Jumaat, 16 Disember 2011

PANDUAN SOLAT HAJAT

SOLAT HAJAT
 
Sekiranya manusia memiliki hajat-hajat yang tertentu, hendaklah ianya dipinta daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala kerana sesungguh Dia bersifat al-Ijabah al-Do’a (mengabulkan doa). Firman-Nya:
 
 
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ
 
Maksudnya:
Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka);Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. - al-Baqarah (2): 186
 
Dan di antara tempat yang mustajab untuk memohon doa terhadap sesuatu hajat adalah ketika solat. Ini adalah sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
 
وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ
 
Maksudnya:
Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat… - al-Baqarah (2) : 45
 
Oleh itu solat sunat Hajat adalah solat yang dikerjakan oleh seseorang yang mempunyai hajat tertentu dan ingin memohon kepada Allah agar memperkenankan hajat tersebut. Sekiranya kita meneliti buku-buku yang membahaskan tentang solat sunat Hajat ini maka kita akan mendapati terdapat pelbagai tatacara perlaksanaan serta jumlah rakaatnya.
 
 
v  APAKAH SOLAT HAJAT DISYARI’ATKAN?
 
Ibadah yang diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala adalah ibadah yang dikerjakan semata-mata ikhlas kerana-Nya dan mengikuti (ittiba’) sunnah Nabi s.a.w yang sabit. Oleh itu, sebelum sesuatu amal ibadah itu dikerjakan termasuk solat sunat Hajat ini, sewajarnya kita menyelidik terlebih dahulu adakah benar ia telah diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w atau sekadar amalan kebiasaan yang digelar sebagai adat. Sedangkan, umat Islam wajib membezakan antara adat dan ibadah agar adat yang menjadi kebiasaan mereka itu tidak dianggap sebagai ibadah.
 
Lazimnya, dalil yang digunakan untuk mensyari’atkan solat sunat hajat ini adalah hadis-hadis yang berikut.
 
Menurut Faaid bin Abdul Rahman yang meriwayatkan daripada Abdullah bin Abi Aufa, Rasulullah s.a.w telah bersabda:
 
 
مَنْ كَانَتْ لَهُ إِلَى اللَّهِ حَاجَةٌ أَوْ إِلَى أَحَدٍ مِنْ بَنِي آدَمَ فَلْيَتَوَضَّأْ فَلْيُحْسِنْ الْوُضُوءَ ثُمَّ لِيُصَلِّ رَكْعَتَيْنِ
 
ثُمَّ لِيُثْنِ عَلَى اللَّهِ وَلْيُصَلِّ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ لِيَقُلْ...
 
قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ غَرِيبٌ وَفِي إِسْنَادِهِ مَقَالٌ فَائِدُ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ يُضَعَّفُ فِي الْحَدِيثِ
 
وَفَائِدٌ هُوَ أَبُو الْوَرْقَاءِ
 
Maksudnya:
Sesiapa yang mempunyai hajat kepada Allah atau kepada salah seorang bani Adam (manusia) hendaklah dia berwuduk serta membaguskan wuduknya kemudian solat dua rakaat. Terus (setelah selesai solat) hendaklah dia menyanjung Allah dan berselawat kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, kemudian dia mengucapkan doa…… Menurut Abu ‘Isa ini adalah hadis Gharib dan dalam sanadnya terdapat Faaid bin ‘Abdurrahman yang dha’if (lemah) dalam hadis dan Faaid dia adalah Abu al-Waruqa’.  - Hadis riwayat Imam al-Tirmizi dalam Sunannya Kitab al-Sholaah, no: 441.
 
Gharib bermaksud yang asing, jauh, aneh atau susah difahami. Hadis gharib bermaksud hadis yang diriwayatkan dengan satu sanad atau hadis yang diriwayatkan oleh seorang perawi. Hadis gharib ini ada yang sahih, hasan dan juga dha’if (lemah). Namun begitu hadis yang diperbincangkan ini statusnya dha’if dan tidak boleh dijadikan sebagai dalil dalam menetapkan sesuatu hukum. Ini diindikasikan sendiri oleh Imam al-Tirmizi rahimahullah ketika meriwayatkan hadis ini.
 
Hadis di atas ini berstatus dha’if jiddan (sangat lemah) kerana dalam sanadnya terdapat Faaid bin ‘Abdurrahman Abu al-Waruqa’ dan beliau telah dilemahkan oleh ulamak hadis seperti Imam al-Tirmizi, Imam Abdullah bin Ahmad, Imam Ibn Ma’in, Imam Abu Daud, Imam al-Nasaai, Imam Abu Hatim, Imam al-Hakim, Imam Ibn Hibban dan Imam al-Bukhari rahimahumullah. Oleh itu hadis di atas tidak boleh dijadikan dalil untuk mensyari’atkan solat Hajat.
 
Sebuah hadis berkaitan dengan solat hajat juga telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Maimun Abu Muhammad al-Mura’i al-Tamimi. Dia berkata: Yahya bin Abi Kathir telah menceritakan daripada Yusuf bin Abdullah bin Salam daripada Abu Darda’ radhiallahu’ anh katanya: Wahai sekalian manusia! Aku telah mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
 
مَنْ تَوَضَّأَ فَأَسْبَغَ الْوُضُوءَ ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ يُتِمُّهُمَا أَعْطَاهُ اللَّهُ مَا سَأَلَ مُعَجِّلاً أَوْ مُؤَخِّرًا
 
Maksudnya:
Sesiapa berwuduk dan menyempurnakannya, kemudian mengerjakan solat dua rakaat dengan sempurna, apa sahaja yang dimintanya akan diberi oleh Allah baik cepat mahupun lambat. - Hadis riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya, no: 26225.
 
Hadis ini juga tidak sahih kerana dalam sanadnya terdapat seorang perawi, iaitu Maimun Abu Muhammad al-Mura’i. Beliau seorang yang majhul (tidak dikenali) sebagaimana yang telah dinyatakan oleh ulamak hadis seperti Imam Ibn Ma’in, Imam Ibn ‘Adiy, Imam al-Zahabi dan Syeikh Nashiruddin al-Albani rahimahumullah. Sanad hadis ini juga munqati’ (terputus) kerana Yahya bin Abi Kathir yang merupakan seorang tabi’ al-tabi’in telah meriwayatkan secara terus daripada Yusuf bin Abdullah bin Salam. Sedangkan Yusuf merupakan seorang sahabat Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Al-Tabi’in adalah seseorang yang di dalam hidupnya sempat berjumpa dengan sahabat Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam Manakala tabi’ al-Tabi’in adalah seseorang yang sempat berjumpa seorang tabi’in. Di dalam hadis ini, seorang tabi’ al-Tabi’in telah meriwayatkan hadis secara terus daripada seorang sahabat Nabi s.a.w tanpa perantaraan daripada seorang tabi’in di dalam sanadnya. Oleh itu, hadis ini dikategorikan sebagai munqati’,  iaitu terputus sanad.
 
Namun, Imam al-Suyuti rahimahullah di dalam kitabnya La’aaliul Mashnu’ah berpendapat bahawa hadis ini adalah satu-satunya hadis yang sahih tentang solat hajat. Wallahu’alam.
 
Maka sekiranya ingin berpegang kepada hadis ini sebagai dalil keharusan mengerjakan solat hajat, seseorang hendaklah melaksanakannya menurut tatacara yang bertepatan dengan hadis tersebut, iaitu:
  1. Menyempurnakan wuduk.
  2. Solat sebanyak dua rakaat. Tidak disyari’atkan untuk dilaksanakan solat Hajat ini secara berjemaah sebagaimana yang kebiasaannya diamalkan di Malaysia.
  3. Tidak ada bacaan ayat-ayat mahupun surah-surah yang tertentu yang dibacakan dalam jumlah tertentu untuk solat Hajat ini.
  4. Berdoa sama ada di dalam solat atau sesudah solat. Jika ingin berdoa ketika dalam solat antara tempat yang afdal untuk berdoa adalah ketika sujud dan sesudah membaca tasyahhud akhir sebelum memberi salam. Tidak ada lafaz doa tertentu yang disyaria’tkan bagi solat hajat. Justeru, doa tersebut bolehlah disusun sendiri mengikut apa yang dihajati.
 
Namun, penulis berpendapat bahawa riwayat-riwayat yang dianggap sebagai hujah bahawa para salafussoleh mengerjakan solat hajat bukanlah menunjukkan mereka mengkhususkan sesuatu jenis solat sunat yang dinamakan solat Hajat. Tetapi, mereka sebenarnya hanyalah mengerjakan solat sunat mutlak. Melalui solat tersebut mereka mengambil kesempatan untuk berdoa di tempat yang afdal untuk berdoa ketika di dalam solat, iaitu ketika sujud dan sebelum salam dan juga bertawassul dengan amalan yang mulia, iaitu mengerjakan solat. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya istilah solat sunat Hajat tidak pernah wujud di dalam mana-mana hadis yang sabit daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam Wallahu’alam.
 
Di antara hadis lain yang digunakan sebagai dalil untuk solat hajat adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Uthman bin Hunaif katanya:
 
أَنَّ رَجُلاً ضَرِيرَ الْبَصَرِ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: ادْعُ اللَّهَ لِي أَنْ يُعَافِيَنِي.
فَقَالَ: إِنْ شِئْتَ أَخَّرْتُ لَكَ وَهُوَ خَيْرٌ وَإِنْ شِئْتَ دَعَوْتُ. فَقَالَ: ادْعُهْ.
فَأَمَرَهُ أَنْ يَتَوَضَّأَ فَيُحْسِنَ وُضُوءَهُ وَيُصَلِّيَ رَكْعَتَيْنِ وَيَدْعُوَ بِهَذَا الدُّعَاءِ:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ وَأَتَوَجَّهُ إِلَيْكَ بِمُحَمَّدٍ نَبِيِّ الرَّحْمَةِ.
يَا مُحَمَّدُ إِنِّي قَدْ تَوَجَّهْتُ بِكَ إِلَى رَبِّي فِي حَاجَتِي هَذِهِ لِتُقْضَى اللَّهُمَّ شَفِّعْهُ فِيَّ
 
Maksudnya:
Seorang lelaki buta datang menemui Rasulullah s.a.w lalu berkata: Doakanlah kepada Allah supaya dia sembuhkan (kembalikan penglihatan) aku.
Nabi bersabda: Kalau engkau suka untuk bersabar engkau akan mendapat pahala di atas kesabaranmu (di atas kecacatanmu itu) ataupun boleh juga sekiranya jika engkau mahu, aku akan mendoakan engkau sekarang (supaya sembuh serta-merta).
Kata lelaki itu: Doakanlah untuku sekarang. Lalu baginda s.a.w menyuruhnya agar berwuduk dan menyempurnakannya lalu mengerjakan solat dua rakaat. Kemudian dia berdoa: Ya Allah Ya Tuhanku! Aku berdoa dan bermunajat kepada-Mu dengan (perantaraan doa) Muhammad, Nabi yang membawa rahmat.
Ya Muhammad, sesungguhnya aku telah menghadap dengan (doamu) kepada Tuhanku tentang hajatku ini supaya dimakbulkan hajatku ini. Ya Allah! Berikanlah syafaat (baginda s.a.w) kepadaku. - Hadis riwayat Imam Ibn Majah dalam Sunannya, Kitab Iqamah al-Solah wa Sunnah Fiha, no: 1375.
 
Hadis di atas sebenarnya berkisar tentang tawassul atau berdoa menggunakan perantaraan yang selari dengan syarak.
 
Pertama, lelaki buta tersebut menggunakan perantaraan amal soleh, iaitu dengan mengerjakan solat sunat mutlak sebanyak dua rakaat.
 
Kedua, lelaki itu juga menggunakan perantaraan doa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam Bertawassul dengan doa orang soleh yang masih hidup adalah disyari’atkan manakala berdoa melalui perantaraan orang yang telah mati seperti di kuburan para Nabi, sahabat, salafussoleh atau wali adalah bid’ah yang sesat.
 
 
v  KESIMPULAN
 
Dengan penjelasan ini, dapatlah kita fahami bahawa hadis-hadis tentang solat sunat hajat ini berstatus lemah. Oleh itu, mengerjakan solat sunat yang dinamakan solat sunat Hajat masih dipertikaikan kesahihannya. Namun kita dibenarkan untuk memohon apa jua hajat kita dalam solat sama ada fardu mahupun sunat terutamanya ketika sujud dan sesudah membaca tasyahhud akhir sebelum salam. Apa yang lebih utama adalah jika kita panjatkan doa kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala ketika masih dalam solat. Menurut Ibnu Taymiyyah rahimahullah dalam Majmu’ al-Fatawa, Jld. 22, ms. 512-514:
 
Seseorang yang sedang bersolat sebenarnya sedang mengadu (bermunajat) kepada Tuhan-nya, maka ketika dia memberi salam (menunjukkan berakhirnya solat), selesailah sudah munajatnya. Oleh itu sewajarnya permohonan itu dipanjatkan ketika bermunajat (dalam solat sebelum salam) kerana ianya lebih mungkin untuk dimakbulkan jika dibandingkan dengan permohonan yang dipanjatkan setelah dia selesai bermunajat (selesai solat).
 
 
 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan


















KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin