Sememangnya tumbuhan memainkan
peranan penting dalam perubatan,
kesihatan dan kecantikan. Di Malaysia sahaja terdapat lebih daripada
7000 spesis tumbuhan yang dapat
menghasilkan unsur-unsur kecantikan yang dikira dapat memberi manafaat kepada
manusia khasnya kaum wanita.
Menjadi harapan setiap wanita agar
kelihatan cantik sentiasa terutamanya yang sudah dan bakal mendirikan
rumahtangga agar kebahagiaan berkekalan dan keremajaannya dapat dipertahankan
walaupun sudah berusia. Pelbagai cara dilakukan agar tampak awet muda,
terutamanya menerusi rawatan tradisional yang menggunakan bahan-bahan asli yang
berasaskan tumbuh-tumbuhan. Apabila melihat kulit mulus mula berkedut, rambut
hitam mula beruban, timbul semacam perasaan
dan rasa rendah diri jika dibandingkan dengan wanita yang seusia tetapi
masih kekal muda.
Sebelum berkahwin ramai wanita tidak
terlalu memikirkan kehalusan kulit, bentuk tubuh mahupun keremajaan kulit.
Amalan dan petua orang dulu-dulu sudah lama ditinggalkan. Perawatan tradisional
diganti dengan perubatan moden sehingga rahsia alam terkubur begitu sahaja.
Alangkah sayangnya jika keadaan ini terus berlaku. Kerancakan negara barat
mengkaji khasiat tumbuh-tumbuhan tropika, samada untuk rawatan pelbagai
penyakit ataupun sebagai ramuan kosmetik menunjukkan mereka mula menghargai dan
mengkormesilkan tumbuhan yang biasa dijadikan ulam atau rencah masakan
masyarakat kita.
Berikut
disertakan beberapa petua khasnya kepada bakal-bakal pengantin untuk persiapan
ke gerbang perkahwinan merangkumi persiapan luaran dan dalaman.
MENJAGA
KESIHATAN KEPALA DAN KECANTIKAN RAMBUT
Rambut sememangnya mahkota wanita.
Beberapa petua yang sering diamalkan oleh orang dulu-dulu nyata kebanyakannya
membawa kesan yang mujarab jika selalu diamalkan walaupun sukar dibuktikan
dengan menggunakan kaedah saintifik. Bagi wanita yang ingin mendapatkan rambut
yang hitam berkilat dan tidak cepat beruban, minyak kelapa hijau (dibuat
sendiri) dan dimasak bersama daun kermak (dibiarkan sejuk), kemudian dilumurkan
pada rambut semalaman sebelum dicuci dikatakan membawa kesan yang sangat
mujarab. Bagi yang berambut nipis dan ingin melebatkan rambut pula, petua yang
harus diamalkan ialah menggunakan air embun yang bertakung pada pangkal pokok pisang
dan dilumurkan ke rambut. Cara ini dikatakan dapat menyelesaikan masalah rambut
nipis.
Selain itu, serai juga boleh
digunakan sebagai 'syampu' rambut selain daripada digunakan sebagai perencah di
dalam masakan. Caranya, tumbuk batang serai hingga pecah dan gosokkan pada
kepala ketika mandi. Bau harum serai akan melekat pada rambut dan menghilangkan
kotoran pada kulit kepala.
Mandi wap juga dikatakan boleh
merawat rambut. Rawatan ini menggunakan bahan-bahan seperti daun pandan, minyak
kelapa, telur, adpokat, lobak merah, lidah buaya ataupun daun semangkuk.
Tetapi, tidak semua bahan ini digunakan bersama. Lumrahnya, daun pandan dan
minyak kelapa antara bahan yang tidak ditinggalkan. Penggunaan bahan lain
bergantung kepada keadaan. Jika rawatan ini selalu diamalkan, ia dipercayai
dapat menghitam dan melebatkan rambut dan sentiasa kelihatan bermaya. Ia juga
dikatakan dapat membantu mengatasi masalah keguguran rambut, menghilangkan
kelemumur dan memulihkan masalah rambut bercabang. Cara ini juga dikatakan
membantu merehatkan fikiran dan dapat menghilangkan penyakit migrain atau
pening kepala. Sejauh mana kebenarannya, sukar untuk dibuktikan.
MENCANTIKKAN
KULIT MUKA DAN PENJAGAAN KULIT
Manakala khasiat pinang muda pula
tidak ramai yang mengetahuinya, tetapi pada seorang pengamal petua kecantikan
tradisional, Puan Hamadah Datuk Ghazali, 53 tahun, ia sudah menjadi amalan
keluarganya menggunakan pinang muda (yang bijinya masih berlendir) disapukan
pada muka. Ianya dikatakan dapat melicinkan kulit muka dan awet muda. Selain
itu, beliau juga mengamalkan 'bersabun' belimbing besi dan asam jawa. Belimbing
besi yang masak ranum diramas bersama asam jawa lalu dilumurkan pada badan
untuk meninggalkan kotoran dan bertindak sebagai antiseptik kulit yang
gatal-gatal. Bagi menghaluskan kulit pula, beras pulut goreng yang ditumbuk
halus (seperti tepung) dicampur bedak sejuk dan dijadikan lulur dan digosok
seminggu sekali pada badan. Ia dikatakan berfungsi menanggalkan daki dan
sel-sel mati. Tapak kaki pula boleh dihaluskan dengan menggosok asam jawa.
Selain itu, wanita juga dinasihati
menjalani rawatan kecantikan merangkumi lulur, manggir, bleaching
(mencerahkan kulit) dan mandi pupur. Lulur dikatakan dapat mengurangkan parut
muka, menguning dan melicinkan kulit. Bahan lulur mengandungi kunyit, beras
yang dijadikan tepung dan daun pandan serta temu giring. Manggir pula
dipercayai dapat membantu memutihkan kulit, menegang dan memejalkan kulit
badan. Ianya boleh dijadikan penyental dan pupur, diperbuat daripada beras pulut
ditumbuk halus dan ramuan dedaunan khusus manggir. Ia elok dilakukan seminggu
sekali.
Bleaching yang mengandungi
kayu cendana dan lavendar pula dikatakan dapat memutih dan mencerahkan
kulit dengan lebih pantas. Manakala mandi pupur pula boleh menjadikan kulit
gebu, halus, lembut dan sentiasa lembap. Ramuannya ialah kacang soya yang
dikisar halus, dadih, serbuk badam dan madu. Semua bahan ini disatukan dan
digosok ke seluruh badan hingga kering. Ia dikatakan cara yang paling berkesan.
Selain itu, cara yang agak jarang
digunakan ialah mandi Cleopatra. Ianya menggunakan pupur daripada lumpur yang
bercampur madu, telor, minyak zaitun, minyak bunga matahari dan bahan lain.
Caranya, bahan berkenaan disapu seluruh badan, dibiarkan kering dan kemudian
dibersihkan dengan air sambil digosok rata. Mandian ini dipercayai membantu
menegang, memejal, menghalus dan memberikan khasiat pada kulit. Hasilnya, kulit
terasa lembut dan lambat berkedut.
Disamping itu, hampas kelapa
dikatakan berkesan menanggalkan daki pada badan dan melembut serta melembapkan
kulit. Selain itu, kacang soya yang dijadikan serbuk sesuai dijadikan penyental
pada kulit muka dan badan. Dicampur air mawar atau air biasa, ia melembut,
memutih dan menggebukan kulit, sesuai kepada semua jenis kulit. Manakal taufu
daripada kacang soya juga boleh beri kesan yang sama dan boleh digunakan terus
pada badan atau wajah.
Manakala serbuk beras pulut dan
beras pulut hitam khusus menanggalkan sel kulit mati, mengurangkan parut
disamping memerah dan memutihkan kulit wajah dan badan. Selain itu, air kelapa,
adpokat dan lobak merah dikatakan juga amat berkesan dalam menjadikan kulit
gebu putih dan halus. Selain itu, daun inai juga boleh memerah dan menghaluskan
kulit muka dan menghilangkan jerawat dan bekas parut pada muka. Caranya mudah,
tumbuk halus dan sental pada kulit muka. Begitu juga dengan kulit pisang,
sengkuang dan kentang yang dikatakan dapat menghilangkan parut di muka. Selain
itu, untuk menambah vitamin, menghalus serta menyegarkan kulit, minum perahan
epal, tomato, oren dan buah-buahan lain setiap hari. Khasiatnya sama jika
dimakan setiap hari dan tidak memudaratkan jika makan berlebihan.
MENAIKKAN
SERI WAJAH
Bagi bakal pengantin yang ingin
menaikkan seri wajah pula amat dinasihatkan melakukan petua turun temurun orang
tua iaitu mandi bunga. Selain itu, mandi bunga juga dilakukan untuk mencari
jodoh dan membuang sial. Sejauh mana keberkesanannya tidak diketahui.
Kadangkala, ada juga wanita yang sudah menjalankan adat mandi bunga ini lebih
daripada tiga kali, namun hasilnya tetap sama, masih belum dipinang orang.
Tetapi, walaupun begitu manusia hanya dapat berikhtiar dan berusaha.
Berbalik tentang petua menaikkan
seri wajah, mandi bunga juga boleh dilakukan. Ia juga dipercayai boleh menolak
bala di samping menyegar dan merehatkan badan. Bunga yang digunakan termasuk
melati, melur, tanjung, mawar, kekwa, cempaka dan pelbagai bunga lain asalkan
merangkumi tujuh jenis bunga dan pelbagai warna. Hirisan limau purut dan limau
nipis boleh dicampur bersama untuk menambah haruman. Selalunya orang-orang tua
turut membaca ayat Al-Quran pada mandian ini.
Selain itu, rawatan lebih sempurna
jika bahagian dalaman diambil kira. Jelas beberapa pengamal petua lama, kunyit
juga boleh digunakan untuk menaikkan seri wajah. Ambil sebesar ibu jari, tumbuk
dan perah untuk mengambil patinya (jangan campurkan air). Lakukan dua atau tiga
kali seminggu, dua bulan sebelum berkahwin.
Selain itu, mungkin ada yang pelik
apabila mendengar makan bunga mawar untuk menaikkan seri wajah. Kunyah sekuntum
sehari, sepanjang 44 hari, disertai selawat nabi. Begitu juga dengan pengamalan
kurma Cina yang lazimnya digunakan oleh orang Cina. Tetapi masih ramai yang
tidak mengetahui bahawa ianya bagus untuk menambah darah dan menaikkan seri
wajah. Caranya, rebus ia dengan air hingga warnanya menjadi seperti warna teh.
Amalkan seperti minum air suam.
MENGHILANGKAN
BAU BADAN
Masalah bau badan memang memeningkan
kepala. Walaupun sebotol minyak wangi digunakan, namun badan tetap berbau bila
kesan minyak wangi yang digunakan hilang kesannya. Tahukah anda semua, zaman
datuk, nenek dan moyang kita tidak memerlukan minyak wangi (mungkin kerana
belum wujud lagi). Mereka hanya menggunakan bahan-bahan asli untuk mengatasi
masalah bau badan. Daun sirih dikatakan tumbuhan yang paling sesuai untuk
mencegah hal ini. Daun ini diramas dan disapukan pada badan terutama ke
bahagian tubuh yang berbau. Insya-Allah, berkesan.
Selain itu, mandi susu juga boleh
dilakukan. Rawatan ini mengandungi campuran susu soya, susu kambing, madu dan
aromaterapi. Semuanya dimasukkan di dalam tab mandian berisi air suam.
Kemudian, berendam selama 15-20 minit. Lakukan sekurang-kurangnya seminggu
sekali.
MENGEKALKAN
KEDARAAN SELEPAS BERKAHWIN (BERSALIN)
Petua orang tua disebelah pantai Timur
pula, pada malam pertama selepas bersama suami, mereka menyarankan kepada bakal
pengantin agar membasuh alat sulit dengan menggunakan air ramasan sirih untuk
menolak angin dari dalam faraj ke luar. Selain itu daun sirih juga dikatakan
boleh berguna untuk mencuci alat sulit selepas datang haid.
Selain
itu, keremajaan dan kejelitaan wanita dipercayai boleh dikekalkan dengan
mengamalkan ulam. Daun legundi, daun bebuas, pucuk kaduk, daun mengkudu, pucuk
belantas, cekur, daun serindit burung, ulam raja, daun selom, mata kunyit, temu
kunci dan peria adalah tumbuhan yang patut dijadikan santapan harian. Temu
kunci dipercayai berkhasiat mengembalikan kedaraan wanita selepas bersalin.
Segala maklumat mengenai pelbagai khasiat tumbuh-tumbuhan ini terkandung di dalam
Kitab Tib Melayu Lama yang berusia lebih daripada 500 tahun yang kini
disimpan di Arkib Negara.
Berpandukan
buku inilah, seorang pengamal petua kecantikan, Puan Hasnah Abdul Naim, 61
tahun, yang sejak kecil dipaksa makan beberapa jenis daun mengikut malam
tertentu. Salinan buku itu kini terdapat dalam simpanannya yang dalam tulisan
jawi. Malam Isnin dan malam Khamis, beliau dipaksa makan daun legundi dan daun
inai. Pada malam lain, lain pula ulamnya. Jadi, tidak hairanlah jika ada yang
menyangka beliau baru berusia lewat 30an. Katanya, orang dulu-dulu tidak
menerangkan khasiatnya secara jelas tetapi berkias. "Orang beranak biar
banyak kali tetapi biar seperti kain basuh sekali". Maksudnya, biar berapa
kali beranak pun, kewanitaan tetap akan terpelihara seperti waktu mula bersama.
Umpamakan diri seperti kain, jika dibasuh berkali-kali, tentu luntur warnanya,
tetapi dengan mengambil ulam-ulam ini, Insya-Allah, kewanitaan akan kekal lama.
Akar
inai juga juga bagus dijadikan tasak untuk mengemaskan rahim bagi mereka yang
lepas bersalin. Mereka yang ingin dapat anak lambat selepas berkahwin ataupun
menjarangkan anak, boleh juga mengamalkannya. Caranya, ambil sembilan urat
akar, rebus dan minum setengah cawan, dua kali seminggu. Jika ingin berehat
setahun daripada bersalin, amalkan sepanjang tempoh itu.
KESIMPULAN
Seperti
yang dijelaskan, memang tidak dapat dinafikan bahawa tumbuh-tumbuhan
sememangnya mempunyai hubungan yang rapat dengan kecantikan, kesihatan dan
pelbagai faedah yang lain. Dengan menggunakan tumbuhan, bagi oarang Islam
khasnya, mereka selalu mengamalkan pemakanannya seiring dengan bacaan ayat-ayat
suci Al-Quran kerana sesungguhnya Allah sahaja yang menentukan segalanya.
Walaupun seribu ikhtiar dilakukan, jika Allah tidak mengizinkannya, gunalah apa
cara sekalipun, pasti tidak akan berjaya. Di dalam Al-Quran sendiri pun ada
menyebut setiap penyakit mempunyai penawarnya kecuali maut.
Apapun petuanya, yang penting
ketekunan mengamalkannya. Janganlah baru sekali dua mengamalkannya, sudah terus
mahukan perubahan yang mendadak. Setiap petua yang diturunkan, keyakinan dan
kesabaran adalah yang paling penting. Andainya tiada faedahnya, pasti nenek
moyang kita tidak menurunkan pesanannya kepada anak cucunya. Selain itu,
penggunaan bahan asli ini tidak perlu untuk dirisaukan penggunaannya, kerana
ianya tidak akan memudaratkan jika diguna berlebihan, tidak seperti bahan-bahan
moden yang menggunakan banyak bahan-bahan tambahan dan campuran kimia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan