Sabtu, 3 Disember 2011

PERGOLAKKAN DI SELATAN THAILAND.

SelatanThailand terus bergolak, kian hari kian membimbangkan semua pihak. Sejak tahun 2004, lebih 2,500 orang telah menjadi korban keganasan di kawasan tersebut yang bukan sahaja ketinggalan dari segi pembangunan ekonomi dan kesejahteraan sosial, tetapi dari segi keselamatan dianggap kawasan ‘hitam’ oleh birokrasi Thai.
Kini ia terus membakar dan terbiar. Sehingga kini segala percubaan mencari perdamaian masih belum dapat membuahkan hasil. Di mana dan bagaimana penyelesaiannya?
Konflik ini diburukkan oleh ketidakpercayaan antara satu sama lain dan keengganan pihak-pihak terlibat mengakui hakikat sebenar masalah selatan Thai. Mereka mempunyai pandangan, posisi dan prioriti yang berbeza yang tidak boleh bertolak ansur. Bagi kerajaan Thai, adalah penting bagi meneruskan nilai-nilai ‘Thai’ yang dianggap sebagai teras yang perlu dipupuk dan menjadi identiti nasional.
Ini tidak mudah diterima oleh golongan Melayu-Islam di selatan yang merasakan diri mereka dipinggirkan sekian lama. Sejak peristiwa Tak Bai 2003, peminggiran ini semakin dirasakan sehingga menimbulkan keadaan tidak puas hati yang membawa kepada keganasan yang meningkat. Hari ini rasa kecewa dan tidak percaya kepada pemerintah berada di tahap yang tinggi di kalangan masyarakat selatan yang sebelum ini masih menaruh harapan kepada kebijaksanaan pemerintah, terutama sekali kepada pihak istana yang amat dihormati dan disayangi rakyat.
“Istana adalah satu-satunya harapan kami, di situlah terletaknya masa depan yang aman damai,” kata seorang pelajar Thai Muslim yang enggan namanya disebut. Ramai yang menaruh harapan kepada istana sebagai tonggak keadilan dan kesejahteraan. Kerajaan datang dan pergi, tetapi istana kekal.
Apakah mereka menaruh harapan kepada kerajaan tentera yang juga merupakan kuasa politik yang berpengaruh? Dalam sejarah Thai, golongan ini amat rapat dengan istana dan akan muncul mengambil tempatnya dalam politik nasional bila perlu dan berkesempatan. Seperti yang pernah dinyatakan oleh Jeneral Prem Tinsulanonda, bekas Perdana Menteri dan kini penasihat khas kepada Raja Bhumibol Adulyadej, “tentera bertanggungjawab mengembalikan keamanan dalam negara yang dilanda kemelut politik,”.
Dilihat dari luar, kerajaan yang dikuasai oleh tentera hari ini nampaknya berminat untuk mencari penyelesaian secara aman. Ini disebabkan dua perkara. Satunya, memenuhi harapan umum mengenai peranan tentera sebagai ‘pengaman’. Yang kedua ialah perlunya tentera memulih imej mereka selepas peristiwa Tak Bai. Lebih-lebih lagi mereka mahu mengelak kesilapan bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra dalam mentadbir wilayah selatan. Tetapi bagaimanakah caranya memulih keadaan dan memperbaiki imej tersebut?
Sampai bilakah keganasan ini akan berterusan? “Kami sebenarnya sudah letih dan bosan dengan pertumpahan darah dan kesengsaraan, kami mahu kehidupan yang normal,” kata seorang guru dari Yala, “tetapi kami tidak nampak ada penyelesaian lain sekiranya pihak kerajaan masih tidak mahu mendengar rintihan kami.” Kerajaan Thai hari ini mahu mencari penyelesaian kepada masalah ini, tetapi tanpa mengorbankan ‘nilai-nilai teras negara’. Ini bererti opsyen kemerdekaan seperti yang dituntut oleh sesetengah barisan pembebasan tidak dapat diterima oleh kerajaan. Jadi siapakah yang boleh berdialog dengan pemerintah dan atas landasan apa untuk menyelesaikan pergolakan ini?
Masalah utama selatan Thai ialah kesukaran menentukan siapa yang sebenarnya menguasai keadaan di peringkat akar umbi. Adakah ia dikuasai oleh puak pemisah ataupun golongan yang bekerjasama dengan kerajaan di Bangkok? Salah seorang yang dekat dengan kerajaan Thai berpendapat salah satu sebab kegagalan perbincangan di Langkawi baru-baru ini yang melibatkan orang-orang tertentu di Malaysia ialah ‘mereka yang terlibat dalam rundingan tersebut tidak lagi relevan dan dianggap asing oleh peringkat akar umbi.’ Keadaan yang tidak menentu dari segi keselamatan sekarang ini menyebabkan tidak ada kumpulan yang berani menonjolkan diri mengaku bahawa mereka yang menguasai keadaan. Rasa tidak percaya terhadap pihak berkuasa bertambah dengan ‘kehilangan’ saudara-mara dan sahabat handai, juga mereka yang ingin menjadi ‘fasilitator’ bagi mencapai perdamaian.
Siapakah sebenarnya yang terlibat dalam konflik ini? Adakah seluruh orang Melayu-Islam terlibat atau adakah ia angkara segelintir puak pemisah yang tidak mahu bertolak ansur? Jika dikatakan masalah tersebut adalah konflik antara “Selatan melawan kerajaan Bangkok” ia juga kurang tepat kerana dari segi politik, masyarakat Thai Selatan tidak bersifat ‘monolitik’ atau sependapat. Begitu juga di pihak pemerintah dan rakyat Thai bukan Islam. Adanya kepelbagaian pendapat inilah yang memberikan harapan ke arah perdamaian.
Masyarakat Melayu-Islam selatan Thai terdiri daripada beberapa aliran politik dan mempunyai tanggapan yang berbeza mengenai masa depan mereka dalam sebuah negara yang kuat dengan tradisi Thai. Secara umumnya, masyarakat Melayu-Islam Thailand menerima hakikat bahawa amat sukar mengubah sejarah. Jadi apa yang perlu dibuat ialah penyesuaian agar kedudukan mereka sebagai orang Islam dan Melayu terus terjamin melalui penglibatan dan bukan peminggiran. Yang menjadi pertanyaan sekarang ialah sejauh manakah peluang ini terbuka kepada mereka?
Bagi mereka yang tinggal di Bangkok dan telah mengasimilasikan diri ke dalam masyarakat Thai, dualisme identiti tidak menjadi persoalan. Selagi mereka dibenarkan mempraktik agama dan kebudayaan mereka, maka keberadaan mereka dalam negara Thai Buddha tidak dipersoalkan. Yang perlu ialah pembabitan menyeluruh di antara semua pihak yang terlibat untuk meneruskan penglibatan dalam kehidupan nasional dari segi politik, ekonomi dan sosial.
Berdasarkan kepada sikap mereka terhadap Kerajaan Pusat, masyarakat Melayu-Islam selatan Thai terbahagi daripada tiga kategori. Pertama ialah golongan rakyat biasa yang mahu hidup aman damai serta bebas mempraktikkan agama dan mengekalkan identiti Melayu-Islam. Bagi golongan ini, mendapatkan kuasa politik bukan menjadi matlamat utama.
Yang penting bagaimana meneruskan kehidupan dan mengharapkan kesejahteraan ekonomi dan sosial. Golongan kedua terdiri daripada mereka yang bersikap liberal, mempunyai kedudukan sosio-ekonomi yang terjamin dan sedia berkongsi kuasa politik dengan Pusat di samping menerima kehadiran Pusat di selatan. Mereka inilah yang boleh diajak berunding dan mempunyai peluang untuk berjaya kerana kepentingan menjamin kedudukan mereka di samping boleh diterima sebagai rakan dialog dengan kerajaan, malah menjadi perantara antara kerajaan dan rakyat.
Golongan ketiga ialah ‘pejuang’ yang nekad mengangkat senjata sehingga mencapai matlamat kemerdekaan wilayah selatan. Malah ada di antara mereka yang begitu yakin dengan cara ini dan tidak teragak-agak untuk menjanjikan pertumpahan darah yang lebih banyak dalam masa yang terdekat. Tetapi adakah opsyen ini sesuatu yang realistik dan mapan?
Kerajaan Thai, sama ada tentera atau awam, liberal atau konservatif , tidak akan membenarkan pemisahan yang menggugat keutuhan wilayah Thailand. Jadi dalam keadaan ini adakah berbaloi untuk berperang berpanjangan dan sanggupkah mereka melihat penderitaan rakyat tidak berdosa demi mencapai satu tujuan politik? Di masa yang sama adakah cara lain untuk mempertahankan hak mereka? Kebanyakan mereka yang bersimpati dengan penderitaan rakyat biasa tidak sanggup melihat penganiayaan insan seagama dan sebangsa yang menjadi mangsa keganasan sama ada daripada pihak kerajaan atau pun puak pemisah.
Amat sukar memastikan siapa dan kumpulan mana yang ‘membuat kacau’. Yang pasti ialah tuduh menuduh yang bertujuan meletak tanggungjawab jenayah kepada pihak lain.
Inilah sebenarnya dilema pergolakan selatan Thai. Oleh itu yang diperlukan ialah pembabitan menyeluruh di antara semua yang terlibat. Satu dialog keamanan amat diperlukan segera. Tetapi siapakah yang sanggup memikulnya? Kerajaan Thai telah pun membayangkan bahawa ia mengharap dan sedia menerima peranan Malaysia dalam mencari penyelesaian dan perdamaian.
Dan Malaysia juga telah memberi bayangan bahawa ia juga bersedia membantu Thailand. Malah telah pun diumumkan bahawa pertemuan dua hala Malaysia-Thai di peringkat tinggi akan diadakan dalam sedikit masa lagi. Tetapi sehingga kini belum ada perbincangan konkrit mengenai isu-isu utama yang menyebabkan konflik berterusan. Semuanya masih dalam pertimbangan dan road-map ke arah mencapai perdamaian masih belum tertera.
Walau apa pun, tanggungjawab mengembalikan keamanan di selatan Thai tidak seharusnya diletak bulat-bulat di bahu kedua-dua kerajaan.
Ke mana perginya badan-badan bukan kerajaan (NGO), badan pemikir, mahasiswa prihatin, ahli akademik dan penyelidik yang bekerja keras mengkaji konflik, persatuan-persatuan persahabatan, badan-badan kemanusiaan dan korporat yang selama ini amat segera dalam memberikan bantuan kepada mereka yang ditimpa segala macam bencana? Dalam keadaan ‘kesediaan’ berbincang oleh pihak berkuasa Thai dan hubungan yang baik antara Bangkok dan Kuala Lumpur, mungkin inilah masanya digembleng sokongan mencari keamanan di selatan Thai.
Untuk berjaya, dialog keamanan perlu mempunyai ciri-ciri tolak ansur, bukan ketidakpercayaan. Dalam konteks ini, yang penting ialah membina keyakinan (confidence building) . Siapa yang akan mengusul dan meneruskan usaha-usaha membina keyakinan ini? Mungkinkah Aceh, Mindanao boleh dijadikan panduan dalam dialog keamanan ini?
Masalah selatan Thai ialah masalah politik, oleh itu ia memerlukan penyelesaian politik, bukan secara kekerasan. Sejarah memperlihatkan bahawa kekerasan melahirkan kekerasan. Maka tidak bolehkah kedua-dua pihak menggunakan kebijaksanaan dan perasaan kasihan belas ke atas penderitaan yang ditanggung manusia biasa akibat kekerasan dan keganasan yang berlaku bagi mencari penyelesaian? Atau mestikah mereka menunggu bencana alam seperti yang berlaku di Aceh sebelum timbul keinsafan?
Arena Politik Thailand Selepas Era Thaksin
Kerjaya Thaksin bermula dalam pasukan polis akademi hingga lulus pada peringkat teratas sekali dan beliau kemudian memperoleh ijazah dari Sam Houston State University di Texas, Amerika pada tahun 1979.
Thaksin meninggalkan perkhidmatan polis untuk menjadi ahli perniagaan. Diatas kejayaanya sebagai ahli perniagaan beliau kemudian menceburkan diri dalam arena politik dan menubuhkan parti Thai Rak Thai (Thais love Thai). Thaksin lahir di Chiang Mai, utara Thailand pada tahun 1949 beliau berasal daripada keluarga Sino-Thai yang berada. Beliau sendiri seorang billionaire dan kerana itu dianggap tidak boleh terlibat dalam kejadian-kejadian rasuah seperti dilakukan oleh sesetengah pihak lain.
Parti tersebut dianggap berwajah baru di Thailand kerana dikendalikan secara profesional oleh golongan penasihat dan pengurus yang melaksanakan cara-cara pengurusan perniagaan, pemasaran dan lebih mengutamakan inisiatif-inisiatif politik dari parti-parti lain.
Kerana itu Thaksin dianggap ahli politik wajah baru di Thailand, iaitu dengan persefahaman serba baru mengenai peranan pemasaran, peranan media dan bahasa. Tetapi amalan politik Thaksin sedemikian dibantah oleh sebilangan pengkritik. Mereka melihat dasar-dasar kerajaannya sebagai cubaan untuk menguasai pelbagai sektor awam negara. Juga disebut bahawa hanya sebilangan kecil meraih faedah. Oleh kerana beliau begitu rakus berkuasa,menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan meraih kekayaan buat keluarga sendiri beliau tergamak untuk mengadaikan maruah bangsa dan negara Thailand dengan penjualan saham shin Corp milik keluarga kepada Temasik Holding sebuah anak syarikat kepada kerajaan Singapura
Diatas kerakusanya menyalahgunakan kuasa akhirnya Thaksin digulingkan dalam rampasan kuasa pihak tentera yang dipimpin oleh Jen Sonthi Booyaratglin semasa menghadiri sesi khas Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu di New York bersama para pemimpin dunia pada 19 Sep 2007.
Selepas mengambil alih kuasa Jeneral Sonthi Boonyaratglin dan PM Surayud Chulanont berusaha keras untuk menangani konflik di selatan negara itu. Usaha kedua mereka dibuktikan dengan berbagai inisiatif baru yang secara asasnya menawarkan pendekatan lebih lembut untuk mengatasi konflik yang telah berterusan sejak lebih 200 tahun lalu di kawasan selatan Thai. Ia dimanifestasikan dengan antara lain menerusi usaha menghidupkan semula Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan (SBPAC), pelantikan Gabenor Baru Yala, Teera Mintrasak yang beragama Islam dan kesudian memberikan pernyataan maaf secara terbuka oleh Surayud di atas tindakan keras pihak kerajaan dalam beberapa insiden sebelum ini.
Senario ini jauh berbeza jika dibandingkan dengan dasar-dasar Thaksin sewaktu menjadi Perdana Menteri Thailand terhadap wilayah selatan yang menolak pendekatan lembut dalam menghadapi kekacauan politik di sana. Pada awal tahun ini, Thaksin sendiri telah memberikan kuasa penuh kepada Jeneral Sonthi, Komander Angkatan Tentera yang dilantik ketika itu untuk menggunakan kuasa ketenteraan bagi menangani kekacauan yang berlaku.
Sebenarnya pertukaran kerajaan di Thailand, ada baik dan buruknya. Dari satu aspek, ia menyaksikan kerajaan yang berasaskan sistem demokrasi telah dikuburkan. Manakala, dari aspek lain, perubahan tersebut memberi nafas baru dan harapan kepada rakyat yang ingin melihat angin perubahan dalam senario politik Thailand yang selama telah menggugat ketenteraman hidup mereka. Tapi apakah ada jaminan bahawa konflik akan berakhir dengan pembentukan kerajaan baru ini?
Dalam era Thaksin, kegagalan memahami senario sebenar masalah telah mengakibatkan merebaknya konflik.
Menggunakan tindakan keras untuk menghapuskan kekacauan politik di wilayah selatan bukanlah pilihan yang bijak. Hakikatnya yang menjadi mangsa ialah masyarakat di selatan yang terseret ke dalam kancah kekacauan politik sehingga meragut nyawa lebih 2500 orang sejak tiga atau empat tahun lepas. Ia adalah campuran daripada pelbagai faktor.
Lebih malang lagi, cadangan untuk penyelesaian konflik di selatan yang dikemukakan oleh National Reconciliation Commission (NRC) antaranya dengan mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa dialek di tiga wilayah Selatan telah ditolak oleh kerajaan. Ini membuktikan bahawa tiada kesediaan yang jitu untuk membolehkan konflik diselesaikan secara aman.
Satu faktor pencetus konflik yang tidak dapat dinafikan ialah wilayah di selatan Thailand adalah di antara kawasan yang termiskin di negara itu. Kebanyakan polisi yang cuba diketengahkan lebih menjuruskan kepada penyelesaian ekonomi sedangkan isu sebenarnya ialah lebih bersifat kekecewaan politik seperti yang sekian lama tertulis di lipatan sejarah.
Isu sebenar ialah faktor diskriminasi ke atas masyarakat Islam Melayu di selatan yang cuba diasimilasikan secara paksa ke dalam komuniti etnik beragama Buddha sejak seabad lalu. Proses asimilasi yang berlaku secara paksa inilah yang menimbulkan kekecewaan mendalam di kalangan masyarakat Islam sehingga kini. Sekiranya faktor ini tidak diuruskan dengan baik, sudah pasti tiada jalan keluar untuk penyelesaian konflik dan jurang perbezaan pandangan pastinya menjadi semakin luas.
Pertukaran kerajaan melalui rampasan kuasa tentera walaupun kelihatan negatif dari satu sudut, diharapkan mampu membawa perubahan positif kepada situasi sedia ada di selatan. Keinginan Jeneral Sonthi dan Perdana Menteri kerajaan sementara, Surayud untuk menggunakan pendekatan lebih lembut dalam menangani isu di selatan seharusnya disambut baik oleh pelbagai pihak. Dari satu aspek, mungkin juga disebabkan beliau dari latar belakang keluarga beragama Islam , menyebabkan pendekatan yang cuba diketengahkan agak lebih memahami suasana sebenar.
Sejak mengambil alih pentadbiran kerajaan Thailand dan kerajaan sementara dibentuk, telah banyak usaha positif telah diatur. Lawatan menemui pemimpin-pemimpin negara jiran seperti Indonesia dan Malaysia untuk mendengar pandangan mereka berhubung dengan konflik di selatan adalah antara langkah yang baik dan membina.
Jeneral Sonthi yang sekarang memegang jawatan sebagai Pengerusi Council for National Security sendiri telah mengumum untuk menamatkan Undang-Undang Darurat selewat-lewatnya Januari 2007, berita yang pasti menggembirakan rakyat selatan Thailand. Sebelum ini, Undang-Undang Darurat memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk menangkap suspek selama 30 hari tanpa sebab, mencari dan menahan tanpa waran dan termasuklah merakam perbualan di telefon.
Idea menamatkan perisytiharan Darurat selari dengan keputusan untuk menghidupkan semula operasi SBPAC yang ditamatkan operasinya oleh Thaksin sejak 2001. Tindakan ini diyakini menjadi kunci penting bagi menamatkan kekacauan politik yang berlangsung sekian lama di wilayah selatan.
Walaupun begitu, peluang yang ada sepatutnya digunakan sebaik mungkin oleh masyarakat tempatan khususnya di kalangan pemimpin Islam dan kumpulan-kumpulan pejuang seperti PULO, Barisan Revolusi Nasional (BRN), PEMUDA dan Gerakan Mujahidin Islam Pattani (GMIP). Mungkin pilihan penyelesaian adalah tidak banyak, tetapi ia adalah lebih baik daripada membiarkan masyarakat terus menderita dalam kancah konflik yang tidak berkesudahan.
Walaupun ada antara kumpulan-kumpulan ini yang masih menyimpan hasrat mencapai kemerdekaan dan memiliki negara sendiri, ia kelihatan mustahil untuk dilakukan. Mana-mana kerajaan pun termasuklah Thailand pastinya tidak akan membenarkan mana-mana wilayahnya berpecah. Pandangan ini amat wajar diberikan perhatian oleh masyarakat Islam di selatan khususnya. Surayud sendiri dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sewaktu berada dalam lawatan singkat di Jakarta mengakui bahawa pendekatan yang digunakan di Aceh oleh Indonesia sebagai antara model yang baik untuk mewujudkan keamanan di selatan.
Hingga setakat ini, usaha positif yang ditunjukkan oleh kerajaan sementara di Thailand wajar diberikan pujian. Cuma harapan kita agar ia tidak terhenti setakat itu. Isu utama mengenai ‘hak’ masyarakat perlu diberikan perhatian wajar dan tidak diabaikan sewenang-wenangnya.
Tidak dinafikan masih ada pandangan yang skeptikal terhadap kemampuan kerajaan sekarang untuk menunaikan janji-janji serta melaksanakan pembaharuan di wilayah selatan terutama disebabkan isu kerajaan yang tidak mendapat mandat sah oleh rakyat. Yang penting ialah langkah-langkah yang cuba diusahakan telah menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam meredakan ketegangan yang telah wujud sekian lama antara masyarakat di selatan dan kerajaan Thailand.
Sehubungan dengannya Pemimpin junta tentera Thailand, memaklumkan bahawa usaha menamatkan pergolakan di selatan Thai akan mengambil masa yang lama kerana masalah di Selatan Thailand telah diabaikan selama berpuluh-puluh tahun, kerana itu bukan mudah untuk melakukan perubahan dalam masa singkat.
Kerajaan tentera menaruh harapan tinggi Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC) akan dapat meredakan kekacauan yang telah meragut lebih 2,500 nyawa di wilayah sepanjang sempadan dengan Malaysia.
SBPAC dianggap berjaya mengurangkan keganasan di selatan Thai pada 1970-an dengan menyediakan forum untuk pemimpin tentera dan politik tempatan menyelesaikan perselisihan dengan penduduk terbabit.
Bagaimanapun bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra yang digulingkan oleh Sonthi pada 19 September lalu membubarkan badan tersebut pada awal 2002 dengan alasan ia tidak berfaedah lagi.
Sonthi yang telah mengambil pendirian lebih bertolak-ansur berbanding Thaksin berkata hari ini, tentera akan memberi sokongan penuh terhadap usaha SBPAC.
Menurut beliau pihak tentera sudah 100 peratus bersedia dan beliau telah menerima laporan daripada komander tentera di selatan bahawa Kementerian Pertahanan sudah bersedia untuk bekerjasama dan menjalankan tugas.
Sebaik dilantik oleh Jen Sonthi sebagi Perdana Menteri kerajaan sementara ,Surayud Chulanont terus mengaturkan lawatan ke selatan Thai esok untuk menemui penduduk tempatan.
Menurut Surayud beliau menyambut baik cadangan daripada sesiapa untuk menghentikan kekacauan dan beliau akan pergi ke sana dengan penuh keikhlasan, jadi jika penduduk tempatan ada cadangan, sila ajukannya kepada beliau. Beberapa pemimpin tempatan merungut kerana seorang birokrat Bangkok daripada Kementerian Dalam Negeri, Pranai Suwanrath dilantik untuk mengetuai SBPAC, dan bukan pegawai tempatan.
Bagaimanapun Sonthi melahirkan keyakinan terhadap keupayaan Pranai dan menyokong keputusan untuk memberi tempoh dua bulan kepada beliau menjalankan kerjanya sebelum menarik balik pemerintahan tentera di selatan. Walaupun Perdana Menteri Thailand, Surayud Chulanont dan Jen Sonthi berusaha keras untuk mewujudkan keamanan dan kedamaian di selatan negara itu, wilayah yang majoriti penduduk Islam tersebut terus bergolak. Hari demi hari ada sahaja nyawa yang menjadi korban akibat dibunuh oleh puak tertentu. Setakat pertengahan bula Apr 2007 statistik menunjukan hampir 2597 terbunuh dan lebih 5000 mengalami kecederaan. Statistik berkenaan menjadi bukti bahawa ada pihak yang masih berusaha untuk memastikan matlamat mewujudkan keamanan di wilayah itu tidak tercapai.
Bagaimanapun, keadaan itu bukanlah halangan besar bagi kerajaan Thailand kerana apa yang penting mereka perlu meyakinkan penduduk Islam bahawa kerajaan yang ada sekarang benar-benar berhasrat untuk membantu mereka. Namun begitu, ia hanya menjadi realiti jika mereka mendapat sokongan penuh daripada penduduk Islam.
Namun setakat ini, kerajaan Thailand menghadapi kesukaran malah Surayud sendiri mengakui ia adalah satu tugas yang berat memandangkan di kalangan penduduk Islam masih wujud stigma terhadap ketelusan kerajaan dalam membantu mereka. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila setiap kali berlaku keganasan di wilayah itu, orang Islam akan dipersalahkan.
Dalam konteks ini kerajaan Thailand perlu benar-benar berusaha untuk meyakinkan penduduk Islam bahawa mereka perlu berganding bahu dengan kerajaan untuk memulihkan situasi di wilayah berkenaan, cara terbaik ialah melalui pendekatan muzakarah dan menyelesaikan segala kemelut yang dilihat menghadang usaha tersebut.
Ini termasuk menuding jari atau melabelkan ada penduduk Islam menyokong pemberontak atau puak pemisah. Tindakan seumpama itu hanya membangkitkan kemarahan umat Islam. Tambahan pula, setiap kali berlaku keganasan kerajaan Thailand seolah-olah tidak tahu siapa pelakunya, mereka sekadar menuduh puak pemisah.
Persoalannya, membuat tuduhan memang mudah tetapi apakah ia benar-benar dilakukan puak pemisah atau ada elemen lain yang memainkan peranan bagi mengkucar-kacirkan keadaan dan sekali gus memastikan wilayah itu tidak aman buat selama-lamanya. Atas sebab itulah, langkah kerajaan Thailand meminta kerjasama Malaysia bagi menangani isu di selatan adalah tindakan yang bijak. Surayud tidak seperti bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra yang terlalu angkuh untuk menyelesaikan masalah berkenaan sendirian.
Surayud sanggup bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana beliau percaya persamaan dari segi agama dan kaum antara orang Melayu di Malaysia dengan penduduk Islam di selatan mampu menjadi kelebihan. Namun begitu kerjasama ini tidak harus hanya berdasarkan kepada dialog diplomatik semata-mata, ia harus direalisasikan melalui agenda dan tindakan.
Berdasarkan hakikat itulah Malaysia sudah menyatakan kesanggupannya untuk sama-sama menyelesaikan isu di selatan. Namun Malaysia tidak akan bertindak seperti ‘hidung tak mancung pipi tersorong-sorong’ dan paling dibimbangi akan dituduh mencampuri urusan dalaman Thailand.
Tetapi apa yang perlu diingat, kalaupun Malaysia diminta bekerjasama ia tidak akan membawa apa-apa erti jika penduduk Islam tidak mempunyai keyakinan kepada kerajaan mereka. Oleh itu mahu tidak mahu, pendekatan memenangi hati dan minda penduduk tersebut perlu dilakukan.
Surayud perlu mencari jalan untuk tujuan tersebut seperti mana katanya dalam wawancara dengan Bernama, ‘‘Kami perlu berusaha dari arah itu dan dari bawah ke atas dan juga atas ke bawah.’’ Itulah sebenarnya yang perlu dilakukan dan bukannya bertindak menyelesaikan masalah melalui pendekatan ketenteraan.
Dalam konteks ini, Kerajaan Thailand perlu menanam pemahaman kepada penduduk Islam betapa pentingnya keamanan bagi membolehkan usaha membangunkan mereka dapat dilakukan, jika pemahaman ini tidak ada sampai ke bila pun masalah di selatan tidak dapat diselesaikan.
Penduduk Islam sudah lama menderita, sejak awal Januari 2004 mereka sentiasa dibelenggu oleh ketakutan, kebimbangan dan kekacauan. Hidup mereka seolah-olah berada di hujung tanduk. Setiap hari ada sahaja penduduk yang dibunuh tidak kira sama ada ia beragama Islam atau Buddha.
Sejak kebelakangan ini guru-guru agama dan imam ditahan secara membabi buta oleh pihak tertentu apabila berlaku serangan bom di selatan. Semua ini mampu menghakiskan keyakinan penduduk Islam kepada kerajaan. Istilah puak pemisah perlu diterjemahkan dalam bentuk fizikal dan bukannya sekadar melalui kenyataan semata-mata. Menurut penduduk Islam Thai di selatan Thailand mereka mengakui bahawa tidak keberatan untuk menyokong kerajaan bagi mewujudkan perdamaian tetapi apa yang paling penting kerajaan perlu menghapuskan prejudis terhadap penduduk Islam.
Sesungguhnya mereka memahami keamanan amat penting bagi wilayah ini membangun tetapi kami juga tertanya-tanya kepada setiap kali berlaku sesuatu serangan bom umat Islam dipersalahkan. Mungkin ada seorang dua terlibat tetapi jangan prasangka kepada semua penduduk Islam,’’ kata seorang tokoh agama di Narathiwat.
Justeru jalan untuk mewujudkan keamanan di selatan masih panjang, terdapat terlalu banyak rintangan dan persoalan yang perlu diselesaikan oleh kerajaan Thailand tetapi dalam masa yang sama penduduk Islam juga perlu mempunyai iltizam untuk mencipta kedamaian di bumi selatan itu.Mereka tidak harus mempunyai dendam berpanjangan atau perasaan prasangka kepada kerajaan. Sebaliknya mereka perlu memberi ruang kepada kerajaan Surayud untuk membuktikan keikhlasan. Jika mereka tidak memberi kerjasama sampai ke bila pun wilayah selatan akan dianggap lembah paling konflik di Asia Tenggara. Adalah diharapkan impian kerajaan Thailand dan cita-cita penduduk Islam untuk mewujudkan kedamaian di selatan akan tercapai, segalanya akan menjadi kenyataan jika kedua-dua pihak menggunakan fikiran dan bukannya perasaan bagi menyelesaikan masalah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


















KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin