PANDUAN
MELAKSANAKAN SOLAT HAJAT
& DOA
KESEJAHTERAAN
SOLAT HAJAT
Solat sunnat Hajat dilaksanakan apabila seseorang
ingin memohon sesuatu dari ALLAH s.w.t. Ianya dilaksanakan sebanyak dua rakaat
diikuti dengan doa setelah memberi salam.
Di antara cara untuk menunaikan solat ini adalah
seperti berikut:
Pada raka’at pertama selepas doa iftitah, baca surah
Al-Fatihah diikuti dengan surah Al-Kafirun sebanyak 11 kali (atau boleh juga 3
kali).
Pada raka’at yang kedua, baca surah Al-Fatihah
diikuti dengan surah Al-Ikhlas sebanyak 11 kali (atau boleh juga 3 kali).
Selepas memberi salam, bacalah doa seperti berikut :
Ya Allah,
sesungguhnya kami bermohon pertolongan Mu, kami meminta ampun dari Mu, kami
memohon petunjuk dari Mu, kami beriman dengan Mu, kami berserah kepada Mu dan
kami memuji Mu dengan segala kebaikan, kami mensyukuri dan tidak mengkufuri Mu,
kami melepaskan diri daripada sesiapa yang durhaka kepada Mu.
Ya Allah, Engkau
yang kami sembah dan kepada Engkau kami bersolat dan sujud, dan kepada Engkau
jualah kami datang bergegas, kami mengharap rahmat Mu dan kami takut akan azab
Mu kerana azab Mu yang sebenar akan menyusul mereka yang kufur.
Ya Allah, jauhkan kami dari bencana perang, bencana
senjata yang memusnahkan, bencana segala macam penyakit dan kesusahan. Ya Allah, hentikanlah fitnah dan pertikaian
yang terjadi di dunia hari ini.
Bahawasanya fitnah ini boleh membawa bencana memusnahkan kesejahteraan
dan keamanan.
Ya Allah, hindarkanlah umat manusia daripada
sebarang perselisihan dan permusuhan yang membawa kepada kehilangan jiwa dan
kerosakan hartabenda. Selamatkanlah
institusi dan tempat-tempat suci Islam dari sebarang kemusnahan.
Ya Allah, selamatkanlah kami dari segala keburukan
dan janganlah Engkau jadikan kami tempat turunnya bencana, hindarkanlah kami
dari segala bala kerana tidak sesiapa yang dapat menghindarkannya melainkan
Engkau, ya Allah.
Ya Allah,
dengan Rahmat Mu dan kasih sayang Mu, jauhkanlah kami daripada kekontangan air,
kenaikan harga barang, kezaliman, fitnah dan ujian, wabak serta penyakit yang
menular dan segala macam bala di negeri kami ini dan negeri-negeri mereka yang
beriman serta negeri-negeri mereka yang cinta kepada keadilan dan keamanan.
Ya Allah,
tiada Tuhan melainkan Engkau, Allah yang Maha Penyantun dan Pemurah. Maha Suci
Allah, Tuhan Pemelihara ‘Arasy yang Maha Agung. Segala puji bagi Allah Tuhan
seru seluruh alam, kepada Mu kami memohon rahmatMu, dan pengampunan Mu, dan
keselamatan dari setiap dosa. Janganlah Engkau biarkan dosa meliputi diri kami,
melainkan Engkau mengampuni kami dan tidak ada sesuatu kesempitan melainkan
Engkau beri jalan keluar, dan tidak ada pula sesuatu hajat yang mendapat
kerelaanMu, melainkan Engkau kabulkan. Wahai Tuhan yang paling Pengasih dan
Penyayang. (Jika ada hajat lain, boleh disebutkan di sini).
Cukuplah
Allah sebagai pelindung bagi kami, Dialah sebaik-baik yang diharapkan. Sebaik-baik Pelindung dan Penolong. Selawat dan salam dari Allah ke atas penghulu
kami Nabi Muhammad serta keluarga dan sahabatnya. Maha Suci Tuhan yang empunya kemuliaan dari
apa yang mereka sifatkan. Sejahtera atas
sekalian Rasul dan segala puji bagi Allah Tuhan seru sekalian alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan