Sabtu, 9 Mac 2013

MENUKAR DASAR KERAJAAN ADALAH MUTLAK HAK RAKYAT

Dr Mahathir berkata di Sik Kedah dua hari lepas, ahli-ahli UMNO mesti menyokong sesiapa sahaja yang di calonkan oleh pucuk pimpinan parti. Ahli-ahli UMNO, kata Dr Mahathir mesti memenangkan parti bukannya calon. Kali ini Dr Mahathir mahukan semua menyokong parti dan ini merupakan pendirian yang terbalik jika kita ingat apa yang beliau seru pada pilihanraya yang lalu. Pilihanraya ke14 nanti tidak pula kita ketahui apa sikap Dr Mahathir. Mungkin beliau akan kekal dengan seruan menjayakan parti dan ada juga kemungkinan beliau akan membuat seruan untuk menyokong calon bukannya parti.

Kali ini Dr Mahathir berusaha keras untuk memenangkan UMNO dan BN. Beliau telah memanggil pimpinan bahagian seluruh negara untuk berbai’ah dan berjanji tidak mensabotaj calon UMNO dalam pilihanraya ini. Kita telah diberitahu yang kali ini UMNO akan menurunkan calon-calon yang baru untuk menukar imej parti itu dalam menghadapi rakyat dalam pilihanraya kali ini.

Tetapi ramai berpendapat yang usaha ini telah terlambat. Sepatutnya ia dilakukan dua puluh tahun dahulu dengan mengenepikan pemimpin-pemimpin yang tidak baik kerana semasa itu keadaan UMNO tidak seteruk sekarang. Tetapi oleh kerana kelalaian pimpinan semasa itu yang hanya memberikan tumpuan kepada kepentingan peribadi dan sokongan padu dari pimpinan bahagian dan cawangan UMNO tidak peduli samada mereka itu korap atau pelaku jenayah yang tegar dalam parti itu.

Kita tidak nampak bagaimana sumpah dan bai’ah di depan Dr Mahathir itu boleh membantu BN untuk mengelak dari tindakan sabotaj-mensabotaj dari berlaku dalam pilihanraya kali ini. Kali ini nampaknya UMNO akan menurunkan calon-calon pilihan pucuk pimpinan dan pimpinan di bawah diminta bersumpah untuk memberikan sokongan terhadap calon-calon itu dan tidak mensabotaj mereka (calon-calon). Apa yang tidak di fahami oleh pucuk pimpinan ialah semangat ahli-ahli UMNO telah begitu lemah dan mereka menganggap tindakan pucuk pimpinan untuk tidak menerima bulat-bulat cadangan bahagian-bahagian sebagai satu tindakan yang sudah terlambat.

Mereka menganggap calon-calon boleh menang yang di pilih oleh pucuk pimpinan itu tidak relevan kerana sememangnya UMNO sudah berada diperingkat mati dalam erti dan hakikatnya yang sebenar. Siapa pun yang dipilih oleh pucuk pimpinan tidak akan boleh membantu UMNO lagi. Mereka berkata biarlah mereka yang bersumpah sahaja yang bekerja untuk parti itu. Mereka berkata yang mereka tidak pernah bersumpah kerana melakukan sumpah taat setia terhadap parti itu merupakan tindakan yang keterlaluan yang seolah-olah menganggap parti politik itu lebih penting dari agama kita.

Mereka beranggapan bersumpah itu hanyalah untuk kepentingan mereka yang memimpin yang sedang dalam ketakutan kerana kesalahan jenayah yang banyak dilakukan oleh pimpinan mereka. “Bagaimana kita boleh bersumpah untuk mempertahankan kebathilan yang dilakukan oleh pimpinan tertinggi parti?” kata salah seorag dari AJK UMNO dan Pemuda Bahagian di Negeri Sembilan  semasa beliau terserempak dengan saya di Seremban dua hari yang lepas. “Saya pun sudah tidak ambil peduli dengan parti lagi dah, kerana segala-galanya hanya untuk kepentingan pemimpin yang sedang enak berkuasa dan tidak tahu menahu tentang keresahan kami di bawah ini” sambungnya lagi.

Di sini kita lihat dengan jelas yang UMNO hanya mengambil jalan rigkas untuk menyelesaikan masalah sokongan dari ahli-ahlinya sendiri, dan itu belum lagi bagi rakyat yang tidak menjadi ahli UMNO. Bagi sesebuah parti pemerintah, yang terpenting ialah parti itu mendapat penghormatan rakyat. Jika ahli-ahlinya sendiri bermasalah dengan kepimpinan partinya bagaimana ia boleh memberikan keyakinan ramai terhadap partinya dan dalam kontek ini, UMNO.

Besarnya keahlian UMNO tidak semestinya memberikan kebaikan kepada parti itu. Malahan dalam keadaan sekarang besarnya masalah yang dihadapi oleh UMNO ialah kerana jumlah keahlian yang besar. UMNO terpaksa menumpukan menjaga dan mentadbir ahli-ahlinya dari memberikan tumpuan terhadap dasar perlaksanaan yang bersih yang di hormati masyarakat dan negara.

Banyaknya cawangan-cawangan yang bercambah di setiap bahagian itulah yang menyebabkan terlalu banyak ‘infighting’ di dalam parti itu. Banyak parti dalam dunia ini jatuh kerana keahlian yang terlalu besar. Sesungguhnya parti perlu mendapatkan penghormatan dari rakyat termasuk yang tidak menjadi ahli UMNO. Tetapi UMNO tidak berusaha untuk mendapatkan penghormatan itu kerana parti mengharapkan keahlian ramai yang berpecah belah itu yang besar itu untuk mendapatkan sokongan ramai.

Keadaan sebenarnya tidak begitu. Parti Buruh dan Conservative di Britain tidak mempunyai keahlian yang ramai dan tidak pun sampai satu peratus dari jumlah penduduknya. Parti-parti itu bergilir-gilir mentadbir negeri termaju dunia ini, kerana dalam sesuatu masa rakyat menghormati dasar dan kepimpinan parti-parti itu. Itu sebabnya rakyat di Britain dan negara-negara maju yang lain menentukan nasib sesuatu parti itu, bukannya parti yang berkuasa boleh melakukan apa sahaja untuk mengekalkan kuasa.

Parti-parti itu mengambil kuasa yang dimandatkan sebagai tanggungjawab dan bukannya mendapatkan kuasa semata-mata kerana kuasa. Kita tidak mendengar pemimpin parti Buruh atau Conservative menjerit ke hulu dan ke hilir akan berbuat apa sahaja untuk mempertahankan 10 Downing Street. Pemimpin-pemimpin di sana tidak pula bermuka-muka dengan rakyat dengan memperlekehkan usaha parti lain yang sama-sama sayangkan negara dan rakyat.

Apabila parti Buruh dan Gordon Brown tewas dalam pilihanraya yang lalu tidak ada apa-apa kegemparan di Britain. Gordon Brown terus sahaja mengadap ‘the Queen’ dan peralihan kuasa seperti yang dikehendaki oleh rakyat berlaku dalam tempoh enam jam sahaja. Itu pilihan rakyat Britain dan Gordon Brown akur dengan kehendak rakyat Britain tanpa melakukan perkara-perkara yang tidak baik terhadap David Cameroon.

Tetapi di sini pemimpin yang sedang berkuasa seolah-olah menjadi seperti orang hilang akal menjerit-jerit dan memperlekehkan pihak lain dengan menggunakan kuasa yang ada di tangan mereka. Pimpinan kita masih tidak sesuai dengan demokrasi yang sebenarnya.. Bagi mereka demokrasi ialah kemenangan untuk mereka sahaja dengan cara apa pun yang boleh dilakukan mereka.

Pimpinan UMNO masih berfikir, menggantikan mereka sebagai pemerintah itu adalah satu jenayah besar sedangkan mereka tidak berhenti-henti melakukan jenayah politik dan ekonomi terhadap rakyat dan negara.

Sesungguhnya perubahan adalah perkara yang sudah menjadi kemestian dan tidak ada kompromi lagi dengan UMNO yang sudah tidak mampu untuk berubah kepada kebaikan. Malahan UMNO tidak pun tahu cara untuk berubah kerana parti itu sudah sebati dengan mentadbir negara ini seperti mentadbir sebuah persatuan sepak takraw daerah Pekan atau persatuan penjaja daerah Pagoh dan Kubang Pasu.

Rakyat sudah muak dengan sikap pimpinan UMNO menjadikan parti itu sebagai modal perniagaan dan tempat membina ‘empire’ perniagaan keluarga masing-masing. Segala perniagaan keluarga yang ‘monopolistic’ di kaut oleh semua pimpinan besar-besar, tidak kira oleh mereka yang sedang berkuasa dan yang sudah bersara.

Mengambil kesempatan di atas kekayaan negara merupakan kerja sepenuh masa pimpinan UMNO khususnya dan BN amnya. Rakyat pula dibiarkan berada di dalam keadaan meminta-minta dan menadah tangan di kaki pemimpin-pemimpin yang mempunyai kuasa yang besar yang mereka perolehi dari rakyat yang meminta-minta tadi.

Rakyat tidak boleh mengharapkan pihak UMNO untuk merubah nasib mereka. Hanya rakyat sendiri terpaksa melakukan perubahan itu. Cubalah dalam pilihanraya yang akan datang ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


















KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin