Selasa, 20 Disember 2011

CERITA TARIAN MENORA.

Cerita asal-usul Tarian Menora dari Guru Menora di Songkhla.

Suatu ketika dahulu terdapat sebuah negeri di Thailand. Rajanya bernama Raja Saifafat (Phaya Saifafat) dan isterinya bernama Nang Sri Dok Mai dan mempunyai seorang Puteri bernama Nang Nuan Samli @ Mea Sri Nuan. Puteri Nang Nuan Samli ada 4 orang kakak angkat (pelayan istana) bernama Mea Khen Oon, Mea Phau, Mea Maukhlen dan Mea Jot Thorng.
 

Setelah Puteri Nang Nuam Samli dewasa maka Phra In telah menghantar seorang dewa untuk lahir di dunia ini melalui Puteri Nang Nuam Samli. Setelah puteri tersebut mengandung tanpa bapa maka mengakibatkan Raja Saifafat murka lalu menghalau puteri Nang Nuam Samli keluar dari istana. Puteri Nang Nuan Samli dihanyut dengan rakit bersama 4 orang kakak angkatnya. Rakit tersebut telah dipukul ombak dan hanyut sampai ke sebuah pulau namanya Pulau Kachang.

Tuan puteri pun memulakan kehidupan barunya di Pulau Kachang bersama 4 orang kakak angkatnya. Tuan Puteri telah melahirkan anak lelaki bernama Putera Achittak Kumar. Setelah Putera Achittak Kumar dewasa, beliau telah belajar menari dan mencipta tarian Menora secara bersendirian di tepi sungai supaya dapat melihat bayang beliau semasa menari di dalam air.

Setelah pandai menari beliau telah memohon kebenaran emaknya untuk keluar dari Pulau Kachang untuk mengadakan pertunjukan tarian Menora di merata-rata kampung. Kemahiran beliau menari menjadi bual-bualan orang ramai tentang keunikan tariannya yg menarik minat orang menonton.

Peristiwa kehebatan tarian Menora tersebut telah sampai ke pengetahuan Raja Saifafat. Lalu baginda memerintah segala panglimanya untuk menjemput Putera Achittak Kumar membuat persembahan di istana. Selepas Putera Achittak Kumar membuat persembahan maka raja amat tertarik dengan tarian Menora tersebut lalu baginda memanggil Putera Achittak Kumar mengadap. Baginda pun mula menyoal asal-usul keturunan Putera Achittak Kumar, lalu baginda mendapat tahu bahawa Putera Achittak Kumar sebenarnya cucu baginda sendiri. Maka baginda pun mengurniakan nama baru kepada Putera Achittak Kumar dengan nama KHUNSRISATTHA bersama sepasang persalinan lengkap pakaian Diraja dan digunakan sebagai pakaian menora sehingga sekarang.

Baginda juga telah menjemput Puteri Nang Nuam Samli pulang ke istana. Sebelum masuk ke istana, Puteri Nang Nuan Samli perlu melalui upacara pembersihan selama 3 hari 2 malam (Rabu, Khamis dan Jumaat) di pintu istana. Upacara tersebut telah diamalkan sehingga sekarang semasa memulakan permainan menora.

KHUNSRISATTHA juga telah melatih para pembesar dan dayang-dayang di istana dengan tarian menora sehingga berkembang luas dan diwarisi dari turun temurun hingga ke hari ini.

Ini ada salah satu cerita daripada salah seorang guru tarian Menora di Songkhla. Saya terjemah daripada Tesis yg dibuat oleh Encik Sarot Naakkhawirot, Pensyarah di Universiti Perguruan, Songkhla lebih kurang 20 tahun yg lepas. Ada 2 lagi cerita dari guru Menora di Batthalung. Saya akan terjemah kemudian, ceritanya hampir sama tetapi ada sedikit perbezaan.
 

Asal usul Menora 2

Hasil temuramah guru Menora bernama Khun Upatham Narakorn atau En. Phum Thewa oleh En. Sarot Nakhavirod di Universiti Perguruan Songkhla, Thailand pada 16.10.1977.

Ada sebuah negeri diperintah oleh Raja Saifafat dan isterinya bernama Nang Sri Mala. Mereka mempunyai seorang puteri bernama Nang Nuan Thong Samli. Pada suatu malam, Puteri Nang Nuan Thong Samli bermimpi ada dewa datang mengajar cara-cara menari dan menjelma (Niramit) peralatan muzik untuk Tuan Puteri lihat. Bersama-sama dengan cara memainkan alat-alat muzik tersebut dan cara-cara menari tarian menora.

Bila Tuan Puteri sedar dari mimpi, Tuan Puteri dapat ingat semua butir-butir dalam mimpi dan berminat dengan tarian tersebut. Lalu Tuan Puteri mengarah pembesar istana untuk menyediakan alat-alat muzik seperti dalam mimpi dan cuba untuk memainkan alat muzik tersebut mengikut apa yang Tuan Puteri mimpi. Setelah berjaya memainkan alat muzik tersebut maka Tuan Puteri cuba pula untuk menari ikut rentak dalam mimpi. Akhirnya Tuan Puteri berjaya menari dengan baik sekali sehingga dipuji oleh dayang-dayang dalam istana. Maka mereka pun mulalah berlatih beramai-ramai di dalam istana.

Pada suatu hari, tuan puteri ingin makan biji teratai lalu arah para dayang sediakan untuk tuan puteri. Selepas tuan puteri makan biji teratai maka tuan puteri pun mengandung. Setelah peristiwa tuan puteri mengandung sampai ke pengetahuan Raja Saifafat. Maka baginda memanggil dayang untuk soal siasat dan tanya tuan puteri mengandung dengan siapa. Tetapi mereka tidak dapat memberi jawapan kepada raja menyebabkan raja murka. Raja mengarahkan para pembesar menangkap tuan puteri bersama-sama dayang-dayang dan dihanyutkan dengan rakit.

Rakit tersebut dipukul ombak sehingga sampai ke sebuah pulau namanya Pulau Kachang. Para Dewa telah menjelmakan sebuah pondok untuk tuan puteri itu tinggal dalam pulau tersebut bersama-sama dengan dayang-dayang. Tuan puteri telah melahirkan seorang anak lelaki dan diberi nama Kumar Noi (Putera kecil). Setelah Putera Kumar Noi berusia 9 tahun, Tuan Puteri telah mengajar anaknya menari sehingga cekap.

Setelah Putera Kumar Noi menjadi dewasa dan berasa pelik kenapa pulau ini tiada penghuni lelaki. Kebanyakkannya perempuan. Bondanya pun ceritalah tentang latar belakang kejadian yang menimpa mereka sehingga sampai ke pulau tersebut. Setelah Putera Kumar Noi dapat tahu hal sebenar lalu memohon kebenaran daripada bondanya untuk keluar dari pulau dengan menumpang kapal yang lalu untuk mencari datuknya.

Setelah sampai di tanah besar, beliau telah mengadakan pertunjukkan di merata-rata tempat sehingga berjumpa dengan seorang pemburu bernama “Phran Boon”. Akhirnya mereka berdua merantau bersama sehingga sampai ke negeri yang diperintah oleh Raja Saifafat.

Rakyat negeri itu jadi heboh dan pakat-pakat datang menonton persembahan tarian Menora oleh Putera Kumar Noi dengan kepakarannya menari dengan cantik dan unik sekali. Termasuk para pembesar istana yang ponteng dari tugas untuk datang menonton persembahan tarian Menora Putera Kumar Noi.

Pada suatu hari Raja Saifafat mengadakan mesyuarat di kalangan para pembesar istana. Tetapi jumlah para pembesar yang hadir ke mesyuarat agak kurang, maka baginda berasa hairan. Baginda pun menyiasat kenapa para pembesar tidak menghadiri mesyuarat. Baginda dimaklumkan bahawa ramai para pembesar istana ponteng dan pergi menonton persembahan tarian menora. Baginda pun ingin tahu tentang keunikan tarian menora. Baginda mengarah para pembesar untuk menjemput Putera Kumar Noi membuat persembahan tarian menora di istana. Persembahan tarian menora oleh Putera Kumar Noi telah menyebabkan Raja sangat gembira.

Oleh kerana wajah Putera Kumar Noi mirip dengan Puteri Nang Nuan Thong Samli, baginda rasa sangsi. Baginda memanggil Putera Kumar Noi masuk mengadap dan bertanya tentang asal keturunannya. Akhirnya baginda dapat tahu bahawa Putera Kumar Noi merupakan cucunya sendiri. Baginda telah mengurniakan gelaran baru kepada Putera Kumar Noi dengan gelaran Khun Sattha bersama-sama dengan satu persalinan Diraja yang dijadikan pakaian menora sehingga hari ini.

Baginda juga tanya tentang khabar Puteri Nang Nuan Thong Samli dan dapat tahu bahawa puteri baginda masih hidup dan tinggal di Pulau Kachang. Baginda mengarah para pembesar untuk menjemput Puteri Nang Nuan Thong Samli pulang ke istana. Para pembesar pun menjalankan tugas seperti yang diarahkan oleh raja. Tetapi Puteri Nang Nuan Thong Samli tidak mahu pulang ke istana kerana merajuk dengan bapanya. Raja Saifafat dapat tahu lalu murka dan mengarah para pembesar untuk menjemput Puteri Nang Nuan Thong Samli sekali lagi. Sekiranya puteri tak mahu pulang, diarah pembesar untuk menangkap. Semasa Puteri berada di atas pulau nampak angkatan pembesar istana datang, puteri rasa takut lalu lari naik ke puncak bukit di pulau tersebut.

Para pembesar pun mulalah mengejar dan menangkap Puteri Nang Nuan Thong Samli. Peristiwa kejar-mengejar ini adalah asal-usul salah satu rentak tarian Menora yang diberi nama Tarian Khlong Hong (rentak tarian tangkap garuda).

Setelah berjaya ditangkap, tuan puteri di bawa pulang ke istana dengan kapal. Semasa kapal hampir dengan tambatan, terdapat seekor buaya timbul menghalang kapal. Maka para pembesar pun menikam buaya itu sampai mati. Peristiwa tikam buaya ini merupakan asal-usul salah satu rentak tarian menora yang diberi nama Tarian Theng Khe (rentak tarian tikam buaya).

Ini merupakan asal-usul kedua tarian menora yang diterjemahkan daripada tesis En. Sarot Nakhavirod, Universiti Perguruan Songkhla, Thailand.

Diterjemahkan oleh
Manit See Nam
31.7.2008
 

Asal-usul Menora 3

Asal-usul Menora ini diceritakan oleh Menora Khren Suriyachan (En. Khren Suriyachan). Ditemuramah oleh En. Sarot Nakhavirod, Pensyarah Universiti Perguruan Songkhla di No. 9, Lorong 6, Mukim Napakho, Daerah Khaochaison, Wilayah Patthalung, Thailand pada 12.3.1991.

Lebih kurang 1,000 tahun dahulu, negeri Patthalung terletak di Bang Keaw (Mukim Bang Keaw Daerah Khaochaison) terdapat seorang raja bernama Thau Kosin atau Raja Saifafat. Isterinya bernama Nang Indrani atau Sri Mala. Puteranya bernama Thepsingkhorn dan puterinya bernama Nang Nuam Thong Samli atau Sri Khongkha. Raja Saifafat mahu putera dan puteri baginda belajar tentang seni tarian lalu mencari guru yang mahir iaitu Luang Nai Khongkho, Luang Nai Thong Kan Darn, Luang Nai Chom dan Luang Nai Chit. Semua guru-guru tersebut digelar Rajchakhru dipertanggungjawab untuk mengajar Putera Thepsingkhorn dan Puteri Nang Nuam Thong Samli dengan seni tarian termasuk dayang-dayang Puteri Nang Nuam Thong Samli.

Tidak lama kemudian Puteri Nang Nuam Thong Samli terlanjur dengan Putera Thepsingkhorn sehingga mengandung. Setelah perkara ini diketahui Raja Saifafat maka baginda marah dan mengarah askar menangkap Putera Thepsingkhorn dan Puteri Nang Nuam Thong Samli termasuk dayang-dayang dihanyutkan dengan rakit keluar dari istana (buang negeri). Sementara Rajchakhru 4 orang yang telah terlanjur dengan para dayang-dayang kepada Puteri Nang Nuam Thong Samli ditangkap dan dihukum bunuh dengan diikat dan dibuang ke dalam sungai.

Sementara Putera Thepsingkhorn dan Puteri Nang Nuam Thong Samli bersama-sama para dayang telah dihanyutkan dengan rakit sampai di sebuah pulau bernama Pulau Kachang setelah dipukul ombak kuat. Mereka telah membina kehidupan baru di pulau tersebut sehingga Puteri Nang Nuam Thong Samli melahirkan seorang putera bernama Kachau. Dalam masa yang sama, dayang yang telah terlanjur sehingga mengandung dengan Luang Nai Khongkho juga melahirkan seorang anak lelaki bernama Chan Krak Ya Phom Mho.

Setelah Putera Kachau meningkat dewasa, beliau telah diajar seni tarian daripada ibubapa mereka. Setelah mendapat tahu bahawa beliau mempunyai seorang datuk sebagai raja di sebuah negeri, Putera Kachau telah mengajak Chan Krak Ya Phom Mho keluar dari pulau untuk membuat persembahan tarian dan disamping itu untuk mencari datuknya.

Setelah Raja Saifafat mendapat berita lalu memerintah supaya Putera Kachau mengadakan persembahan tarian di istana. Raja Saifafat tertarik dengan tarian yang dipersembahkan oleh Putera Kachau. Setelah baginda mendapat tahu bahawa putera Kachau sebenarnya cucu baginda sendiri maka baginda telah mengurniakan sepasang pakaian Diraja untuk dijadikan pakaian tarian yang dikenali “Khreng Ton”.

Selain daripada itu, putera Kachau juga memaklumkan kepada datuknya tentang kesengsaraan yang dialami oleh ibubapanya yang tinggal di Pulau Kachang. Maka Raja Saifafat mengarah para pembesar untuk menjemput putera dan puterinya balik ke istana tetapi Putera Thepsingkorn dan Puteri Nang Nuam Thong Samli enggan pulang ke istana. Sehingga menyebabkan Raja Saifafat marah dan mengarah para pembesar sekali lagi pergi menjemput sekiranya tak balik maka diarah tangkap kedua-duanya dan dibawa pulang.

Setelah dijemput bagi kali kedua dan masih lagi tak mahu pulang maka para pembesar pun mengejar dan menangkap Putera Thepsingkorn dan Puteri Nang Nuam Thong Samli. Aksi kejar-mengejar merupakan asal-usul rentak “Tarian Klong Hong” atau “Tarian Tangkap Garuda” salah satu rentak tarian Menora. Setelah para pembesar berjaya menangkap kedua-dua orang putera dan puteri maka mereka dibawa pulang ke istana. Setelah kapal tersebut hampir sampai ke tambatan maka terdapat seekor buaya menghalang. Para pembesar pun berusaha membunuh buaya tersebut hingga mati. Aksi membunuh buaya merupakan asal-usul rentak “Tarian Theng Khe” atau “Tarian Tikam Buaya”.

Hasil daripada 3 cerita asal usul Menora di atas dapat disimpulkan bahawa:
1. Pengasas Menora ialah Khunsattha.
2. Menora wujud di istana dan kemudian diperturunkan kepada orang-orang kampong.
3. Menora wujud di salah satu tempat di sekitar kawasan barat dari pantai Songkhla.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


















KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin