Sabtu, 3 Disember 2011

BICARA MASYARAKAT SIAM MALAYSIA.

Latar belakang persatuan politik masyarakat Siam Malaysia sebelum tahun 2000.

25 tahun lalu, parti politik pertama masyarakat Siam telah ditubuhkan secara tidak rasmi dikenali sebagai Persatuan Thai Malaysia. Persatuan ini beribu pejabat di Pejabat Konsul Besar Thai Pulau Pinang. Keahliannya terdiri daripada masyarakat Siam Malaysia yang kebanyakannya bekerja di Pulau Pinang terutamanya pegawai–pegawai kerajaan seperti guru, kerani dan sebahagiannya terdiri daripada mahasiswa universiti.

Pucuk pimpinan Persatuan Thai Malaysia telah diambil alih oleh Encik Songram Apau menggantikan Mendiang Suk Buranakkon. Perlembagaan persatuan ini telah menetapkan bahawa keahlian Persatuan Thai Malaysia adalah untuk seluruh masyarakat Siam Malaysia. Namun, seperti yang diketahui, orang Siam di Malaysia kebanyakannya tertumpu di negeri –negeri utara Semenanjung Malaysia iaitu di Kedah, Perlis, Perak dan dan sebahagian kecil masyarakat Siam yang lainnya menetap di Kelantan dan Terengganu. Faktor geografi menyukarkan masyarakat Siam di Malaysia untuk menganggotai persatuan ini. Ini menyebabkan segala aktiviti persatuan ini hanya tertumpu di kawasan utara Semenanjung sahaja.

Detik 4 Januari 1996 merupakan detik paling bersejarah bagi masyarakat Siam di seluruh Malaysia. Buat pertama kali dalam tempoh 39 tahun selepas kemerdekaan, pihak kerajaan Malaysia di bawah pimpinan kerajaan Barisan Nasional telah melantik seorang wakil daripada masyarakat Siam untuk mewakili masyarakat minoriti di Dewan Negara. Perlantikan wakil masyarakat Siam di Dewan Negara merupakan satu penghargaan daripada pihak kerajaan terhadap sokongan padu yang dicurahkan oleh masyarakat Siam di seluruh Malaysia atas sokongan dan komitmen mereka terhadap kepimpinan Kerajaan Barisan Nasional.

Lawatan Rasmi bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohammad bersama masyarakat Siam di Wat Visutpradiththaram, Kampung Titi Akar dianggap detik paling bersejarah kerana ini merupakan kali pertama seorang pemimpin negara mengadakan pertemuan langsung dengan masyarakat Siam Malaysia. Perwakilan masyarakat Siam bagi mewakili masyarakat Siam telah dilantik untuk mewakili masyarakat Siam dari negeri masing-masing. Dalam peristiwa tersebut, Siri dilantik untuk menjadi wakil bagi masyarakat Siam Terengganu. Dalam peristiwa tersebut juga, Tun Dr Mahathir telah mengumumkan perlantikan bekas Pengarah Kastam Negeri Kedah, Encik Charen Intachat sebagai senator pertama Masyarakat Siam.

Sehubungan itu, beliau dan rakan-rakan yang lain yang telah dilantik untuk mewakili masyarakat Siam bagi negeri masing–masing telah bermesyuarat dan memutuskan untuk mewujudkan sebuah Jawatankuasa Penyelaras Masyarakat Siam Malaysia untuk menubuhkan sebuah persatuan untuk mewakili masyarakat minoriti ini. Cadangan itu telah disuarakan kepada Perdana Menteri. Idea tersebut akhirnya telah dipersetujui oleh Perdana Menteri. Akhirnya, Jawatankuasa Tindakan Masyarakat Siam yang dipengerusikan oleh Encik Charen Intachat telah ditubuhkan, Jawatankuasa tersebut telah memutuskan agar persatuan-persatuan Siam peringkat negeri dibubarkan dan digantikan dengan Persatuan Siam Malaysia. Siri telah diberi tugas untuk menyiapkan proposal kertas kerja beliau yang bertajuk ‘Kanakkhammakan Phae Jokhjong Khon Thai Malaysia’ (Jawatankuasa Penyelaras Perhubungan Masyarakat Siam Malaysia) untuk dibentangkan di Parlimen. Hasil pembentangan kertas kerja tersebut telah diperkenankan oleh Kabinet. Pada Tahun 2000, Persatuan Siam Malaysia telah ditubuhkan dengan perlantikan Yang Berhormat Senator Dato’ Charen Intachat sebagai presiden pertama.

Sekitar tahun 1960-an, terdapat Persatuan Siam Kedah yang dipengerusikan oleh Mendiang Yan Intachat. Keahlian persatuan ini terdiri daripada golongan petani dan juga sebilangan kecil masyarakat Siam yang menjadi kakitangan kerajaan dari Kedah dan Perlis. Persatuan ini bergiat aktif dalam kegiatan–kegiatan politik di Kedah. Mendiang Yan Intachat telah membantu Tun Dr Mahathir berkempen sehingga beliau memenangi pilihanraya Parlimen Kota Setar pada tahun 1964. Pada Pilihan Raya Ketiga dalam tahun 1964, Dr Mahathir dipilih sebagai Ahli Parlimen Kota Setar selepas menewaskan calon Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dengan majoriti sebanyak 60.2%. Beliau menjadi ahli Majlis Tertinggi UMNO pada tahun 1965. Dalam Pilihan Raya 1969, beliau ditewaskan oleh calon PAS, Haji Yusoff Rawa, dengan cuma 989 undi sahaja, selepas beliau mengumumkan bahawa beliau tidak memerlukan undi-undi orang Cina untuk mencapai kerusinya.

Berikutan peristiwa 13 Mei 1969, Dr Mahathir dipecat daripada keahliannya dalam Majlis Tertinggi UMNO pada 12 Julai, selepas pengedaran umum suratnya kepada Tunku Abdul Rahman. Dalam suratnya, beliau telah mengkritik cara pentadbiran Tunku. Pada 26 September, Dr Mahathir juga dipecat keahliannya dalam UMNO Dalam pilihanraya 1969, Encik Yan telah membantu Tun Dr Mahathir berkempen sehingga beliau dilantik semula menjadi ahli parlimen dan diterima semula sebagai ahli UMNO. Sebagai membalas jasa Mendiang Yan Intachat, beliau telah melantik anak Mendiang Yan Intachat, Encik Charen Intachat sebagi Senator Siam pertama dalam tempoh 39 tahun selepas kemerdekaan. .

Terdapat persatuan Siam Negeri Perlis yang dipengerusikan oleh Encik I Chong dan timbalannya, Puan Siew Chun Eam (bekas senator masyarakat Siam Malaysia), Terdapat juga persatuan Siam Kelantan /Terengganu yang dipengerusikan oleh beliau sendiri. Namun, adalah baik sekiranya sebuah persatuan ditubuhkan di peringkat kebangsaan bagi mewakili kepentingan masyarakat Siam di seluruh Malaysia. Persatuan Siam Malaysia adalah untuk semua masyarakat Siam Malaysia.

Matlamat jangka panjang persatuan ini adalah untuk melahirkan lebih ramai golongan profesional dalam kalangan generasi muda Siam dalam pelbagai bidang. Malahan, jumlah pelajar Siam yang dapat memasuki menara gading masih rendah jika dibandingkan dengan golongan bumiputera yang lain.

Melalui persatuan, dana-dana pengajian diwujudkan untuk membantu anak-anak Siam yang cemerlang dalam bidang akademik melanjutkan pelajaran dalam dan luar negeri. Dengan adanya pendidikan, martabat bangsa Siam akan dapat dipertingkatkan. Dengan ini, lebih ramai golongan profesional Siam akan dapat dilahirkan terutamanya dalam bidang undang-undang, perubatan dan lain-lain lagi agar masyarakat minoriti ini mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan golongan minoriti yang lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin