Rasulullah saw bersabda bermaksud:
“Apabila Allah menurunkan azab keatas dunia untuk satu-satu kaum, maka azab itu akan menimpa ke atas mereka yang berada sama dalam masyarakat kaum itu, kemudian apabila mereka dibangkitkan di akhirat nanti maka kedudukan mereka adalah mengikut taraf keimanan serta amal kebajikan yang mereka lakukan di dunia ini”. (Hadis Riwayat: Al Bukhari).
Hadis
di atas bermaksud apabila Allah mahu menurunkan bala atau bencana ke
atas satu-satu kaum di dunia ini kerana ada di kalangan kaum
itu melakukan kejahatan atau maksiat, maka azab yang diturunkan itu
menimpa ke atas kaum yang beriman dan juga kepada mereka yang
kufur.
Tetapi apabila
mereka berada di hari Akhirat nanti, mereka akan ditempatkan ditempat
yang sesuai dengan kedudukan mereka mengikut keimanan dan
amal kebajikan yang mereka lakukan di dunia ini.
Allah
yang Maha Berkuasa, melakukan sesuatu mengikut kehendak-Nya
tanpa mengira sesiapa. Allah melakukan itu dengan kehendak dan
kekuasaan-Nya. Dialah yang menjadikan segala-galanya dan Dialah yang
menjadikan siang dan malam, panas, sejuk, ribut dan sebagainya. Di
samping itu, Allah menurunkan rahmat dan Dia juga menurunkan bala
kepada mereka yang dikehendakiNya.
Sesungguhnya,
Allah itu bersifat pemurah kepada sekalian makhluk termasuk jin
dan manusia, sama ada makhluk itu beriman kepada-Nya atau makhluk itu
kufur kepada-Nya. Allah memberi banyak nikmat kepada hamba-Nya
di dunia ini sama ada nikmat yang mereka rasakan itu telah diusahakan
ataupun tidak. Akan tetapi pada hari Akhirat nanti Allah tidak
akan memberikan nikmat kepada hamba-Nya yang kufur,
sebaliknya memberikan nikmat kepada mereka yang beriman saja.
Namun
begitu Allah menurunkan nikmat atau bala secara khusus
kepada hamba-Nya di dunia ini disebabkan kezaliman mereka atau
kerana keingkaran mereka. Di samping itu, Allah telah menurunkan
bala atau bencana secara umum ke atas satu-satu kaum disebabkan
ada dalam masyarakat kaum itu melakukan kemaksiatan dan kemungkaran.
Dengan
demikian, apabila Allah murka kepada sebahagian daripada kaum
itu kerana kejahatan yang dilakukan oleh mereka, maka Ia menurunkan bala
dan bencana ke atas kaum itu secara umum tanpa memilih sama ada
mereka itu terdiri dari dari orang kafir atau pun dari mereka yang
beriman.
Sungguhpun
begitu, setiap mereka yang beriman telah dijanjikan dengan nikmat
syurga manakala bagi mereka yang kafir telah dijanjikan dengan balasan
neraka di akhirat kelak.
Kita
sebagai umat Nabi Muhammad SAW sungguh bernasib baik kerana
Allah tidak memberi hukuman yang sewajarnya kepada hamba-Nya yang
melakukan maksiat di dunia ini sekalipun seseorang itu telah melakukan
dosa yang besar.
Balasan
yang diberi kepada mereka di dunia ini hanya kecil saja. Ia boleh
dianggap sebagai pengajaran serta menjadi teladan kepada mereka yang
hidup di dunia ini supaya insaf dan berhenti daripada
melakukan sebarang kemungkaran.
Sebaliknya
balasan yang wajar diberikan kepada mereka yang bersalah itu adalah
di akhirat kelak sekiranya mereka mati belum sempat
untuk bertaubat.
Dengan
demikian, kita sebagai umat Muhammad patut bersyukur kepada
Allah kerana Ia telah memberikan taufik hidayah kepada kita di mana kita
dapat beriman kepada-Nya serta berpegang dengan agama-Nya.
Pada
masa dulu, sebelum adanya syariat Nabi Muhammad SAW
seperti berlakunya ke atas nabi terdahulu seperti nabi Nuh, Ibrahim,
Musa, Isa dan lain-lain yang mana pada zaman itu, jika ada mereka
yang tidak beriman atau mereka yang melakukan perbuatan mungkar dan
apabila mereka diberi amaran supaya mematuhi suruhan dari Allah
tetapi mereka masih
lagi enggan, Allah menurunkan ke atas mereka dengan azab yang sungguh dahsyat bagi membinasakan kaum itu.
Bala
atau bencana yang diturunkan itu bermacam-macam rupa seperti
yang berlaku ke atau kaum Nabi Nuh yang berupa banjir yang sangat besar.
Hal
sama juga berlaku kepada umat Nabi Musa yang mana kaum
Firaun tenggelam dalam sungai Nil. Bala yang menimpa Nabi Lut pula
berlaku dimana bumi mereka diterbalikkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan