Ahad, 18 Disember 2011

MENCAPAI KEMENANGAN.

Dari Abi Abdullah Khabbab bin al Arat R.ha telah berkata, "Kami telah mengadu kepada Rasulullah S.A.W sedang Baginda pada waktu berbaring di bawah naungan Kaabah berbantalkan serban. Maka kami bertanya, apakah Tuan tidak berdoa memohon kemenangan bagi pihak kita? Adakah tidak Tuan berdoa bagi pihak kita? Maka bersabda Rasulullah S.A.W, "Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu ada yang ditangkap, lantas digali lubang lalu ia ditanam di dalamnya, kemudian ada yang digergaji kepalanya sehingga terbelah dua dan disikat badannya dengan sikat besi sehingga meluruhkan daging dan tulangnya, namun demikian itu tidak memalingkan ia dari agamanya. Demi Allah, Allah pasti akan menyempurnakan urusan ini (Islam) sehinggalah musafir dari Sana'a ke Hadhra Maut tidak lagi takut melainkan hanya kepada Allah, akan tetapi kamu adalah golongan yang gopoh". - Riwayat Imam Bukhari
Keghairahan untuk meraih kemenangan perlu ditenangkan seraya kita merujuk kepada manhaj perjuangan Nabi kita Muhammad S.A.W bagaimana Baginda S.A.W membina kemenangan. Hadis yang saya bawa sebagai renungan yang memaparkan bagaimana sikap Nabi S.A.W disaat berhadapan dengan keadaan yang sangat kritikal, apabila Para Sahabat sering di siksa dengan dahsyat oleh kuffar musyrikin. Antara mereka ialah Khabbab al Arat yang disalai oleh musyrikin di atas bara api dan dikelar jasadnya dengan besi panas sehingga masak dan luluh daging jasadnya. Kesan penyeksaan tersebut meninggalkan parut yang sangat hodoh pada diri Khabbab.
Satu ketika Khabbab pergi bertemu Nabi S.A.W yang sedang beristerehat di tepi Kaabah lantas bertanya, "Apakah Tuan tidak berdoa kepada Allah agar kita menang?
Sahabat sekalian, yang bertanya ini adalah insan yang berjuang malah menghadapi penyeksaan dahsyat oleh musuh dengan begitu tabah sekali. Yang bertanya ialah sahabat yang sanggup mempertaruhkan nyawa untuk pertahankan prinsip dan pegangan agama. Insan yang bertanya ialah Sahabat yang telah mewaqafkan dirinya untuk Islam dan perjuangan suci ini, tiba-tiba... Nabi S.A.W menjawab bahawa orang terdahulu lebih teruk menerima penyeksaan dari musuh-musuh Allah Taala sehingga ada yang digergaji kepalanya sehingga terbelah dua dan jasadnya disikat dengan sikat besi sehingga bercerai daging dari tulangnya namun mereka tetap mempertahankan agamanya.
Maka kamu yang datang meminta-minta agar didoakan kemenangan, biarpun kamu sangat perit berhadapan dengan kezaliman musuh, kamu adalah golongan yang gopoh dan tidak sabar menanti kemenangan yang dijanjikan Allah Taala.
Sifat Kemenangan
Kemenangan adalah suatu yang dianugerah oleh Allah Taala. Ia ( kemenangan ) tidak boleh dicipta oleh kita dengan maksud tiada kemenangan buatan kita selain ia anugerah Allah Taala dan tiada short cut untuk mencapai kemenangan. Demikianlah sunnatullah terhadap kemenangan atau nusrah yang dijanjikan buat mereka.
Pengertian lain yang senada dengan maksud perbahasan ini ialah betapa tidak sekali-kali tidak kita memetik buah yang belum masak. Sebagai analogi yang boleh saya bentangkan sebagai renungan kita bersama ialah bagaimana situasi seekor anak ayam yang masih berada di dalam cengkeram telur sebelum ia dilahirkan ke bumi yang ganas ini. Anak ayam di dalam cengkerang telur tersebut, mahu tidak mahu ia terpaksa menunggu satu tempoh matang ia menetas dan akhirnya hidup untuk membesar seperti ayam yang lain. Andai kata anak ayam ini tidak sabar untuk menetas demi melihat alam yang indah ini lalu ia cuba untuk memecahkan cengkerang telur dari dalam dengan paruhnya yang masih muda, nescaya usahanya itu gagal dan sia-sia.
Sikap tidak sabar ibunya juga boleh membawa padah kiranya tidak sabar ingin melihat anak kesayangannya lahir atau menetas lalu ia memecahkan cengkerang telor itu dengan paruhnya yang kuat, maka keluarlah anaknya tetapi tidak mampu bertahan lama kerana belum masanya yang matang bagi ia hidup. Anak ayam itu akan mati binasa angkara sikap gopoh ibunya.
Syarat Kemenangan
Saya kira demikianlah perihal perjuangan yang kita dokong ini. Walaupun kita ini bukanlah anak ayam yang masih lemah tetapi kita mesti sabar menanti detik kemenangan yang bakal di anugerahkan oleh Allah Taala setelah kita berjaya mendatangkan syarat-syarat kemenangan dengan baik dan berkesan. Kita mesti mengambil sunnatullah dalam perjuangan suci ini dengan kita gigih berjuang, ikhtiar melepasi segala cabaran, ikhlas dan istiqamah dalam mengenderai perjuangan, tabah mendepani ujian serta halangan dan berkorban apa jua sebagai taruhan buat perjuangan mulia ini.
Jangan sekali-kali kita menerobos keluar dari landasan sunnatullah ini kerana tidak sabar hendak menang dengan hanya kita melihat riak-riak kemenangan yang tidak pasti tetapi sarat dengan janji-janji manis kemenangan kononnya.
Saya menjangkakan, jika kita berfikir seperti ini pasti ada orang kata inilah golongan yang masih berminda pembangkang bukan minda pemerintah. Kita bukan tidak mahu kemenangan, tetapi kita mestilah melihat kepada beberapa persoalan bersama jawapannya terlebih dahulu.
Pertama : Untuk apa kemenangan itu mahu dicapai? Apakah ia bermaksud memberi kemenangan kepada Islam?
Kedua : Bersediakah kita dengan kemenangan? Apakah kemenangan itu kelak tidak menjadi fitnah kepada kita dan perjuangan yang didokong ini?
Ketiga : Bagaimana kemenangan itu dicapai? Apakah ia tidak melanggar batas syara' dan prinsip amal Islami? Kerana sudah tentu kaedah Islam ialah "matlamat tidak menghalakan cara".
Semua persoalan diatas mesti dijawab dengan hati yang jujur, jiwa yang tulus dan aqal yang ikhlas mengenai bagaimana situasi kita terhadap kemenangan yang ingin dicapai.
Ulama Seperti Tukang Tolak Kereta Buruk
Kita pasti sahaja tidak mahu mengulangi sejarah pejuang-pejuang Islam dan para Ulama al mujahidin sewaktu mereka menentang penjajah dan menuntut kemerdekaan negara. Setelah mereka berjuang mempertaruhkan tenaga, darah dan nyawa mereka akhirnya apabila negara tersebut mencapai kemerdekaan, golongan sekular yang mengambil alih pemerintahan negera. Inilah yang berlaku ke atas ulama pejuang kita di Indonesia. Tengku Daud Baerueh pernah berulang kali (3 kali) bertanya kepada Sukarno, "Untuk apa kita menentang Belanda?"
Soalan ini ditimbulkan setelah Sukarno berhempas pulas memujuk Tengku Daud Baerueh membantunya menentang penjajahan Belanda setelah menyedari Tengku mampu menggerakkan ummat Islam amnya dan pemimpin-pemimpin mereka khasnya. Sukarno juga berulang kali menjawab bahawa kita mahu merdekakan negara kemudian dirikan syariat Islam di atas tanah tinggalan penjajah. Setelah berpuas hati dengan jawapan tersebut, Tengku telah mengerahkan seluruh anak-anak muridnya serta guru-guru pasentren untuk bangkit menentang Belanda.
Akhirnya apabila Indonesia mencapai kemerdekaan, bukan sahaja Tengku diketepikan dan dipenjara malah Sukarno tidak melaksanakan Islam di Indonesia sebagaimana yang dijanjikan. Tengku dipenjara sehingga ia hanya dibebaskan di akhir pemerintahan Suharto.
Negara kita juga menyaksikan sejarah yang sama. Setelah nyawa ditaruhkan oleh Tuan Guru Hj. Hassan bin Munas, Ustaz Abu Bakar al Baqir dan Tuan Guru Hj. Abdul Rahman bin Limbong untuk menentang Inggeris, akhirnya negara merdeka menyaksikan golongan sekular yang mengambil alih pemerintahan negara.
Ulama' hanya menjadi golongan yang diajak untuk menolak kereta buruk. Apabila kereta telah hidup, ia terus meluncur laju ke hadapan tanpa sempat mengucapkan terima kasih pun sebaliknya yang ditinggalkan ialah asap hitam berkepul dari ekzos kereta buruk tersebut.
Tiada Short Cut Mencapai Kemenangan
Short cut bagi mengusahakan kemenangan buat perjuangan kita yang murni ini, ia mungkin boleh tercapai tetapi ia hanyalah sebuah kemenangan yang rapuh dan fragile. Short cut hanya laluan yang sering digunakan oleh golongan musta'jilun (gopoh) yang mungkin berjuangnya tidaklah setara mana tetapi angin nak menang kelihatan berganda-ganda volumenya .
Pengalaman ditangkap, dipenjara, dimaki-hamun, di ISA dan pelbagai penyeksaan tentu sahaja belum menyamai seksaan yang dialami oleh Khabbab al Arat yang telah dikelar jasadnya dengan besi panas. Bayangkanlah, betapa insan pejuang seperti Khabbab al Arat itu masih disifatkan oleh Nabi S.A.W sebagai gopoh, maka apalah halnya kita hari ini yang masih tidak setahap mana pengorbanan untuk Islam.
Bukan bermakna kita tidak mahu menang dan selesa pula menjadi orang yang kalah, tetapi kita doakan agar kemenangan yang kita capai tidak menjadi fitnah kepada diri dan perjuangan Islam ini. Apa yang lebih jelas ialah kita berjuang dan berkorban sehabis daya dan upaya guna memastikan Islam berdaulat di atas tanahair kita dengan mengambil sunnatullah dalam perjuangan ini.
Antara sunnatullah dalam perjuangan ini, firman Allah Taala bermaksud, "Jika sekiranya (perjuangan) ini suatu capaian hasil yang dekat dan perjalanan yang singkat nescaya mereka (musyrikin) akan mengikut engkau, akan tetapi (perjuangan) ini jauh perjalanannya dan dirasakan sukar ke atas mereka" - Surah At Taubah:42
Demikian juga Firman Allah yang bermaksud, "Dan ingatlah ketika orang-orang kafir merancang untuk memenjarakan kamu, membunuh kamu dan menghalau kamu keluar daerah, mereka merancang dan Allah Taala juga merancang dan Allah Taala sebaik-baik perancang" - Surah al Anfal:30
Jauh perjalanan, sukar halangannya, di penjara, dibunuh dan dihalau adalah 5 item sunnatullah yang mesti ditempuh melengkap manhaj perjuangan ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


















KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin