu, kita dapat melihat tiga bentuk
pengaruh yang besar dalam proses pembinaan adat Melayu. Pertamanya
ialah adat yang dipengaruhi adat Hindu dan Buddha, yang kedua ialah adat
yang dipengaruhi zaman Hindu/Buddha dan Islam, yang ketiga ialah adat
yang berteraskan Islam.
Adat Melayu yang awal dipengaruhi oleh
unsur-unsur Hindu dan Buddha yang diperolehi melalui kitab-kitab lama
seperti Rayamana dan Mahabrata. Ketika adat ini diamalkan, Islam masih
belum sampai ke Nusantara. Ada diantara adat-adat dalam period Hindu dan
Buddha ini masih diamalkan sehingga ke hari ini. Pastinya kita pernah
melihat upacara persandingan didalam majlis-majlis perkahwinan
masyarakat Melayu. Ini merupakan salah satu contoh adat-adat Hindu yang
ditiru oleh masyarakat Melayu dahulu.
Pemujaan Raja secara melebih-lebih dalam
masyarakat Melayu suatu ketika dahulu juga merupakan cerminan kepada
pengaruh Hindu Dan Buddha dalam masyarakat Melayu bahkan perkataan
“Raja” itu sendiri pun sudah memperlihatkan pengaruh Hindu yang tebal.
Begitu juga dari aspek pertabalan dan adat istiadat Istana Melayu,
terlihat lagi kekuatan unsur Hindu dan Buddha dalam mencorakkan adat
Melayu itu.
Period atau peringkat yang kedua ialah
pengaruh unsur campuran Hindu/Buddha dan Islam. Pada zaman ini Islam
sudah datang ke Nusantara dan majoriti orang Melayu pun sudah beragama
Islam. Namun pengaruh adat lama yang berteraskan Hindu dan Buddha masih
diamalkan. Justeru zaman ini digelar zaman campuran adat Hindu/Buddha
dan Islam dalam masyarakat Melayu. Pada zaman ini, walaupun masyarakat
Melayu sudah Islam, namun mereka mengamalkan adat-adat yang dianggap
menyimpang dari ajaran Islam. Sebagai contoh masyarakat Melayu
mengamalkan adat mandi Safar yang dianggap sebagai suatu usaha untuk
membuang sial bulan Safar dalam kehidupan mereka. Ia jelas bertentangan
dengan ajaran Islam yang menganggap perbuatan itu sebagai khurafat.
Begitu juga adat puja kampung, puja pantai dan sebagainya. Ia jelas
bertentangan dengan Islam, tetapi tetap diamalkan dengan meluas didalam
masyarakat Melayu yang masih tebal dengan pengaruh Hindu dan Buddha
ketika itu.
Pengaruh unsur luar yang ketiga didalam
masyarakat Melayu ialah pengaruh Islam iaitu pengaruh yang paling kuat
sekali dalam kebudayaan dan adat Melayu. Bagi masyarakat Melayu, adat
ialah kepatuhan yang kedua selepas agama mereka iaitu Islam. Kepatuhan
kuat orang Melayu kepada agama Islam diakui oleh Prof. Syed Naquib
Al-Attas yang mengatakan Islam telah mentamadunkan masyarakat Melayu.
Perlembagaan Malaysia sendiri telah mendefinisikan Melayu sebagai mereka
yang beragama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu dan mengamalkan
budaya Melayu. Ini menunjukkan betapa kuatnya Islam didalam hidup orang
Melayu.
Apa yang ingin dijelaskan disini ialah
betapa pentingnya agama Islam kepada orang Melayu. Kerana kepentingan
itu, pada zaman pengaruh Islam yang kuat ini, masyarakat Melayu
menjadikan Islam sebagai teras kepada pembentukan adatnya. Adat-adat
yang bertentangan dengan ajaran Islam semakin tidak popular dalam
kalangan masyarakat Melayu dan semakin dikurangkan penggunaanya. Namun
pada zaman Islam ini, adat-adat lampau yang tidak bertentangan dengan
ajaran Islam tetap diteruskan pengamalanya.
Adat-adat Melayu yang bercirikan Islam
merangkumi adat ketika seseorang dilahirkan, seseorang meningkat remaja,
dewasa, adat dalam kehidupan sehari-hari dan adat ketika seseorang itu
meninggal dunia. Adat-adat yang diamalkan ini sebenarnya merupakan apa
yang disebut sebagai perkara sunat didalam ajaran Islam.
Sebagai petunjuk kepada pengaruh Islam
didalam adat Melayu ialah adat ketika seseorang itu baru dilahirkan.
Antaranya ialah adat bercukur, melaungkan azan dan iqamat ke telinga
bayi dan adat membelah mulut. Bercukur ialah perbuatan mencukur rambut
asal bayi sehingga botak, ianya biasa diadakan pada hari-hari ganjil
seperti hari ketiga, ketujuh, kesembilan dan seterusnya. Bercukur
bertujuan membuang rambut asal bayi yang dianggap kotor dan tidak akan
tumbuh dengan baik. Ia sesuai dengan ajaran Islam yang mementingkan
aspek kebersihan dan kesihatan.
Azan dan Iqamat pula merupakan tuntutan
Islam untuk memulakan pendengaran seseorang yang baru dilahirkan itu
dengan kalimat-kalimat yang mulia. Ada juga golongan tua Melayu
mengatakan ianya merupakan simbolik kepada singkatnya hidup didunia ini
iaitu sesingkat masa yang diambil antara iqamat dan solat yang akan
didirikan. Ketika dilahirkan kita diazan dan diiqamatkan, dan apabila
kita meninggal dunia, kita disolatkan dengan solat jenazah.
Adat membelah mulut pula menjadi tradisi
masyarakat Melayu dengan melalukan manisan ke bibir bayi yang baru
dilahirkan. Adakalanya juga digunakan emas bagi maksud itu. Adat
membelah mulut ini biasanya dilaksanakan oleh orang-orang yang dianggap
alim oleh masyarakat. Ada masa-masanya, ia juga dilakukan oleh bidan
yang menyambut kelahiran bayi itu. Ia bertujuan supaya bayi yang dibelah
mulutnya akan mengikut perangai orang yang membelah mulutnya apabila
sudah dewasa nanti.
Masyarakat Cina di Malaysia juga seperti
masyarakat-masyarakat lain yang mempunyai adat dan cara hidupnya
sendiri. Secara teorinya, dapat kita katakan bahawa adat kaum Cina di
Malaysia ialah warisan daripada negara China. Ini memandangkan berlaku
proses kemasukan besar-besaran kaum Cina ke Tanah Melayu pada awal abad
ke 19 dahulu, kemasukan kaum Cina ke Tanah Melayu ketika itu secara
tidak langsung telah membawa sekali segala adat istiadat mereka.
Kaum Cina di Malaysia mempunyai beberapa
pegangan dalam menjalankan proses kehidupan mereka, seperti juga
lain-lain kaum, masyarakat Cina juga mempunyai adat tentang perkahwinan,
kematian, dan sebagainya. Apa yang menarik berkenaan adat kaum Cina
ialah suatu bentuk adat dan petua untuk kehidupan yang mereka namakan
“Feng Shui”, yang mana pengaruhnya masih menebal dalam kalangan mereka
pada hari ini. Lazimnya adat istiadat Cina dipengaruhi oleh unsur Buddha
yang menjadi pegangan kebanyakan ahli dalam masyarakat Cina. Falsafah
lampau juga banyak mempengaruhi adat istiadat Cina sehingga menyebabkan
mereka mempunyai pelbagai acara-acara dan pantang larang yang
berorientasikan adat.
Seperti juga masyarakat majoriti Melayu
dan Islam, masyarakat Cina juga mementingkan nasab keluarga dari sebelah
lelaki. Nama pangkal seseorang iaitu nama keluarga didalam masyarakat
Cina ialah nama keluarga disebelah lelaki. Sebagai contoh, nama Prof.
Dr. Teo Kok Seong dan Prof. Wang Gunwu, nama pangkal mereka iaitu Teo
dan Wang itu ialah nama warisan keluarga ayah mereka yakni nama keluarga
sebelah lelaki. Ini merupakan salah satu aspek adat yang menjadi amalan
masyarakat Cina. Kaum lelaki Cina juga seperti kebanyakan lelaki bangsa
lain, dilantik menjadi ketua keluarrga dan merupakan waris utama pusaka
keluarga.
Kepentingan meneruskan kesinambungan
keluarga didalam masyarakat Cina menyebabkan perkahwinan seorang lelaki
didalam keluarga adalah amat penting. Secara tradisi, perkahwinan
tersebut akan mengikuti beberapa upacara yang bermula dengan merisik
oleh seorang perantara hinggalah perkahwinan. Namun, pada zaman yang
lebih moden ini, hanya pendaftaran menurut undang-undang saja yang
diperlukan dan akan diadakan majlis keraian yang mewah di restoran.
Kelahiran anak mengikut adat dan pantang
larang Cina ialah sangat penting. Justeru kesihatan si ibu dan
kandunganya adalah amat dititik beratkan. Si ibu digalakkan tidur dan
makan dengan baik, membaca buku yang baik dan melihat benda-benda yang
cantik. Apabila anak itu dilahirkan, anak itu dibersihkan dan akan
dibedung. Pada hari ke 29 kelahiran, rambut si anak dicukur dan
rambutnya dibungkus dengan kain merah. Rambut itu akan digantung
berdekatan bantalnya selama 100 hari dan kemudian rambut itu dibuang ke
sungai. Anak itu diharap akan menjadi berani pada masa hayatnya. Setelah
sebulan kelahiran anak itu, upacara Bulan Penuh akan diadakan dengan
meriah. Ulang tahun kelahiran seseorang kaun Cina tidak akan
diperingati, kecuali diperingati oleh anaknya apabila seseorang itu
sudah tua dan ianya akan diadakan secara besar-besaran.
Kematian ibu bapa dalam masyarakat Cina
adalah upacara yang amat berharga dan mahal kosnya yang terpaksa
ditanggung oleh anak-anak. Keranda yang baik, tanah kuburan yang baik
dan pakaian kematian yang bagus pastinya memerlukan belanja besar. Bagi
masyarakat Cina inilah hadiah terbaik seorang anak kepada ibu bapanya.
Jika si anak tidak mampu, masyarakat sekeliling pasti akan membantu.
Anak lelaki yang tua memainkan peranan utama memastikan upacara mandi,
memberi makan, kafan dan bertanggungjawab memasukkan mayat ke dalam
keranda seperti yang dinasihatkan oleh seorang tukang tilik. Keranda
tersebut akan dijaga hingga beberapa hari tertentu untuk lawatan dan
sembahyang seterusnya akan dikebumikan pada satu hari yang ganjil.
Didalam masyarakat Cina, upacara
pengkebumian adalah acara yang amat meriah dengan dipenuhi dengan
peraturan dan adat tertentu. Selepas pengkebumian mayat, akan diadakan
pelbagai upacara lain terutama adat pembakaran colok dan alatan yang
diperbuat daripada kertas sebagai bekalan hidup si mati di alam akhirat.
Upacara ini biasanya akan diketuai oleh seorang Sami yang diamanahkan
oleh keluarga si mati. Oleh kerana adat kematian ini dianggap terlalu
penting dalam masyarakat Cina, banyak kepercayaan dan pantang larang
mesti diperhatikan dan dipatuhi apabila berlaku sesuatu kematian.
Sepanjang tahun dalam kehidupan
masyarakat Cina, banyak sekali perayaan yang diikuti dan diraikan oleh
orang Cina. Setiap bulan, pasti ada kegiatan dan upacara tertentu serta
dewanya yang berlainan untuk dipuja. Adat resam masyarakat Cina amat
banyak dan ianya akan diamalkan mengikut perubahan musim pertanian dan
negeri China.
Antara upacara-upacara yang diraikan
masyarakat Cina selain dari Tahun Baru Cina dan Chap Goh Meh ialah adat
Ulang Tahun Kematian, adat Puja Kampung, adat Mencuci Kubur, Sembahyang
Hajat dan Menjamu Keramat. Adat-adat ini tampak seumpama
perbuatan-perbuatan yang menjadi amalan masyarakat Melayu. Namun ianya
pastilah berbeza dan dijalankan dengan cara dan matlamat yang berbeza
bagi mewujudkan identiti masyarakat Cina yang tersendiri.
Seperti juga kaum Cina, kaum India juga
bukanlah penduduk asal Malaysia. Kemasukan masyarakat India ke Tanah
Melayu sudah berlaku sejak sekian lama. Samada kemasukan itu suatu
bentuk penghijrahan atau sekadar merantau untuk mencari rezeki,
hakikatnya kemasukan ini sudah berlaku sejak sekian lama. Apabila Melaka
muncul sebagai pusat perdagangan serantau menjelang abad ke
15,masyarakat India yang terdiri daripada golongan pedagang, sami Buddha
dan Hindu, tukang dan sebagainya tidak terlepas pandang untuk memasuki
Tanah Melayu dengan pelbagai kepentingan. Kemasukan mereka ini juga
sudah pasti membawa bentuk adat istiadat mereka yang tersendiri.
Masyarakat India biasanya mengikuti adat
resam yang berteraskan agama Hindu meskipun ramai orang India pada hari
ini beragama lain. Seperti kaum-kaum lain di Malaysia, mereka juga
mempunyai budaya berkunjung ke rumah rakan dan sanak saudara serta turut
bersedia menerima kunjungan dari jiran tetangga. Didalam masyarakat
India, jika kita ingin berkunjung kerumah tetamu, amatlah digalakkan
membawa buah tangan sebagai tanda terima kasih kepada tuan rumah. Mereka
juga biasanya melangkah kedalam rumah dengan kaki kanan dahulu.
Kaum India juga mengamalkan adat bertegur
sapa sesama sendiri. Mereka menyapa dengan sebutan ‘vanakam’ dan
sentiasa bertanyakan tentang kesihatan, kerja, perniagaan atau
sebagainya antara rakan dan sanak saudara mereka. Apabila tetamu
bertandang ke rumah mereka, tetamu sentiasa dijamu dengan minuman atau
makanan dan tetamu mesti sudi menerima hidangan dengan baik sebagai
tanda hormat kepada tuan rumah. Didalam masyarakat India juga, jika
menerima sesuatu, dimestikan menggunakan tangan kanan sebagai tanda
kebaikan dan kesyukuran.
Keluarga amat penting dalam masyarakat
India. Meskipun bapa memainkan peranan utama tetapi ibu adalah institusi
yang paling dihormati dan dianggap mulia, ‘Ibu adalah umpama Tuhan’ dan
anak perempuan juga dipanggil ‘amma’ seperti seorang ibu didalam
tradisi India. Oleh itu, penjagaan anak perempuan amat dititik beratkan
terutama ketika mereka masih dara.
Seorang suami pula didalam masyarakat
India adalah ‘Tuhan bagi isterinya’ dan mesti sentiasa dihormati. Oleh
kerana itu, proses perkahwinan India mesti ditentukan oleh seorang ketua
agama yang membuat tilikan masa bertuah serta keserasian pasangan yang
akan berkahwin. Masa perkahwinan yang dianggap bertuah amatlah penting
bagi menjalankan segala acara dan upacara untuk mengelakkan berlakunya
malapetaka ataupun nasib buruk. Untuk mengelakkan dari keadaan buruk,
maka biasanya perkahwinan dilakukan pada waktu tengah malam atau waktu
matahari akan naik. Upacara perkahwinan dilakukan di rumah pengantin
perempuan ataupun di kuil oleh seorang ketua agama. Pada satu kawasan
empat segi di kuil itu, sami akan menyalakan api dan menyembah Tuhan
untuk menyaksikan perkahwinan itu.
Seperti juga adat kaum-kaum lain,
kelahiran seorang bayi adalah acara yang penting kepada keluarga dan
masyarakat India. Semua saudara mara akan dimaklumkan apabila lahirnya
seorang bayi. Selama 16 hari selepas kelahiran bayi, ahli keluarga tidak
boleh melakukan sebarang upacara agama. Pada hari ke 16 kelahiran,
upacara penting diadakan untuk menamakan anak. Ketika ini rumah dan
buaian akan dihias cantik dan jiran-jiran dijemput bersama meraikan
upacara tersebut.
Dalam aspek pemberian nama anak, nama
seorang anak diperolehi dari almanak Hindu mengikuti bintang dan hari
kelahirannya. Seorang ketua agama akan dirujuk untuk mencari nama
bertuah mengikuti aksara bintangnya. Ketika menamakan itu, bayi dipangku
oleh orang tua satu persatu sambil dinyanyikan doa agama oleh kaum
wanita mereka.
Dari aspek perayaan, terdapat banyak
perayaan di kalangan masyarakat India. Di sepanjang tahun, mengikut
kalendar Hindu mereka akan mengadakan pelbagai upacara sembahyang
berkaitan musim dan perubahan tahun seperti di negeri India. Masyarakat
Hindu akan bersembahyang sebanyak tiga kali sehari iaitu pada waktu
pagi, tengahari dan petang di tempat tertentu di rumah. Mereka juga
pergi ke kuil untuk bersembahyang ataupun mengadakan upacara agama.
Perayaan kaum India diadakan dengan
mengikuti peredaran bulan dan setiap bulan ditandakan oleh bulan
mengembang dan bulan menirus. Terdapat 21 jenis perayaan didalam adat
masyarakat India. Perayaan-perayaan itu termasuklah Deepavali, Thaipusam
dan Thaiponggal.
Deepavali ialah ‘perayaan cahaya’ sebagai
tanda kejayaan ‘cahaya’ ke atas ‘gelap’ atau ‘ilmu’ ke atas ‘kejahilan’
ataupun ‘keadilan’ mengatasi ‘kezaliman’. Inilah perayaan paling utama
bagi masyarakat India. Pada hari ini sembahyang akan diadakan terutama
untuk mendoakan roh keluarga yang sudah meninggal dunia.
Thaipusam pula adalah perayaan bulan
“Thai” untuk membersihkan diri dengan menggunakan susu, madu dan bunga
di kuil dan membuat persembahan kepada Dewa Subramaniam. Pada masa
perayaan ini diadakan, ‘kavadi’ yang berisi buah-buahan, susu dan akan
dibawa pelbagai persembahan.
Thaiponggal pula merupakan perayaan
menuai dan ‘masak padi baru’ serta ‘memuja semangat padi’. Ia adalah
masa yang amat baik untuk mangadakan perkahwinan dan upacara lain. Rumah
akan dibersihkan dan dihiasi, ‘ponggal’ pula akan dimasak di dalam
periuk baru untuk dipersembahkan kepada Dewa Matahari dan juga
disedekahkan kepada jiran tetangga.
Melanjutkan perbicaraan terdahulu
berkaitan adat atau disebut juga budaya masyarakat-masyarakat utama
Malaysia, apa yang cuba digambarkan bukanlah bagaimana bentuk adat-adat
tradisi masyarakat di Malaysia semata-mata, tetapi kita berusaha untuk
melihat bagaimana setiap kaum itu mempunyai adat dan kepercayaanya yang
membentuk identiti dan keperibadian mereka yang tersendiri. Secara tidak
langsung juga didalam bahagian itu kita telah membicarakan kepentingan
adat kepada kaum-kaum tersebut. Walaupun tidak dinyatakan dengan jelas,
namun jika diteliti, kita pasti akan memahami akan kepentingan adat-adat
itu sekurang-kurangnya sebagai perlambangan identiti dan peribadi
masyarakat mereka.
Bercakap berkenaan identiti dan
keperibadian masyarakat. Kita sedia memaklumi bahawa di Malaysia, kita
tidak hanya mempunyai satu bangsa sahaja. Malaysia merupakan sebuah
negara yang bangsa-bangsa didalamnya adalah bercampur ataupun dalam
istilah yang lebih mudah, masyarakat yang majmuk. Justeru apa yang ingin
dijadikan topik disini ialah bagaimana kepelbagaian adat didalam
masyarakat Malaysia yang membentuk identiti masing-masing ini mampu
disatukan dan dijadikan sebagai cerminan peribadi dan identiti
kepelbagaian itu secara menyeluruh dan bersifat nasional. Maknanya kita
perlu membicarakan tentang bagaimana kepelbagaian adat di Malaysia itu
dapat disatukan dan dijadikan sebagai adat yang satu bagi menjadi
lambang identiti dan peribadi nasional. Perlu dibincangkan juga ialah
apakah aspek teras yang menjadi garis panduan budaya nasional ini.
Dalam mengungkap permasalahan ini, kita
sebenarnya hanya perlu mencari aspek adat yang menjadi teras kepada
pembentukan adat nasional yang menjadi perlambangan identiti dan
keperibadian seluruh rakyat Malaysia dan apakah kepentingan aspek adat
itu serta kepentingan identiti dan keperibadian kebangsaan itu sendiri.
Aspek adat yang menjadi teras kepada
pembentukan identiti nasional lebih mudah kita fahami melalui
pembentukan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang digubal pada 1971. Dasar
ini diputuskan melalui Kongres Kebudayaan Kebangsaan yang dirasmikan
oleh Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak dan ianya dihadiri oleh
wakil-wakil dari setiap kaum di Malaysia.
Melalui pembentukan ini, secara rasmi
telah digariskan beberapa perkara yang menjadi teras kepada pembentukan
identiti dan keperibadian seluruh rakyat Malaysia. Justeru melalui
kewujudan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang memang digagaskan bagi maksud
itu, kita akan dapat mengungkap aspek adat yang menjadi teras kepada
pembentukan identiti nasional yang menjadi fokus tulisan ini.
Antara aspek teras dalam pembentukan
identiti dan peribadi nasional ialah identiti dan kepribadian Malaysia
haruslah berteraskan adat asal rantau ini. Definisi geografi berkaitan
‘rantau ini’ ialah kawasan yang merangkumi Malaysia, Indonesia,
Filipina, Singapura, Brunei, Thailand, Kampuchea serta Kepulauan Selatan
Pasifik iaitu Polynesia, Melanesia, Oceania sehingga ke Madagascar.
Rantau ini adalah merupakan bahagian utama dari kawasan tamadun atau
budaya Melayu. Rantau ini merupakan pusat pemancaran, pengembangan
warisan adat masyarakat Melayu sejak zaman berzaman dan ditandai pula
oleh kegemilangan dan keagungan tamadun Melayu yang berpusat di Melaka
yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan antarabangsa
yang juga dipanggil sebagai linguafranca.
Adat serantau ini juga digambarkan
melalui persamaan-persamaan di bidang bahasa yang berasaskan keluarga
bahasa Melayu iaitu Austronesia, kedudukan geografi, pengalaman sejarah,
kekayaan alam, kesenian dan nilai-nilai keperibadiannya. Justeru dalam
aspek Malaysia, secara mudahnya, aspek adat yang menjadi teras kepada
pembentukan identiti nasional ialah adat masyarakat Melayu.
Hal ini tidak dapat dipertikaikan oleh
masyarakat lain kerana adat atau budaya Melayu pada hari ini merupakan
cara hidup, lambang identiti dan asas ukuran keperibadian kepada lebih
200 juta umat manusia yang menuturkan satu rumpun bahasa yang sama. Maka
apabila dipersetujui adat masyarakat asal serantau dijadikan identiti
Malaysia, pastilah di Malaysia, adat Melayu yang paling layak diletakkan
didalam kategori itu. Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim sendiri,
walaupun berbangsa Cina, turut mengakui bahawa masyarakat Melayu ialah
nuklius ataupun teras dalam masyarakat Malaysia. Justeru adat Melayu
dijadikan teras identiti semua kaum di Malaysia adalah sangat berpatutan
ataupun dalam istilah arab dipanggil adil.
Aspek teras pembentukan identiti yang
kedua ialah menggunakan unsur-unsur adat dan kebudayaan luar yang sesuai
dan wajar untuk diterima sebagai identiti Malaysia. Aspek ini
bertepatan dengan situasi penduduk berbilang kaum yang mewarisi pelbagai
adat dan budaya. Dengan itu unsur-unsur adat Cina, India, Kadazandusun,
Arab, Barat dan lain-lain unsur adat yang sesuai, boleh diberi
pertimbangan untuk diterima dan dijadikan sebagai identiti kebangsaan.
Kesesuaian penerimaan dalam penyerapan
ini adalah bergantung kepada kerelevenannya yang pasti tidak boleh
bercanggah dengan Perlembagaan, prinsip-prinsip Rukun Negara,
kepentingan nasional, asas-asas moral serta kerohanian sejagat pada
amnya dan pada Islam sebagai agama rasmi negara khasnya.
Dalam penerimaan teras kedua ini, kita
melihat berlaku tolak ansur sesama kaum di Malaysia dalam soal
pembentukkan keperibadian dan identiti kebangsaan. Bukan sahaja identiti
Melayu diangkat sebagai identiti kebangsaan, tetapi juga identiti
kaum-kaum lain di Malaysia. Ia juga diterima kerana terdapat unsur-unsur
adat yang sama dan seiring dengan adat teras iaitu adat dan kebudayaan
Melayu.
Namun, hal ini juga tidak boleh dijadikan
isu samada identiti kebangsaan itu orientasinya adalah daripada warisan
adat kaum yang mana. Ini kerana pembentukkan identiti dan keperibadian
kebangsaan itu bukanlah bertujuan untuk mempromosikan adat masing-masing
untuk digunakan oleh semua rakyat Malaysia, sebaliknya ia jelas
berperanan untuk menyeragamkan identiti masyarakat yang pelbagai untuk
dijadikan identiti Malaysia yang satu. Namun identiti bangsa juga masih
boleh dikekalkan dan dipelihara kelangsunganya.
Aspek ketiga yang menjadi teras kepada
pembentukkan keperibadian dan identiti kebangsaan ialah agama Islam.
Agama atau kepercayaan kepada Tuhan merupakan unsur penting didalam
proses pembangunan dan perpaduan negara. Agama juga perlu bagi
merealisasikan pembentukan rakyat yang berakhlak dan berperibadi mulia.
Agama Islam memberi panduan kepada
manusia dalam mengimbang dan memadukan usaha bagi mengisi
kehendak-kehendak emosi dan fizikal. Kerana itu ia patut dijadikan unsur
yang penting dalam pembentukan identiti kebangsaan. Ini juga
memandangkan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara. Di samping itu,
telah wujudnya fakta sejarah dan nilai-nilai Islam yang telah sedia
didukung oleh sebahagian besar rakyat rantau ini sejak dahulu lagi.
Bercakap pula tentang kepentingan
aspek-aspek adat yang dijadikan teras kepada pembentukan identiti dan
keperibadian kebangsaan, aspek teras yang disenaraikan seperti adat
masyarakat rantau ini, adat luar yang sesuai dan adat yang berpandukan
Islam pasti mempunyai kepentingannya yang tertentu.
Yang pertama, kepentingan adat Melayu
dijadikan sebagai teras dalam pembentukan identiti nasional ialah untuk
memastikan kestabilan sosial dan politik di Malaysia terus terpelihara.
Harus kita fahami apabila kita bercakap berkenaan Malaysia, majoriti
penduduknya ialah orang Melayu. Kerana orang Melayu ialah majoriti
didalam masyarakat Malaysia, adalah penting untuk menjadikan adat kaum
yang majoriti sebagai ikutan kepada kaum-kaum lain yang lebih kecil
populasinya. Ini bagi memastikan tidak berlaku pertikaian kepada
masyarakat lain di Malaysia khususnya kepada masyarakat Melayu sendiri
sebagai entiti yang terbesar dan bertaraf peribumi di Malaysia.
Kedudukan masyarakat Melayu yang dianggap nuklius didalam sistem sosial
di Malaysia juga merupakan kepentingan yang perlu diambil berat sesuai
dengan kedudukan istimewanya yang dijamin Perlembagaan.
Kedudukan Raja-Raja, Yang Dipertua Negeri
dan Yang Dipertuan Agong juga merupakan aspek yang penting untuk
menjadikan adat Melayu sebagai pemangkin identiti nasional. Raja-Raja
dan Yang Dipertuan Agong merupakan tuan kepada negeri-negeri dan negara
Malaysia sendiri. Mereka juga merupakan orang Melayu. Kedudukan mereka
yang menjadi lambang perpaduan negara ini menyebabkan adat istiadat
mereka iaitu adat istiadat Melayu diterima sebagai suatu unsur teras
dalam melaksanakan identiti Malaysia secara bersama. Justeru untuk
memastikan Institusi Raja-Raja Melayu terus dilindungi dan dihormati,
maka dalam usaha untuk membentuk identiti dan peribadi kebangsaan, adat
Melayu tidak boleh dikesampingkan.
Kita juga harus melihat kepentingan untuk
menerima mana-mana unsur adat dan budaya luar untuk dijadikan adat dan
budaya kebangsaan. Walaupun telah dipersetujui bahawa adat Melayu
merupakan adat teras yang dijadikan ikutan setiap rakyat Malaysia, namun
ketetapan itu tidak bermaksud hanya itu sahaja adat yang akan diterima
kearah pembentukan identiti yang seragam dalam masyarakat Malaysia. Adat
dan budaya kaum lain yang sesuai juga dapat dipraktikkan asalkan ianya
tidak bertentangan dengan semangat Perlembagaan dan Rukun Negara. Ini
bagi memastikan tiada suara-suara yang mempertikaikan tindakan kerajaan
yang menggariskan unsur-unsur penting kearah membentuk budaya
kebangsaan. Pendek kata, penerimaan unsur-unsur asing ini ialah supaya
keharmonian kaum di Malaysia akan terus berlangsung dengan jayanya.
Unsur-unsur adat dan budaya luar juga
penting untuk dijadikan adat dan budaya kebangsaan kerana bagi
menghasilkan budaya kebangsaan yang tidak terlalu stereotaip dengan adat
dan budaya Melayu, adat lain juga perlu disenaraikan. Budaya kebangsaan
diwujudkan untuk menunjukkan peribadi dan identiti masyarakat Malaysia
yang pelbagai, bukan hanya untuk melambangkan budaya dan adat Melayu
semata-mata. Dengan adanya unsur-unsur yang diluar daripada adat dan
budaya Melayu yang sesuai, maka akan terhasil suatu modul identiti
masyarakat yang pelbagai dan bersifat luwes.
Unsur Islam yang dijadikan teras
kebudayaan kebangsaan juga penting bagi menjamin kedudukannya yang
merupakan agama rasmi Malaysia. Islam tidak boleh dan tidak dapat
disamakan dengan agama-agama lain kerana ia merupakan agama yang
sebenar. Maka dalam usaha menerapkan identiti kebangsaan, Islam tidak
boleh dikesampingkan. Selain kerana kedudukan Islam sebagai agama rasmi,
ia juga penting kerana Islam merupakan tunjang kepada kehidupan
masyarakat Melayu iaitu masyarakat peribumi dan majoriti di Malaysia.
Walaupun identiti dan peribadi kebangsaan adalah berteraskan Islam,
namun agama-agama lain bebas untuk dilaksanakan dengan syarat amalan
agama-agama lain tidak akan menggugat kedudukan agama Islam sebagai
agama utama di Malaysia.
Masyarakat Malaysia sudah mempunyai adat
yang tersendiri, tetapi kenapa kerajaan masih berkehendak supaya
diwujudkan suatu adat dan budaya baru bagi mencerminkan identiti dan
keperibadian Malaysia yang seragam? Adakah dengan budaya dan adat
kaum-kaum yang sedia ada di Malaysia tidak cukup untuk mencerminkan
identiti negara?
Bagi mewujudkan identiti yang seragam
seiring dengan kesanggupan pelbagai kaum untuk hidup bersama di
Malaysia, tidak dapat tidak, penyeragaman identiti dan keperibadian
kebangsaan ini perlu dilakukan. Antara kepentingan masyarakat Malaysia
disatukan melalui adat dan budaya kebangsaan ialah untuk melahirkan satu
cara hidup masyarakat Malaysia yang mempunyai pelbagai bangsa, agama,
budaya dan bahasa pertuturan tetapi dapat hidup berdampingan, berganding
bahu, bertimbang rasa dan penuh dengan sikap toleran. Penyeragaman
identiti dan keperibadian berbagai-bagai etnik adalah perlu untuk rakyat
Malaysia hidup bersatu padu dan aman daripada persengketaan serta
kucar-kacir. Dalam erti kata yang lain, identiti dan keperibadian yang
seragam ini akan membolehkan perpaduan nasional berlangsung dengan lebih
utuh lagi.
Identiti dan kepribadian kebangsaan juga
berkepentingan untuk menghindarkan masyarakat dari me1akukan
perkara-perkara yang menyalahi norma-norma dan garis panduan dalam
kehidupan bermasyarakat. Budaya kebangsaan ini penting ke arah
melahirkan satu negara bangsa Malaysia yang maju, progresif, saintifik
dan bersatu padu tanpa ada unsur-unsur negatif dalam kehidupan seharian
sesama sendiri. Tiga etnik terbesar iaitu Melayu, Cina dan India yang
mengamalkan kebudayaan, adat resarn, agarna dan bahasa masing-masing
diharap akan dapat bersatu melalui usaha bersama yang murni ini.
Kebudayaan dan adat ahli masyarakat
Malaysia walaupun berbeza, namun mempunyai asas yang sama iaitu
membentuk keperibadian dan jati diri individu ke arah yang lebih baik.
Melalui usaha membentuk identiti dan keperibadian kebangsaan, ia
membolehkan masyarakat negara kita berinteraksi dengan lebih baik di
antara satu sama dalam melaksanakan matlamat yang sama iaitu untuk
membentuk masyarakat Malaysia yang bepegang teguh dengan ajaran agama
masing-masing dan mementingkan nilai-nilai murni yang diajar didalarn
agama mereka. Interaksi antara kaum ini penting untuk menghindari
masyarakat daripada melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat dan
menyalahi norma-norma kehidupan. Interaksi antara kaum yang baik juga
adalah merupakan satu jalan kearah perpaduan nasional dan mencetuskan
masyarakat yang harmonis dan bersatu padu.
Budaya yang seragam bagi rakyat Malaysia
juga penting bagi memastikan perancangan dan tindakan kerajaan untuk
menerap serta menanam nilai-nilai murni ke dalam akal fikiran, hati budi
serta perilaku masyarakat Malaysia di pelbagai lapisan masyarakat dapat
direalisasikan. Amalan budi bahasa dan nilai-nilai murni yang merupakan
perkara penting dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan seharusnya ditegaskan
sebagai sebahagian dari proses pembangunan identiti untuk mencapai
tahap keutuhan peribadi dan perilaku yang mulia dan berbudi bahasa. Maka
identiti dan keperibadian kebangsaan ini diharap akan meneguhkan
kembali kekuatan peribadi dan jati diri masyarakat.
Segala tindakan idealisme kebangsaan ini
juga adalah suatu usaha untuk membina bangsa Malaysia melalui semangat
Rukunegara. Perisytiharan Rukunegara dengan jelas meletakkan negara di
atas cita-cita perpaduan, kehidupan demokratik, keadilan, tradisi budaya
serta masyarakat progresif. Oleh itu, budaya dan identiti seragam ini
penting untuk memastikan cita-cita tersebut dapat direalisasikan dengan
jayanya.
Berbagai usaha telah dijalankan bagi
mencapai matlamat untuk mewujudkan identiti dan keperibadian kebangsaan.
Secara umumnya pencapaian matlamat dan objektif hasrat ini telah
menunjukkan kejayaan yang boleh dibanggakan. Perlu diingat bahawa
didalam pembentukan dan pewujudan satu kebudayaan kebangsaan, proses
penyerapan dan penerimaannya akan mengambil masa yang lama dan mungkin
melangkaui satu generasi ke satu generasi yang lain.
Penggubalan dan pelaksanaan dasar ini,
meskipun masih lagi baru usianya namun pembentukan identiti nasional dan
perpaduan kaum dan nilai murni Islam telah pun dilaksanakan. Adalah
didapati bahawa pencapaian ke arah ini telahpun jelas kelihatan semenjak
ia mula diterapkan. Identiti kewarganegaraan dan adat Malaysia pada
hari ini boleh didapati didalam perayaan-perayaan antarabangsa dan juga
di dalam kegiatan seni sukan dan perayaan pelbagai kaum di Malaysia sama
ada secara rasmi atau tidak rasmi.
Secara ringkas bolehlah dikatakan aspek
adat yang menjadi teras identiti dan keperibadian negara Malaysia telah
dapat diterima dan diikuti secara beransur-ansur oleh setiap golongan
rakyat Malaysia. Namun demikian pelaksanaannya pasti rumit dan tidak
akan dapat dicapai dalam masa yang singkat. Kesedaran dan kefahaman yang
luas akan dapat membantu mencapai hasrat dan cita-cita pelaksanaan ini
kerana dengan keinsafan itu sahaja adat yang membentuk identiti dan
keperibadian kebangsaan akan dapat dibezakan dengan adat yang bersifat
kesukuan atau perkauman. Identiti dan keperibadian yang dipupuk itu akan
mencirikan sifat-sifat persamaan yang melampaui batas-batas suku kaum
dan akan memperlihatkan keperibadian kebangsaan Malaysia itu sendiri
sebagai sebuah negara yang merdeka dan bermaruah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan