Pada bulan purnama dalam bulan Mei, 623
S.M. ,seorang putera Sakya yang bernama Siddhartha Gotama telah dilahirkan di
Kapilavathu yang terletak di sempadan Nepal. Baginda telah dilahirkan untuk
menjadi guru yang paling mulia di dunia ini.
Semasa baginda meningkat umur 16 tahun,
baginda telah mendirikan rumah tangga, dan telah dikurniakan seorang
putera yang bernama Rahula. Baginda hidup mewah dalam keadaan aman dan
damai selama 13 tahun. Tetapi sifat baginda yang berbelas kasihan dan suka
bertafakur tidak membenarkannya menikmati segala kemewahan yang terdapat di
istananya. Baginda tidak kenal akan kesedihan tetapi baginda amat terharu
dengan penderitaan manusia. Sungguhpun kehidupannya mewah dan senang, baginda sedar
akan penderitaan sejagat. Istananya
yang dihiasi dengan segala barangan duniawi yang menggodakan itu tidak lagi
memikat hatinya, masa sudah sampai untuk baginda meninggalkan istana. Dengan
menyedari hampanya kenikmatan deria yang sangat dihargai oleh orang biasa, dan
nilainya perbuatan menyekat kemahuan diri sendiri oleh orang alim, baginda pun
meninggalkan kehidupan duniawi pada umur 29 tahun. Dengan hanya memakai sehelai
kain kuning orang pertapa, beliau merayau-rayau keseorangan, mencari Kebenaran
dan Kesejahteraan.
Beliau mempelajari dan mendapat nasihat
dari guru-guru yang terkenal pada masa itu, tetapi masih tidak dapat mencapai
apa yang dicarinya melalui sumber luar. Cara hidupnya yang amat sederhana
sebagai seorang petapa dibuktikan tidak berhasil langsung. Keadaan pada masa
itu telah memaksanya beralih kepada dirinya sendiri untuk mencari Kebenaran
dari batin. Beliau mencari, berfikir, dan akhirnya beliau sedar akan Kebenaran
yang tidak dipelajari dari guru-gurunya. Pencerahan tercapai, dengan cahaya ini
segala-galanya telah didedahkan dalam keadaan yang sebenarnya.
Setelah hebat berjuang selama 6 tahun,
tanpa panduan dan pertolongan ghaib dengan hanya bergantung kepada usaha dan
kearifannya sendiri, beliau telah menghapuskan segala pencemaran dan menamatkan
proses loba. Dengan pengetahuan batinnya beliau berjaya memahami segala-galanya
yang dalam keadaan sebenarnya. Kerana itu, beliau menjadi Buddha, Yang
Bercerah, sewaktu berusia 35 tahun.
Sebagai penjelmaan sifat-sifat mulia yang
sempurna beliau mengajar dengan
penuh kearifan sepadan dengan belas kasihannya yang tidak
terhingga. Beliau terus-menerus berikhtiar untuk kebaikan dan kebahagiaan
sekalian tanpa niat peribadi selama 45 tahun dan mencapai MahapariNirvana
bila berusia 80 tahun. Beliau tidak meninggalkan sesiapa pun sebagai pengganti
beliau. tetapi memperingatkan pengikut-pengikutnya supaya menganggap ajaran dan
disiplinnya sebagai guru mereka.
Ciri-ciri seperti ketabahan hati, kearifan
yang mendalam, cinta murni sejagat, belas kasihan tanpa batasan, kebaktian,
penolakan yang istimewa, kesucian yang sempurna, penghidupan peribadi yang
bitara ,teladan-teladan yang berhubung dengan penyebaran ajaran, dan pencapaian
matlamatnya — segala faktor ini telah mendorong umat manusia untuk menganggap
Buddha sebagai guru yang paling mulia yang pernah memijak kaki pada bumi ini.
Sistem moral dan filosofis yang dijelaskan
oleh Buddha dipanggil Dharma, ataupun ia lebih dikenali sebagai
Buddhisme. Sebenarnya, Buddhisme
bukanlah satu agama kerana ianya bukan
sistem kepercayaan dan pemujaan yang menumpukan taat setia kepada Tuhan yang
sakti. la adalah suatu pelajaran yang membimbing seseorang penganut ke arah
pencapaian Kearifan Agung dan pembebasan dari segala kejahatan melalui hidup
dan pemikiran yang suci.
Di
sini, kepercayaan secara membabi
buta diketepikan dan digantikan
dengan keyakinan yang berdasarkan kepada pengetahuan. Walaupun seseorang
mencari tempat perlindungan dari Buddha yang dijadikan panduan dan Gurunya, dia
tidak merendahkan diri sendiri sebagai hamba. Seseorang penganut agama Buddha
bukanlah hamba kepada mana-mana kitab atau individu. Tanpa menyerahkan
kebebasan untuk memikir, dia mempergunakan keazaman untuk memperkembangkan
kearifannya hingga dia sendiri mencapai Kebuddhaan, kerana semua hidupan
berpotensi menjadi Buddha. Sudah tentu penganut-penganut Buddha menyanjunginya
sebagai pihak berkuasa, tetapi Buddha tidak menuntut milik kuasa ini. Kesedaran
yang langsung menjadi kriteria kebenaran yang tunggal dalam Buddhisme. Idea
utamanya ialah pemahaman yang rasional.
Walaupun di kalangan penganut Buddha,
bunga dan lain-lain dipuja kepada Buddha sebagai tanda penghormatan, tetapi Buddha tidak disembah sebagai Tuhan.
Sewaktu hidupnya, Buddha amat disanjung
tinggi tetapi beliau tidak menuntut sifat ketuhanan bagi dirinya. Beliau
seorang manusia, seorang manusia yang luar biasa. Walaupun demikian, haruslah
dinyatakan bahawa tidak pernah wujud seorang Guru yang "begitu menyerupai
tuhan tetapi tidak bertuhan seperti Buddha". Hal penghormatan kepadanya
tidaklah begitu ditegaskan oleh Buddha berbanding dengan kepatuhan kepada
ajarannya. Nasihat Buddha, "Barang siapa yang mengamalkan ajaran saya
menghormati saya dengan ikhlasnya."
Tambahan, bersembahyang untuk memperoleh
cita-cita duniawi serta kepentingan diri adalah bertentangan dengan Buddhisme.
Sebaliknya, Buddhisme menegaskan meditasi sebagai cara untuk mencapai disiplin
diri, pengawalan diri, penyucian dan pencerahan.
Dalam Buddhisme tidak terdapat Tuhan
Pencipta yang patut dipatuhi dan ditakuti oleh penganutnya. Buddha telah
meningkatkan status manusia dengan tidak mengajarkan kewibawaan Tuhan kepada
manusia. Buddhisme mengajar bahawa setiap orang dapat menyelamatkan diri tanpa
bergantung kepada Tuhan atau orang tengah seperti paderi-paderi. Buddhisme tidak mengajarkan apa-apa dogma
yang harus seseorang itu menerima tanpa menyoal walaupun penerimaan sedemikian
adalah bertentangan dengan pengetahuannya. Buddhisme juga tidak mengajar sistem
kepercayaan yang berpandukan penerimaan tanpa
bertaakul. Selain itu, seseorang yang ingin mengamalkan
Buddhisme tidak payah melakukan upacara-upacara yang karut atau membuat
pengorbanan yang sia-sia.
Karl Marx menyatakan bahawa "Agama
adalah roh yang wujud dalam keadaan yang tiada roh, adalah hati di dalam dunia
yang tiada berhati, adalah candu kepada umat manusia". Berdasarkan
kenyataan ini, Buddhisme tentulah bukan suatu agama. Tetapi jikalau ertinya
agama itu adalah suatu sistem pelepasan dari kejahilan hidup, maka Buddhisme adalah
dianggap sebagai agama.
Asas Buddhisme termaktub di dalam Empat
Kebenaran Mulia yang bersangkutan dengan apa yang dikenali sebagai kehidupan.
Buddha telah menyatakan "Saya mengisytiharkan bahawa di dalam
tubuh badan ini, dengan adanya tanggapan dan fikiran, wujudlah dunia, permulaan
dunia, penamatan dunia dan jalan yang membawa kepada penamatan dunia".
Kata-kata yang menarik ini sebenarnya merupakan Empat Kebenaran Mulia yang
telah disedari oleh Buddha dengan pengetahuan batinnya. Kebenaran-kebenaran itu
wujud tidak kira sama ada Buddha-Buddha ada atau tidak, yang akan terus
berkekalan dengan masa. Hanya Buddha yang boleh mendedahkan kebenaran-kebenaran
ini kepada dunia yang jahil. Demi kesedaran Kebenaran-kebenaran ini, Buddha
tidak terhutang budi kepada sesiapa pun kerana Kebenaran-kebenaran itu tidak
diketahui sebelumnya. Jadi, tiada asas untuk mengatakan bahawa Buddhisme adalah
pertumbuhan dari agama Hindu, walaupun kedua-dua agama mengamalkan doktrin-doktrin asas yang
sama. Ini adalah
kerana doktrin-doktrin itu mematuhi Kebenaran Abadi, atau Dharma.
Kebenaran Mulia Yang Pertama adalah
berkenaan dengan Dukkha yang bermakna penderitaan. Kepada seseorang yang
dapat memahami secara mendalam, segala hidup merupakan penderitaan.
Semua manusia tertakluk kepada kelahiran,
dan seterusnya keruntuhan, penyakit dan maut. Tiada sesiapa pun boleh
dikecualikan daripada keempat-empat punca penderitaan ini. Kemahuan yang tidak
tercapai juga merupakan penderitaan. Secara ringkas, tubuh badan kitalah punca
penderitaan.
Kebenaran Mulia Pertama mengenai
penderitaan yang berkaitan dengan unsur-unsur hidupan serta fasa-fasa hidup
yang berlainan patut dianalisis dan diperiksa secara teliti. Peperiksaan ini
akan membawa kepada pemahaman betul tentang diri sendiri.
Sebab musabab penderitaan ini ialah
Kehasratan atau Perpautan yang merupakan Kebenaran Mulia Yang Kedua. Kehasratan
ini merupakan suatu daya akal fikiran yang kuat yang sudah terpendam pada diri
kita semua yang menjadi punca segala fenomena yang mencapah dan beraneka ragam.
Secara tidak langsung, Kebenaran ini menguasai kelahiran-kelahiran lampau,
sekarang dan yang akan datang.
Pandangan benar mengenai Kebenaran Mulia
Pertama akan membawa kepada penghapusan Kehasratan, dan Kebenaran Mulia Kedua
ini menguasai sikap mental manusia biasa terhadap objek-objek deria yang luar.
Kehasratan ini, mahupun dalam bentuk kasar
atau halus, mengakibatkan kelahiran dan kematian yang berulang-ulang dan
merupakan punca segala kejahilan hidup, ia hanya boleh diatasi dengan berpandukan
Jalan Mulia Lapan Lapis.
Kebenaran Mulia Ketiga berkenaan dengan
penghentian penderitaan secara langsung, yang tercapai apabila segala bentuk
kehasratan sudah dihapuskan. Inilah Nirvana, puncak pencapaian dalam
Buddhisme, dan ia boleh dicapai oleh sesiapa pun dalam hidup ini sekiranya dia
bertulus ikhlas dalam usahanya. Kebenaran Mulia Ketiga ini walaupun bergantung
kepada diri sendiri, adalah jauh dari taakulan logik dan bersifat-bukan
duniawi, tidak seperti Kebenaran Mulia Pertama dan Kedua, yang bersifat
duniawi. Ini sesuatu kesedaran yang tulen —suatu Dharma yang mesti
difahami melalui mata mental, dan melalui peninggalan hidup duniawi dengan
sepenuhnya. la tidak bermakna meninggalkan objek-objek luaran sahaja tetapi
sebenarnya bermakna meninggalkan perbuatan yang timbul di batin terhadap dunia
luar. Harus dijelaskan di sini bahawa cuma penghentian penderitaan atau
pembinasaan kehasratan itu bukan Nirvana. Kalau tidak. Nirvana hanya
bererti kemusnahan. Tetapi sebenarnya, Nirvana adalah suatu keadaan yang
positif dan bukanlah suatu keadaan yang fana. Di dalam Nirvana, tiada
sesuatu pun yang dimusnahkan kerana Buddhisme menafikan sesuatu roh yang kekal
atau Atma. Merujuk kepada Nirvana, Buddha berkata, "Wujud keadaan
yang tanpa dilahirkan, tanpa berasal-unsul, tanpa dibentukkan dan tanpa
bersyarat. Kalau sebaliknya, tiada wujud keadaan yang tanpa dilahirkan, tanpa
berasal-unsul, tanpa dibentukkan dan tanpa bersyarat, maka tidak mungkinlah
suatu pelepasan itu wujud bagi seseorang yang dilahirkan, berasal-usul,
dibentukkan dan bersyarat.
Kebenaran Mulia Ketiga mesti dicapai
dengan cara memajukan Jalan Mulia Lapan Lapis, iaitu Kebenaran Mulia Keempat,
yang merupakan Jalan Tengah ( Majjhima Patipada ). la terdiri daripada
Fahaman Benar, Fikiran Benar, Pertuturan Benar, Perbuatan Benar,
Rezeki Benar, Usaha Benar, Kesedaran Benar dan Tumpuan Benar. Segala ini
merupakan daya-daya moral akal yang sungguh berkuasa yang dikumpulkan untuk
menentang satu daya jahat yang terpendam —Kehasratan. Jalan Tengah ini,
yang mengandungi sifat-sifat Sila, Samadhi dan Bhavana,
adalah terkandung maknanya di dalam rangkap pendek di bawah:
Menghentikan
segala kejahatan,
Mengerjakan kebaikan,
Membersihkan fikiran diri sendiri,
Inilah nasihat semua Buddha.
Kebenaran Mulia Pertama, Kedua dan Ketiga
berkenaan dengan falsafah ajaran Buddha
manakala Kebenaran Mulia Keempat adalah mengenai pengamatan yang selaras dengan
falsafah tersebut.
Buddhisme bukanlah suatu falsafah biasa
yang mengemukakan teori-teori yang tidak sesuai bagi seseorang itu melepaskan
diri daripada penderitaan dan maut. Malahan ia bukan suatu sistem moral biasa,
yang walaupun perlu, hanya merupakan tahap amalan Buddhisme yang terendah
sekali. Dharma-Buddha ialah suatu sistem moral dan filosofis yang telah diasaskan
berdasarkan kenyataan-kenyataan yang telah diuji dan disahkan melalui
pengalaman individu. Jadi Buddhisme adalah rasional dan praktis dan tidak
mempunyai ruang bagi doktrin-doktrin esoterik, paksaan, seksaan dan kelampauan.
Bolehlah dikatakan bahawa sejak permulaan Buddhisme 2500 tahun dahulu, tiada
setitis darah pun yang tertumpah atas nama Buddhisme. Malahan tiada sesiapa pun
yang telah menganuti agama ini secara dipaksa. Buddhisme kaya dengan semangat
toleransi yang dikembangkan kepada manusia dan juga setiap hidupan yang lain.
Di dalam catatan sejarah dunia ini, Buddha
merupakan manusia yang pertama sekali cuba menghapuskan keabdian. Beliaulah
yang telah menentang dengan
ketabahan hatinya mengenai
keburukan sistem kasta yang telah menghalang kemajuan umat manusia.
Dengan tidak mendiskriminasikan kasta, warna kulit dan pangkat, beliau telah
menubuhkan suatu sistem Sangha yang berpandukan sistem demokrasi bagi kaum
lelaki dan wanita
yang layak. Buddhalah yang telah menyedarkan kaum wanita
tentang kepentingan mereka kepada masyarakat. Beliau jugalah yang telah
mengharamkan pembunuhan binatang-binatang
untuk dikorbankan. Beliau telah
menggalakkan pengikut-pengikutnya supaya mengembangkan perasaan Metta
atau kasih murni kepada semua hidupan. Hanya dengan perasaan Metta dalam
Buddhisme sahaja yang akan berjaya memecahkan segala halangan yang menggalakkan
pemisahan. Seseorang Buddhis tidak membezakan antara yang jauh dan yang dekat.
Baginya, tiada musuh atau orang asing dan tiada pengkhianat atau pariah. Ini
adalah kerana cinta sejagat yang disedari melalui kefahamannya telah mewujudkan
suatu tali persaudaraan di kalangan semua hidupan. Buddhis yang benar adalah
rakyat negara dunia ini.
Jadi
Buddhisme adalah unik
disebabkan sifat-sifatnya yang
rasional, yang praktis, yang mujarab dan yang sejagat. Buddhisme merupakan
kuasa penggabungan yang paling mulia dan merupakan satu-satunya alat yang boleh
menolong melepaskan dunia ini dari penderitaan.
Selain daripada Empat Kebenaran Mulia yang
menjadi intisari Buddhisme, Karma dan
Kewujudan Semula membentuk dua tiang asas ajaran Buddhisme yang saling
bertindakan, walaupun kedua-dua konsep ini sudah menjadi kepercayaan urnum di
India sebelum Buddha, tetapi beliaulah orang yang telah menerangkan dan
merumuskan konsep-konsep itu secara lengkap yang mana kita fahami sekarang.
Karma ialah hukum moral mengenai sebab dan
akibat. Erti Karma yang muktamad ialah niat moral dan tidak moral ( Kusala
akusala cetana ). la merangkumi perbuatan lalu dan perbuatan sekarang. Jadi
bolehlah dikatakan bahawa kita adalah akibat perbuatan kita yang lalu dan apa
yang kita akan jadi nanti bergantung kepada apa yang kita lakukan sekarang.
Namun demikian, patutlah dikatakan lagi bahawa kita bukan hasil sepenuhnya dari
apa yang kita lakukan dahulu, dan juga apa yang kita akan jadi nanti tidak
bergantung sepenuhnya kepada perbuatan kita sekarang. Adalah jelas bahawa masa
sekarang merupakan akibat dari masa lalu selain menjadikan punca bagi masa
depan, tetapi ia bukanlah selalunya satu petunjuk yang benar bagi kedua-duanya
masa lalu dan masa depan, begitulah kompleks maksudnya hukum Karma. Berasaskan apa yang kami lakukan,
pada hidup ini atau pada hidup kelak akan kami memperoleh hasil. Apa yang kami
memperoleh sekarang adalah apa yang kami telah lakukan sama ada pada masa lalu
atau pada masa sekarang.
Karma
adalah suatu hukum yang bertindak di dalam lingkungannya yang tersendiri tanpa
dikuasai oleh pengaruh luar. Hukum ini menerangkan masalah penderitaan, misteri
mengenai kuasa takdir yang wujud dalam kepercayaan agama lain, kelahiran bayi
yang bijak bistari, dan lebih-lebih lagi menerangkan ketidaksamaan umat
manusia.
Kewujudan semula merupakan korolari Karma. Keunggulan Bodhisatta dan doktrin
untuk mencapai Kesempurnaan adalah berdasarkan kepercayaan Kewujudan Semula. Karmalah yang menentukan kewujudan
semula, Karma yang lalu menentukan
kelahiran kini dan Karma kini
bergabung dengan Karma yang lalu akan
menentukan keadaan masa hadapan. Kebenaran mengenai peranan Karma dalam masa kini tidak perlu
dibuktikan lagi kerana ia telah pun jelas. Manakala bukti untuk masa-masa lalu
bolehlah diperoleh daripada ingatan dan laporan. Untuk masa depan pula, bukti
diperoleh daripada penarikan kesimpulan.
Doktrin Buddhisme mengenai kewujudan
semula patutlah dibezakan dari teori mengenai kelahiran semula dan penjelmaan
jiwa yang wujud dalam sistem-sistem yang lain. Ini disebabkan Buddhisme
menafikan wujudnya suatu roh kekal yang boleh menjelma, sama ada dicipta oleh
Tuhan ataupun ia timbul dari satu Paramatma.
Buddhisme membahagikan hidupan kepada nama
dan rupa yang sentiasa dalam keadaan berubah. Seluruh proses mengenai fenomena
mental dan fizikal yang selalu timbul dan lenyap, kadang-kadang dipanggil oleh
Buddha sebagai Atta atau diri. Walaupun demikian ini adalah suatu proses
dan bukan suatu identiti yang diistilahkan.
Buddhisme
tidak menafikan kewujudan
keperibadian yang ketara. Ia
menafikan kewujudan suatu hidupan yang muktamad dan tidak berubah atau entiti
yang kekal, tetapi ia tidak menafikan suatu keadaan yang berterusan dalam proses itu. Istilah filosofis
Buddhisme bagi individu ialah Santati, yakni perubahan yang sentiasa
berterusan . Keadaan berterusan mental
dan fizikal yang ditentukan oleh Karma
ini tidak mempunyai permulaan ataupun pengakhiran kecuali melalui pengamatan
Jalan Mulia Lapan Lapis. Ajaran Buddha ini menggantikan konsep ego yang kekal
atau roh abadi dalam sistem-sistem agama yang lain.
Sebagaimana yang dinyatakan oleh T.H.
Huxley, “ Buddhisme adalah suatu sistem yang tidak mengenali Tuhan (mengikut
fahaman orang Eropah), dan menafikan bahawa manusia mempunyai roh. Buddhisme
menganggap konsep keabadian sebagai suatu kesilapan, dan menolak kemujaraban
amalan-amalan sembahyang dan pengorbanan. Sebaliknya ia menggalakkan manusia
untuk berdikari dalam usaha menyelamatkan diri sendiri. Walaupun Buddhisme
tidak memakai taktik sumpah kepatuhan atau mendapatkan bantuan daripada pihak
diraja, ia telah berjaya disebarkan ke sebahagian besar dunia ini dengan
pesatnya dan masih merupakan pengaruh yang kuat kepada sebilangan besar umat
manusia.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan